Covid-19 paksa manusia ubah normal lama

- Advertisement -

SELEPAS 45 hari pejabat kerajaan sunyi sepi, akhirnya mereka mulai memasuki pejabat esok. Sedangkan sebelum ini hanya beberapa pegawai dan kakitangan yang dibenarkan hadir.

Tempoh Perintah Kawalan Pergerak (PKP) sebahagian besar pejabat kerajaan tidak beroperasi. Ini sejarah pertama negara sejak merdeka.

Tidak pernah berlaku pejabat kerajaan ditutup sehingga sebulan setengah. Kalau ada cuti kelepasan am berganda pun tidak pernah sampai seminggu.

- Advertisement -

Bagi kakitangan kerajaan mereka tidak perlu risau. Tidak bekerja setiap akhir bulan gaji masuk akaun.

Malah ada pula bonus sebanyak RM500. Bonus dibayar semua kerajaan negeri dan pusat. Kebiasaannya bonus dibayar menjelang sambutan Hari Raya. Namun kali ini lebih awal sebelum Ramadan.

Kesannya ramai bukan penjawat awam jealous sehingga memaksa pemimpin politik meredakan keadaan.

Berbeza berbanding yang bekerja sendiri dan syarikat swasta. Sebulan lebih tak keluar kerja, maka upah tidak terima. Kerja tiada maka upah pun kosong.

Sekarang ramai yang mengharap bangkul Ramadan singgah di tangga mereka. Tabung buluh di rumah pun banyak yang sudah retak sekarang. Menunggu 12 Mei perlu ketabahan yang mendalam.

Bagi kakitangan kerajaan sepanjang tempoh PKP, tidak perlu fikir panjang. Tiada bebanan kerja bertimbun. Tidak lagi berkejar ke pejabat selepas Subuh.

Kesesakan lalu lintas bagi mereka yang bekerja di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan kota-kota besar lain tiada lagi. Jalan agak sepi sepanjang PKP.

Penularan Covid-19 yang meragut ratusan ribu nyawa di seluruh dunia mengubah budaya hidup lama. Ia benar-benar menggemparkan. Tidak pernah berlaku dalam sejarah tamadun manusia.

Biarpun ada catatan zaman lampau pernah berlaku jumlah kematian serupa, namun tiada rekod yang jelas. Ketika itu belum ada suratkhabar. Jauh sekali kemudahan internet.

Penjawat awam

Negara kita ada sebanyak 1.6 juta penjawat awam. Ada perangkaan menggambarkan nisbah (1:51) kepada rakyat Malaysia.

Ini bermakna setiap 51 rakyat yang kita jumpai seorang daripadanya adalah penjawat awam. Paling ramai warga pendidikan.

Menurut Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Jidin terdapat kira-kira 400,000 guru di Malaysia sekarang. Ini bermakna hampir separuh daripada penjawat awam merupakan guru.

Dan ketika PKP sekarang guru tidak perlu bergegas ke sekolah. Malah esok sekolah masih belum dibuka.

Berdasar perkembangan sekarang setidak-tidaknya Jun, kemungkinan sekolah dibuka semula. Maknanya hampir tiga bulan sekolah ditutup.

Tempoh itu jauh melebih cuti akhir tahun. Perkembangan yang berlaku tersebut memaksa Kementerian Pendidikan memperkasakan lagi e-learning.

Pengajian jarak jauh (PJJ) sebenarnya sudah lama dipraktik di institusi pengajian tinggi tempatan. Pelopor pertama PJJ ialah Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1971. Ribuan graduan PJJ dikeluarkan USM sejak 1970-an.

Malah ada bekas graduan bergelar profesor dan pegawai tinggi kerajaan. Kaedah pembelajaran PJJ secara sidang video. Pensyarah berceloteh di USM Pulau Pinang manakala pelajar boleh mengikuti di pusat pengajian ditetapkan di setiap negeri.

Kerangka itu sewajarnya diintai secara serius Kementerian Pendidikan.
Biarpun Kementerian Pendidikan sudah memperluaskan slot pembelajaran melalui saluran TV Okey milik RTM, namun ia hanya sehala.

Ramai pelajar kurang faham pembelajaran yang disampaikan. Setidak-tidaknya Kementerian Pendidikan sudah mencuba.

Sudah sampai masanya e-learning dua hala diperluaskan. Boleh berinteraksi antara murid dan guru.

Sama juga yang dipraktik institusi pengajian tinggi sekarang. Boleh mendengar kuliah pensyarah melalui laptop dan handphone secara dalam talian.

Ternyata Covid-19 memaksa segala-galanya berubah. Kaedah konvensional semakin ditinggalkan. Apakah ini yang dinamakan normal baharu.

Mimpi kerusi PM


Bagaimanapun di tengah-tengah kelam kabut rakyat bercakap mengenai PKP, sebaliknya ada pemimpin politik mengimpikan menduduki kerusi perdana menteri.

Dilaporkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengakui beliau kecewa jika tidak diangkat menjadi perdana menteri, selepas empat dekad bergiat aktif dalam politik negara.

Presiden PKR itu dikatakan tidak bersedia untuk memikul amanah sebagai perdana menteri jika ditakdirkan dipanjangkan umur sehingga mencecah 90-an.

“Tidak masuk akal. Tidak mungkin saya hendak menunggu sehingga berumur 90 tahun baru hendak berfungsi secara efektif menjadi ketua negara,” katanya ketika diwawancara radio The Bussines Station (BFM).

Nampaknya kemarut politik tidak pernah reda. Sedangkan dunia sedang mara ke normal baharu. Pemimpin seum111pama itu lambat laun tenggelam bersama mimpi. Seumpama cerita lama Labu dan Labi.

M.FAQIH – HARAKAHDAILY 3/5/2020

- Advertisement -