Perselisihan ideologi: Awal Dark Ages – Nabi S.A.W

- Advertisement -

LATAR belakang

(1) Tulisan saya sebelum ini [1] menggambarkan mengenai gambaran kasar penyelewengan daripada ajaran Nabi Isa A.S (Islam) sehinggalah melahirkan banyak fahaman (mazhab) dalam agama Kristian.

InsyaAllah dalam artikel ini kita akan lihat ideologi yang muncul selepas Council Of Nicaea 325 dan juga Council Of Costantinople 381 yang telah menghasilkan satu penyataan akidah yang dikenali sebagai Nicene Creed.

(2) Antara watak utama dalam era ini ialah Augustine Of Hippo (354-430), Jarome Of Stridon (347-420), Paulus Orosius (380-420) dan ramai lagi. Hal ini saya telah huraikan dalam artikel sebelum ini. [2]

Ahli falsafah zaman ini dikenali sebagai ahli teologi, yang menterjemahkan falsafah itu dari sudut agama (Kristian). Dalam masa yang sama, Kristian sudah jauh tersimpang daripada ajaran Nabi Isa A.S.

- Advertisement -

(3) Empayar Rom yang dipimpin oleh Dinasti Costantine ranap apabila di bahagian Baratnya diserang oleh orang-orang Jermanik pada 476. Era ini dipanggil sebagai permulaan zaman kegelapan.

Selepas kejatuhan pada era ini, Empayar Rom berusaha merampas semula, dan ia berjaya. Kejayaan itu tak lama, apabila orang Avar pula menyerang mereka selepas itu.

(4) Hasil daripada bersilat merebut jajahan Barat ini, akhirnya orang Avar menguasai Utara Greece dan Bulgaria. Peristiwa permulaan zaman kegelapan ini antara 476 hingga 600 Masihi.

Manakala di bahagian Timur pula bertembung dengan Parsi antara 476 hingga 628 yang pernah saya huraikan secara terperinci dalam artikel sebelum ini [3] yang berkaitan dengan penurunan surah Rum di dalam al-Quran.

Perselisihan hingga kelahiran Nabi S.A.W

(1) Dalam artikel yang lepas [1] saya menghuraikan bagaimana wujudnya perselisihan antara Ortodoks yang merujuk kepada ajaran Kristian sebelum kemunculan Paulus.

Paulus membawa aliran baru, dan melahirkan aliran Katholik (Barat) dan mempengaruhi dunia Eropah termasuklah Rom Byzantine. Dari sini, lahirlah banyak aliran dalam agama Kristian.

(2) Manakala Ortodoks pula berselisih antara Ortodoks Timur dan Ortodoks Oriental. Antara yang mengikut aliran Ortodoks Timur ialah gereja-gereja di Habsyah, Mesir dan sebagainya.

Gereja-gereja di Assyria pula, ada Ortodoks Oriental dan ada Ortodoks Timur. Orang-orang Barat melabelkan gereja di Assyria ini sebagai aliran النسطورية (Nestorian), manakala di belah Hijaz masyhur dengan aliran Ebonite.

(3) Kedua-dua aliran Nestorian dan Ebonite menolak Paulus yang mencorak Kristian Katholik di Barat. Realiti ini menggambarkan perselisihan yang dahsyat di era itu.

Perselisihan ini berterusan dalam keadaan mereka keliru mana satu kebenaran, keliru mengenai Injil yang sebenar yang sudah diresapi tulisan-tulisan manusia, sehinggalah kelahiran Baginda S.A.W.

(3) Nabi Muhammad S.A.W lahir pada 572. Ketika itu Empayar Rom berada di era kegelapan. Fahaman mereka adalah ajaran Nabi Isa A.S yang telah terseleweng daripada asal.

Ketika berusia 11 tahun, Baginda S.A.W berhijrah ke Syam bersama Bapa Saudaranya Abu Thalib. Ketika di sana, Baginda S.A.W dipertemukan dengan Rahib Buhaira.

(4) Beberapa kajian, mengatakan bahawa Rahib Buhaira menganut Kristian aliran Nestorian, yang banyak di Assyria (Syria), dan pertemuan dengan Nabi S.A.W dikatakan di Basrah (Syam).

Rahib Buhaira meminta Abu Thalib supaya menjaga Nabi S.A.W. Apatah lagi berita kemunculan Nabi S.A.W ini sudah disebut di dalam Injil, dan turut diketahui oleh pembesar Rom.

Ideologi masyarakat Makkah

(1) Nabi Muhammad S.A.W pada usia 40, diangkat menjadi Nabi, dan bertemu dengan Waraqah bin Naufal. Waraqah bin Naufal adalah seorang lelaki tua yang berpegang teguh dengan ajaran Taurat dan Injil.

Walaupun ketika itu, Makkah penuh dengan patung (dewa) yang terpengaruh daripada ajaran Mesopotamia [4] namun, ajaran Nabi Isa A.S turut tersebar. Antara yang meresap di sekitar Hijaz ialah aliran Kristian Ebonite.

(2) Ada yang menganggap bahawa Waraqah seakan-akan beraliran Ebonite yang masyhur di Hijaz. Ada yang menganggap beliau adalah seorang Nestorian. Namun itu hanya sekadar kajian.

Yang pastinya bukan Katholik. Hal ini dibincangkan panjang oleh para ulamak dan kesimpulannya beliau tergolong dalam kalangan Sahabat R.A (الإصابة في تمييز الصحابة).

