PJ Melaka rai sukarelawan Khidmat Malaysia, PAPISMA

- Advertisement -

AYER KEROH: Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Ustaz Kamaruddin Sedik telah meraikan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) di bawah Khidmat Malaysia (KM) Melaka dalam satu majlis apresiasi ringkas yang diadakan di sini semalam.

NGO yang terlibat terdiri daripada Briged Muslimat, Ameerah, Nusaibah, Jabatan Amal Melaka, Jabatan Muslimat Medical Team (MusMedik ) dan NGO Persatuan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA).

- Advertisement -

Kamaruddin yang juga Penasihat Agama kepada Ketua Menteri Melaka itu hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Bilik Seminar Ayer Keroh bagi menyempurnakan majlis dengan menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil sukarelawan terbabit.

‘’Mereka diraikan atas sumbangan besar dalam membantu melaksanakan kerja bantuan semasa bencana khususnya dalam menghasilkan Alat Pelindung Diri (PPE) bagi kegunaan ‘barisan hadapan’ menghadapi wabak Covid-19 yang sedang melanda negara buat masa ini.

“Biarpun tiada imbuhan diberikan buat para petugas, PAS Melaka sangat berbangga dengan kesungguhan para sukarelawan dalam melaksanakan tugasan masing-masing.’’ ujar Kamaruddin.

Di dalam ucapannya, beliau juga menekankan kelebihan memberi manfaat kepada orang lain iaitu besarnya pahala kerana membantu mereka yang tiada pertalian saudara.

Pesuruhjaya PAS Melaka itu juga memetik sebuah hadis nabi, daripada Jabir bin Abdullah bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda maksudnya: “Sebaik-baik manusia ialah manusia yang memberi manfaat kepada manusia lain.” (Riwayat al-Baihaqi)

Tambah Kamaruddin, memberi manfaat kepada orang lain boleh diterjemahkan dalam pelbagai bentuk iaitu selain daripada memberi bantuan tenaga dan masa, bantuan juga boleh diberikan dalam bentuk kewangan.

‘’Semoga kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW sentiasa berazam untuk menjadi manusia yang sentiasa memberi manfaat kepada orang lain.

“Bantulah orang di sekeliling kita walaupun bantuan tersebut hanya nampak remeh di mata kita. Dan sentiasalah menanam azam untuk menjadi orang bermanfaat untuk sesiapa sahaja yang berada di sekeliling kita,’’ jelas beliau.

Turut hadir ialah Pengerusi KM Melaka, Muhamat Puhat Bedol, Koordinator Projek KM, Bahiki Ismail, Naib Ketua Dewan Muslimat Melaka, Noorfazilah Ismail, Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka, Bakri Jamaluddin dan enam orang wakil-wakil Lajnah Kebajikan PAS Kawasan dari setiap kawasan di dalam Negeri Melaka.

Program ringkas ini dijalankan mengikut penjarakan sosial dan SOP yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).- HARAKAHDAILY 2/5/2020

- Advertisement -