Selepas Mak Cik Kiah, PM sebut Pak Salleh

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebelum ini nama ‘Mak Cik Kiah’ menjadi sebutan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, hari ini nama ‘Pak Salleh’ pula menjadi sebutan sebagai watak untuk mengulas prosedur operasi standard (SOP).

Menurut Muhyiddin, pemilik restoran, ‘food truck’ dan gerai makan dibenarkan berniaga dan beroperasi pada 4 Mei depan.

Namun tertakluk syarat pematuhan SOP keselamatan kesihatan yang ditetapkan oleh kerajaan bagi mengelakkan penularan Covid-19.

- Advertisement -

“Pak Salleh boleh buka semula restoran untuk bersihkan restoran, bersihkan pinggan, sudu, periuk dan alat-alat memask, susun meja dan kerusi dan beli stok barangan mentah.

“Pastikan meja disusun dengan jarak sekurang-kurangnya 2 meter antara satu meja dengan meja yang lain,” kata Muhyiddin menceritakan SOP yang perlu dipraktikkan oleh para peniaga.

Beliau menekankan penjarakan sosial antara pelanggan dan menasihatkan pengusaha restoran seperti Pak Salleh meletakkan notis di setiap meja makan supaya penjarakan sosial dipastikan di meja makan.

Ujarnya lagi, hand sanitizer perlu disediakan di kaunter bayaran dan pastikan garisan dibuat sekurang-kurangnya satu meter antara satu sama lain serta hendaklah memastikan pelanggan beratur dan mematuhi jarak tersebut.

“Beli penyembur pembersih meja yang mencukupi, setiap kali selepas pelanggan makan, beritahu pekerja supaya bersihkan meja cepat-cepat sebelum pelanggan lain duduk.

“Beli ‘face mask’ beri kepada pekerja dan pastikan mereka pakai setiap masa. Pak Salleh pun kena pakai ‘face mask’,” ulasnya.

Beliau menggalakkan pengusaha melakukan pemeriksaan suhu badan pelanggan dengan menggunakan alat pengimbas suhu yang sesuai sebelum dibenarkan masuk ke restoran.

“Catat nama dan nombor telefon pelanggan serta tarikh masa mereka datang ke restoran. Ini penting kerana jika ada kes positif Covid-19 yang melibatkan salah seorang pelanggan, pelanggan lain yang datang pada hari tersebut boleh dikesan,” kata Muhyiddin.

Tambah Muhyiddin, langkah keselamatan untuk kesihatan amat penting supaya memastikan tiada jangkitan wabak Covid-19.

Muhyiddin berucap sedemikian dalam Perutusan Khas Sempena Hari Buruh yang disambut pada hari ini, yang disiarkan secara langsung di televisyen pada tengah hari tadi.- HARAKAHDAILY 1/5/2020

- Advertisement -