EXCO hulur sumbangan bersama MINBAR

- Advertisement -

SLIM RIVER: Badan Bukan Kerajaan (NGO) turut mempunyai peranan penting terutama dalam menangani golongan yang terkesan atau terjejas ketika tempoh pandemik COVID-19 dengan  merancak dan memperluaskan usaha bantuan dan sumbangan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Negeri, Razman Zakaria berkata sedemikian semasa Jejak Prihatin bersama NGO Mukmin Bersaudara (MINBAR) kepada penduduk Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), di sini hari ini.

Malah seru beliau, diharapkan lebih banyak lagi NGO khususnya di negeri Perak ini mempergiat usaha menghulurkan bantuan kepada masyarakat memerlukan bagi melengkapkan usaha pihak kerajaan yang telah sedia ada.

“Dalam situasi (semasa) ini, peranan NGO dalam menggerakkan masyarakat ke arah (yang) lebih baik amat dialukan. Alhamdulillah sehingga kini kita boleh lihat banyak NGO bergerak aktif membantu masyarakat.

“Malah mereka (NGO) juga telahpun memainkan peranan dengan cemerlang dalam menghulurkan bantuan kepada barisan hadapan negara. Inilah yang kita mahukan bagi membangunkan Malaysia sejahtera,” ujar Razman.

Menurutnya juga, kewujudan pelbagai NGO yang bergiat aktif di negara ini merupakan signal kesedaran tinggi dalam kalangan masyarakat untuk saling bantu membantu antara satu sama lain terutama melibatkan ehwal kebajikan.

Terdahulu, beliau bersama MINBAR menyampaikan 170 sumbangan Jejak Prihatin tersebut kepada penduduk memerlukan antaranya di Kampung Tersusun Keroh, Air Kuning dan PPRT Banir di Kampar.

Pengerusi MINBAR, Ustaz Safuan Abdul Rahim berkata, NGO yang diusahakan pihaknya mula dilancarkan pada tahun 2015 oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.

MINBAR maklumnya, ditubuhkan bagi menjayakan gerak kerja kebajikan di samping sebagai usaha menyebar luas dakwah di pelbagai tempat. – HARAKAHDAILY 2/5/2020

- Advertisement -