Jangan dek kuasa, bangsa binasa, agama jadi mangsa

bangsa
- Advertisement -

SUDAH-sudahlah bangsa Melayu, jangan kerana kuasa, agama, bangsa, negara binasa. Bersatulah membina negara ini daripada perancangan jahat Ultra Kiasu. Saya ini Cina (Islam), letih dah asyik berpesan kepada bangsa yang bukan bangsaku, tetapi dia seagama denganku. Dilema sungguh hidup ini apabila tidak ada pilihan.

Saya cukup bimbang dengan pergolakan sesama bangsa, antara Umno dan BERSATU di negeri Johor dan juga tidak mustahil sudah pun merebak ke negeri-negeri lain.

Tidak mustahil juga merebak ke pusat, kerana penghasut-penghasut begitu ramai. Ultra Kiasu ketawa gembira, bertepuk tangan, terus menyerang dan melancarkan psywar dan psyop bagi melemahkan kita, menggugat kita, dan mempengaruhi kita.

- Advertisement -

Jika keadaan ini berlaku, tidak dapat dibendung, mungkin inilah hayat Kerajaan yang paling singkat, setelah diambil daripada Ultra Kiasu. Kenapa saudara semua tidak mahu ambil iktibar sejarah, sedangkan Allah sentiasa mengingatkan. Kerana kuasa, bangsa binasa, kerana kuasa, agama jadi mangsa.

Berfikirlah untuk agama, bangsa dan negara. Jangan sampai negara ini jatuh sekali lagi kepada Ultra Kiasu. Cukuplah dengan apa yang telah dialami selama 22 bulan yang lalu. Ultra Kiasu ini sedang menunggu detik-detik manis untuk kembali jika saudaraku terus lemah dan bertelingkah. Percayalah, dunia ini, kuasa yang ada, harta yang menimbun, hanya sementara, tidak boleh bawa mati. Sampai masa, tinggallah ia di dunia.

Apa yang kekal di dunia yang sementara apabila kita telah tiada? Yang kekal apabila kita meninggalkan dunia ini adalah, agama, anak bangsa dan negara yang akan diwarisi oleh cucu-cicit kita. Sanggup saudara semua tinggalkan kepada Ultra Kiasu yang sebelum ini telah merobek-robek segala yang ada, apabila mereka bertakhta? Insaflah saudaraku.

Sepatutnya hari ini saudara semua, bekerja sehabis mungkin, sekuat mungkin untuk memutuskan COVID-19. Pastikan negara ini terus selamat dan sejahtera. Selain itu, banteras habis-habisan pendatang tanpa izin yang tidak kembali ke negara asal. Kita semakin risau, hari demi hari ada sahaja tangkapan demi tangkapan melibatkan pendatang tanpa yang ingin menetap negara ini bagi tujuan tertentu, terutama yang datang daripada China dan India dalam bilangan yang ramai.

Semalam sahaja, belum lagi kes sebelum ini, dilaporkan seramai 44 warga China ditangkap polis kerana terlibat dalam perjudian dalam talian. Ini tidak termasuk ratusan ribu yang telah diberikan kad pengenalan oleh Ultra Kiasu dahulu.

Saya tidak pernah hirau dengan pendatang Rohingya, Bangladesh, Nepal yang berada di negara ini meskipun pendatang tanpa izin, kerana mereka ini mudah sahaja untuk dikenali, dengan rupa bentuk fizikal, warna kulit dan beberapa ciri yang lain.

Tetapi bagaimana dengan pendatang Cina daripada China, dan India daripada negara India yang bukan warganegara, datang ke sini atas tiket pelancong, kemudian tidak balik-balik ke negara asal mereka. Mereka ini terlalu sukar untuk dikenali dan dijejaki kerana rupa paras dan bentuk sebiji sama seperti rakyat warganegara kita, Cina dan India di sini. Inilah yang paling membimbangkan.

Kita tidak tahu di mana mereka? kenapa kita tidak ambil kisah? Apatah lagi untuk masuk ke rumah-rumah ibadat mereka bagi tujuan pemeriksaan. Apa yang mereka lakukan hari ini? Apa perancangan di sebalik? Berapa ramai sebenarnya pendatang daripada India dan China yang tinggal di negara ini setelah tamat tempoh? Berapa ramai yang telah diberikan kad pengenalan oleh Ultra Kiasu? Sedarlah saudaraku.

Bulan puasa ini adalah bulan penyatuan, seluruh umat Islam berpuasa, tanpa berkecuali. Senangkan untuk menyatukan umat Islam kerana ibadatnya hanya ada satu tidak ada dua. Persoalannya, kenapa sukar sangat menyatukan umat Islam? Jawapannya, kita terlalu mengejar kuasa, pangkat, dan takhta. Saudara masih tidak lagi berubah. Insaflah sebelum nasi menjadi bubur.

PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH – HARAKAHDAILY 1/5/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -