Ibrah melalui hikmah ibtila’ (Juz 9)

- Advertisement -

KUPASAN ayat melalui juzuk 9 hari ini menyentuh mengenai peristiwa pengkhianatan sepanjang zaman yang dilalui sejak zaman Rasulullah S.A.W sehinggalah ke hari ini. Khianat dan pecah amanah adalah seburuk-buruk sikap yang sangat dimurkai Allah. Oleh itu, Allah memberi amaran kepada orang-orang beriman agar tidak terjebak dengan perbuatan terkutuk tersebut sebagaimana ditegaskan melalui firman-Nya:

- Advertisement -

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تَخُونُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ وَتَخُونُوۤا۟ أَمَـٰنَـٰتِكُمۡ وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, Janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).”

[al-Anfal: 27]

Cabaran yang dilalui oleh kepimpinan Islam sepanjang masa ialah pengkhianatan serta agenda pembunuhan terancang supaya pentadbiran menjadi kucar-kacir dan pemimpin tersebut akhirnya berjaya dibunuh. Pada zaman kepimpinan Rasulullah S.A.W, Baginda telah diracuni melalui hidangan makanan oleh seorang wanita Yahudi, Zainab binti Al-Harith. Sayyiduna Abu Bakar Al-Sidiq juga diracuni oleh seorang Yahudi yang menyebabkan kematiannya setahun selepas itu sebagaimana sesetengah riwayat.

Sayyiduna Umar Al-Khattab ditikam oleh Abu Lu’lu’ seorang Majusi, yang menyebabkan kematiannya. Sementara Sayyiduna Othman dan Sayyiduna Ali turut dikhianati oleh Abdullah bin Saba’, seorang Yahudi yang memeluk Islam dan melakukan gerak saraf secara dalaman. Beliau menghasut rakyat bahawa Sayyiduna Othman langsung tidak layak menjadi khalifah sehingga berlaku penentangan yang mengakibatkan beliau mati dibunuh. Kemudian Abdullah bin Saba’ terus merancang menjatuhkan kepimpinan Sayyidina Ali sehingga berlaku huru-hara dengan tercetusnya Perang Jamal, peristiwa Nahrawan dan pengkhianatan Khawarij yang menyebabkan Sayyidina Ali juga turut dibunuh oleh Abdul Rahman bin Muljam.

Dalam konteks pentadbiran negeri dan negara pada hari ini, pecah amanah dan pengkhianatan turut berlaku apabila terdapat manusia jahat dan munafik. Kebocoran dokumen serta maklumat sulit Kerajaan didedahkan kepada awam sama ada melalui surat layang atau media sosial. Akhirnya maklumat ini tersebar kepada musuh dan mereka berjaya menyusun strategi untuk melemahkan pentadbiran serta menyemarakkan kebencian rakyat.

Pada zaman Nabi S.A.W, terdapat seorang Sahabat yang ingin membongkar maklumat sulit berkaitan agenda pembukaan Makkah yang bakal dilaksanakan oleh Nabi. Beliau telah menulis maklumat tersebut dalam satu surat kemudian dikirim melalui seorang perempuan. Perkara ini diketahui Nabi S.A.W setelah mendapat maklumat daripada Jibril lalu surat tersebut sempat diambil sebelum sampai kepada pemimpin Quraisy di Makkah. Sahabat tersebut iaitu Hatib bin Abi Balta’ah akhirnya terlepas daripada hukuman disebabkan beliau adalah ahli Badar yang dijanjikan keampunan oleh Allah.

Bayangkan jika ramai dalam kalangan umat Islam yang tidak berusaha melaksanakan amanah dengan baik, maka sesebuah pentadbiran Islam akan mudah jatuh ke tangan musuh. Oleh yang demikian, pendidikan serta tarbiah mengukuhkan keimanan dan ketakwaan kepada seluruh umat Islam sama ada penjawat awam, peniaga, pekebun dan lain-lain perlu diberi keutamaan supaya tampak perbezaan antara yang hak dan batil serta diberi keampunan oleh Allah. Firman Allah S.W.T:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ إِن تَتَّقُوا۟ ٱللَّهَ یَجۡعَل لَّكُمۡ فُرۡقَانࣰا وَیُكَفِّرۡ عَنكُمۡ سَیِّـَٔاتِكُمۡ وَیَغۡفِرۡ لَكُمۡۗ وَٱللَّهُ ذُو ٱلۡفَضۡلِ ٱلۡعَظِیمِ

“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Dia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar.”

[al-Anfal: 29]

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
09 Ramadhan 1441 / 02 Mei 2020 – HARAKAHDAILY 2/5/2020

- Advertisement -