Moratorium: Tiada kekeliruan jika ikut cadangan REACH

Dato' Iskandar Abdul Samad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) berpendirian bahawa rakyat tidak sepatutnya dibebankan dengan caj atau apa-apa kos tambahan bagi moratorium pinjaman bank.

Ketua Penyelarasnya Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata pihaknya berpendirian bahawa rakyat telah banyak berkorban dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sepatutnya mereka dibantu.

“Pendirian kami telah kami nyatakan dalam satu kenyataan sebelum ini bertarikh 25 Mac lalu.

- Advertisement -

“Jika kerajaan melaksanakan cadangan kami maka kekeliruan yang berlaku sejak beberapa hari yang lepas tidak akan wujud,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 25 Mac lalu, pihak REACH telah menyatakan bahawa kerajaan wajib memastikan rakyat tidak terbeban dengan sebarang kos tambahan seperti caj, faedah, keuntungan dan sebagainya akibat penangguhan pinjaman tersebut.

Ini berikutan ramai yang bertanya sama ada peminjam akan menanggung sebarang kos tambahan menerusi penangguhan itu.

Rakyat telah menanggung beban dan wajar kos tambahan dikecualikan atau ditanggung oleh pihak bank.

Mengulas lanjut, Iskandar berkata pihaknya yakin bank tidak akan bankrap jika mereka menanggung kos tambahan ini.

“Ada yang berkata bank bukan badan kebajikan tetapi mereka lupa sumbangan rakyat biasa ketika PKP ini dan diharap Bank Negara sedar akan hakikat ini.

“Rakyat biasa telah mengalami kerugian kerana terpaksa menerima potongan gaji, hilang punca pendapatan kerana tidak dapat berniaga seperti biasa atau terpaksa menggunakan simpanan hari tua mereka di dalam akaun KWSP,” ujarnya lagi.

Ada pihak yang kata kos tambahan ini kecil, walau bagaimanapun katanya ia bukan masalah nilai tetapi masalah dari sudut kesungguhan bank untuk bersama rakyat berhadapan dengan pandemik Covid-19 ini.

Bagaimanapun katanya, beliau yakin jika ada sebarang halangan dari sudut pentadbiran dan perundangan, dapat diselesaikan oleh Bank Negara.

Terdahulu, timbulnya kekeliruan dalam kalangan peminjam mengenai kadar faedah atau keuntungan yang dikenakan berkaitan skim moratorium atau penangguhan bayaran balik pinjaman sewa beli yang ditawarkan oleh institusi kewangan.

Susulan itu, pihak Bank Negara (BNM) pada 1 Mei lalu menerusi laman sesawangnya telah menyiarkan kenyataan ‘Soalan Lazim (FAQs) Mengenai Pengendalian Moratorium bagi Pinjaman Sewa Beli dan Pembiayaan Islam Berkadar Tetap’ yang telah dikemaskini.- HARAKAHDAILY 2/5/2020

- Advertisement -