(3) Waraqah bin Naufal boleh dikenali sepertimana dalam كتاب بدء الوحي di dalam Shahih Bukhari:

وكان امرأ تنصر في الجاهلية وكان يكتب الكتاب العبراني فيكتب من الإنجيل بالعبرانية ما شاء الله أن يكتب وكان شيخا كبيرا قد عمي

“Beliau adalah seorang lelaki yang menganut Nasrani di zaman jahiliyyah. Beliau menulis buku bahasa Ibrani, beliau menulis Injil dengan bahasa Ibrani dengan izin Allah. Beliau seorang tua ketika itu dan telah hilang penglihatan.”

(4) Selain daripada pendewaan berhala yang dibawa masuk daripada Mesopotamia dan juga aliran Kristian Ebonite, di Makkah juga ada yang kekal berpegang dengan ajaran Nabi Ibrahim A.S.

Umum mengetahui bagaimana permulaan Makkah di zaman Nabi Ibrahim A.S, Siti Hajar dan anak mereka Nabi Ismail A.S. Ajaran ini semakin terhakis di Makkah sehinggalah lahirnya Nabi S.A.W di situ.

Rom Byzantine di zaman Nabi S.A.W

(1) Di awal artikel ini saya ada menceritakan mengenai serangan Parsi ke atas Rom Byzantine antara 476 hingga 628. Lebih tepat, persaingan sengit mula menghangat pada 571, setahun sebelum kelahiran Baginda S.A.W.

Ketika Rom Byzantine (Katholik) sedang bergelut dengan Parsi di bahagian Timur, Nabi S.A.W menghantar rombongan ke Habsyah, bertemu dengan Raja Najasyi yang beraliran Ortodoks Timur.

(2) Empayar Rom Byzantine bertahan hingga hampir tumbang di tangan Parsi [3]. Namun Allah S.W.T memberitakan di dalam al-Quran bahawa Rom akan menang.

Ketika inilah Nabi S.A.W mengutuskan surat kepada Hercules yang memerintah Rom. Surat Nabi S.A.W itu dijawab dengan respons positif, namun Hercules masih tidak mahu memeluk Islam.

(3) Hasil pertembungan sengit antara Rom Byzantine VS Parsi, akhirnya Parsi kalah pada 628. Setelah itu, Nabi S.A.W mula bertembung dengan Rom dalam beberapa siri.

Antaranya ialah Perang Mu’tah (629) Perang Hunain (630) dan Perang Tabuk pada (630) yang sudah saya huraikan sebelum ini [3]. Pertembungan ini bermula apabila utusan Baginda S.A.W dibunuh oleh pembesar Rom di pertengahan jalan.

(4) Era ini adalah fasa pertama zaman kegelapan Eropah. Rom yang dipimpin oleh Hercules yang sangat menjaga survival politiknya sehinggakan beliau tidak beriman kepada Baginda S.A.W.

Beliau cuba menyatukan aliran-aliran Kristian yang sedang berpecah teruk, kerana beliau cuba membina kembali kekuasaan Rom yang mula meruntuh sejak 476.

Selepas kewafatan Baginda S.A.W

(1) Nabi S.A.W wafat pada 632, digantikan oleh Saidina Umar R.A. Walaupun Parsi telah dikalahkan oleh Rom, namun beberapa wilayahnya masih berbaki, antaranya Iraq.

Iraq dahulunya dikenali dengan nama Mesopotamia. Sarat dengan pengaruh pendewaan sejak sebelum zaman Nabi Ibrahim A.S lagi. Kekuasaan Parsi di situ dikenali Empayar Sassanid.

(2) Pada zaman Saidina Abu Bakar R.A (632-634) Islam berjaya membebaskan Iraq, dan kemudiannya Assyria (Syria) pada 634. Assyria ketika itu di bawah kekuasaan Empayar Rom Byzantine.

Hercules merasa tergugat dengan kebangkitan Islam ketika itu. Menjadi lebih parah apabila pada zaman Saidina Umar R.A (634-644) Palestin yang juga merupakan wilayah Rom dibebaskan oleh Islam pada 636.

(3) Kita perlu flashback semula bagaimana wilayah-wilayah ini sejak dahulunya terkesan dengan gelombang Hellenistik [5]. Kemudian tersebarnya ajaran Kristian di Assyria dan Palestin.

Iraq, Palestin dan Syria pernah jatuh di tangan Alexender Macedonia dan wilayah ini terkesan dengan Hellenistik. Kemudian dikuasai oleh Parsi. Palestin dan Syria pula jatuh ke tangan Rom selepas Hellenistik.

(4) Wilayah-wilayah Rom yang dibebaskan oleh Islam pada 636 tidak terhenti di saat itu. Ia berterusan dengan pembebasan Mesir pada 639 yang merupakan wilayah penting Rom di Afrika Utara.

Pada 640 Hercules mati, dan digantikan oleh anaknya Costantine III. Wilayah-wilayah bekas jajahan Rom (dahulunya Yunani) sarat dengan pengaruh falsafah, dan teologi Kristian.

[1] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3728355907206142/?d=n

[2] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3707347592640307/?d=n

[3] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3317439148297822/?d=n

[4] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3031266516915088/?d=n

[5] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3703284133046653/?d=n

https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3704881486220251/?d=n

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 3/5/2020

- Advertisement -