Ibrah melalui hikmah ibtila’ (Juz 10)

- Advertisement -

KUPASAN ayat melalui juzuk 10 hari ini menumpukan perbincangan sekitar sikap suka beralasan yang boleh menyebabkan banyak permasalahan. Sikap bertangguh dan suka memberi alasan ini termasuk dalam ‘afat atau wabak merbahaya kerana ia boleh memberi kesan negatif kepada sesuatu agenda yang bakal dilaksanakan. Allah S.W.T telah memaparkan kisah golongan yang mencipta alasan ketika perang Tabuk termasuklah seorang Sahabat Nabi yang turut memberi alasan untuk tidak pergi berperang sebagaimana melalui firman-Nya:

- Advertisement -

وَمِنۡهُم مَّن یَقُولُ ٱئۡذَن لِّی وَلَا تَفۡتِنِّیۤۚ أَلَا فِی ٱلۡفِتۡنَةِ سَقَطُوا۟ۗ وَإِنَّ جَهَنَّمَ لَمُحِیطَةُۢ بِٱلۡكَـٰفِرِینَ

“Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada yang berkata: Izinkanlah aku (supaya tidak pergi berperang) dan janganlah engkau menjadikan aku dipengaruhi oleh fitnah. Ketahuilah, mereka telah pun terjebak ke dalam fitnah (dengan dalihan yang dusta itu). Dan sesungguhnya azab Jahanam meliputi orang-orang yang kafir.”

[al-Taubah: 49]

Gerangan yang beralasan itu ialah Jad bin Qais yang sudahpun berumur, namun mencipta alasan tidak dapat sertai perang Tabuk kerana bimbang terfitnah dengan perempuan Rom yang turut dibawa oleh pihak lawan semasa berperang. Nabi S.A.W hanya mendiamkan diri setelah menerima jawapan Jad dan berserah urusannya kepada Allah. Alasan Jad bin Qais itu disanggah melalui sepotong ayat yang menempelak sikap dusta yang sengaja dicipta olehnya.

Apabila Rasulullah S.A.W telah mengeluarkan arahan, maka tidak sepatutnya di kalangan Sahabat mencari alasan untuk lari daripada taklifan. Kebanyakan mereka yang lari dan berdolak-dalik ini ialah di kalangan munafik yang sentiasa mengintai peluang untuk tidak akur kepada arahan Nabi S.A.W. Terdapat juga daripada kalangan Bani Ghifar yang meminta keuzuran dengan pelbagai alasan yang dicipta sebagaimana dijelaskan melalui firman Allah S.W.T:

وَجَاۤءَ ٱلۡمُعَذِّرُونَ مِنَ ٱلۡأَعۡرَابِ لِیُؤۡذَنَ لَهُمۡ وَقَعَدَ ٱلَّذِینَ كَذَبُوا۟ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥۚ سَیُصِیبُ ٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ مِنۡهُمۡ عَذَابٌ أَلِیمࣱ

“Dan datanglah pula orang-orang yang menyatakan keuzurannya daripada kalangan orang-orang Arab Badwi, memohon supaya mereka diizinkan (tidak turut berperang), sedang orang-orang (munafik di antara mereka) yang mendustakan Allah dan Rasul-Nya duduk (mendiamkan diri). (Oleh itu) orang-orang yang kufur di antara mereka, akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

[al-Taubah: 90]

Inilah cabaran yang sentiasa dilalui oleh umat Islam dalam memperjuangkan tuntutan Allah. Akan sentiasa ada golongan yang suka beralasan dan tidak bertanggungjawab dalam taklifan yang telah diberikan. Jika keadaan ini berlaku dalam sesebuah pentadbiran, ia sudah pasti akan merencatkan banyak agenda serta perancangan. Di sinilah perlunya ada golongan beriman yang sentiasa patuh dan berkorban untuk menjayakan semua misi yang ditetapkan. Namun, sekiranya terjadi juga musibah dan halangan setelah berusaha sedaya mungkin, maka hendaklah kita menyerahkan urusan tersebut kepada Allah dengan bertawakal kepada-Nya. Firman Allah S.W.T:

قُل لَّن یُصِیبَنَاۤ إِلَّا مَا كَتَبَ ٱللَّهُ لَنَا هُوَ مَوۡلَىٰنَاۚ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلۡیَتَوَكَّلِ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal.”

[al-Taubah: 51]

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
10 Ramadan 1441 / 03 Mei 2020 – HARAKAHDAILY 3/5/2020

- Advertisement -