Moratorium: Penyelesaian faedah, keuntungan terakru

- Advertisement -

ISU berbangkit mengenai Moratorium yang sedang hangat dibahaskan ketika ini adalah mengenai faedah yang dikenakan pada produk jual beli kenderaan “Hire-Purchase” dan keuntungan terakru atas Pembiayaan Tempoh Tetap Kewangan Islam atau “Islamic Fixed Term Financing”.

Masalah utama yang timbul dikalangan peminjam dan pelanggan Bank adalah mengenai penyelesaian faedah (interest) atau keuntungan (Profit amortisation) yang telah dikenakan atau terakrur selama tempoh Moratorium 6 bulan, persoalannya bagaimana ia hendak dilangsaikan?

- Advertisement -

Semua pihak perlu paham bahawa Pembiayaan Islam adalah tertakluk pada kontrak akad sama ada Bai Bithamal Anjil (BBA) atau Musyarakah Mutanaqisah dan lain-lain kontrak, begitu juga dengan Perjanjian Jual Beli juga mempunyai cara pengiraan faedah yang sama di atas susut nilai kenderaan.

Walaupun berlainan kontrak namun kaedah pengiraan keuntungan tetap sama iaitu dalam bentuk “amortisation” iaitu pembayaran melalui pelbagai tempoh bagi dua proses berasingan; pembiayaan dan nilai aset yang merujuk kepada peruntukan kos aset dalam tempoh masa yang dipersetujui.

Asasnya, keuntungan yang telah terakrur itu tidak boleh di caj atau dikenakan faedah atau apa jua fees tambahan. Maka Jumlah tersebut terus kekal sehingga penyelesaian bayaran balik dibuat, tidak seperti Pinjaman Konvensional yang mana faedahnya akan diserap menjadi prinsipal setiap bulan maka produk konvensional tidak ada kesulitan dalam pembayaran balik faedah yangdm dikenakan sepanjang moratorium.

Bagi menyelesaikan perkara tersebut pihak BNM dan Bank Perdagangan telah kemukakan 3 cara penyelesaian bayaran atau penjadualan semula bayaran faedah atau keuntungan tersebut yang boleh diambil dan dipersetujui antara pihak Bank dan Pelanggan:

1. Penyelesaian sekali gus iaitu bayaran penuh ke atas semua Keuntungan dan Faedah yang terkumpul semasa tempoh moratorium selepas sahaja tempoh Moratorium itu tamat.

2. Jumlah faedah atau keuntungan yang terkumpul semasa tempoh Moratorium itu dibahagikan selama tempoh baki sewa beli atau pembiayaan Islam dan kemudian dibayar secara ansuran bulanan dimana jumlah ansuran akan meningkat sedikit bergantung pada baki “Tenor” atau tempoh pembiayaan.

3. Ansuran bulanan Semua faedah atau keuntungan yang terkumpul dibayar pada hujung tempoh kontrak, ansuran bulanan tidak berubah sehingga bayaran terakhir yang akan ditambah dengan jumlah keuntungan yang terakrur sebelum ini atau dilanjutkan lagi tempoh kontrak atas persetujuan Bank.

Selain dari 3 kaedah ini, pelanggan juga boleh melakukan penstrukturan semula pembiayaan atau melaksanakan pembiayaan baru jika jumlah yang terakru itu terlalu tinggi dan sangat berat untuk diselesaikan, namun ia tidak digalakkan melainkan dalam keadaan yang memerlukannya.

Saranan Tengku Dato’ Seri Zafrul, Menteri Kewangan kita agar semua institusi perbankan melupuskan faedah atau keuntungan terakru disambut baik oleh rakyat kerana ia benar-benar menjiwai kesukaran rakyat ketika ini.

Selari dengan objektif pemberian Moratorium ini adalah untuk membantu daya kewangan rakyat ketika mengharungi kesukaran ketika PKP ini, maka sangat saya galakan untuk semua rakyat mengambil Moratorium ini, dan urusan pelupusan faedah atau keuntungan itu juga kita kena akur kerana ia tertakluk pada persetujuan Institusi kewangan malah pihak BNM juga tidak punyai kuasa untuk menarik keuntungan bank yang telah dipersetujui oleh pelanggan melalui kontrak sedia ada.

Namun saya telah menyatakan cadangan saya kepada Menteri Kewangana seperti berikut:

Bagi situasi menang menang atau “win win situation” kepada Bank dan rakyat serta kerajaan, saya cadang Kementerian Kewangan perlu menambah lagi peruntukan SRF (Special Relief Fund) BNM RM5 Billion yang sedia ada kepada RM30 Billion bagi membantu usahawan SME atau IKS. Syarat dilonggarkan kepada usahawan dan permudahkan urusan mereka dalam membina semula perniagaan akibat terkesan dari Covid-19 ini.

Tambahan cadangan saya, jika mana-mana Bank perdagangan yang memberi penghapusan faedah Moratorium kepada pelanggan mereka, maka bank tersebut akan diberikan kouta tertentu bagi modal SRF dalam usaha mengalakkan saingan yang baik antara Bank dan merealisasikan cadangan Menteri Kewangan untuk menghapuskan faedah dan keuntungan tidak berbayar yang terakru itu.

Semoga penerangan dan sedikit cadangan ini dapat menjelaskan isu sebenar bahawa tiada istilah “U-Turn” sebenarnya dalam kenyataan pihak kerajaan dan BNM pada 25 Mac malah kenyataan terbaru ini adalah bagi memberi penjelasan dan pemahaman lebih baik kepada rakyat mengenai Moratorium dan penyelesaian faedah atau keuntungan yang terakru ini.

SHEHDI HAZRIK SAMSUDIN
Pegawai Bank Swasta- HARAKAHDAILY 3/5/2020

- Advertisement -