Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajal akhir zaman (44)

- Advertisement -

FIRMAN Allah S.W.T:

- Advertisement -

فَانطَلَقَا حَتَّىٰ إِذَا رَكِبَا فِي السَّفِينَةِ خَرَقَهَا ۖ قَالَ أَخَرَقْتَهَا لِتُغْرِقَ أَهْلَهَا لَقَدْ جِئْتَ شَيْئًا إِمْرًا

“Lalu berjalanlah keduanya sehingga apabila mereka naik ke sebuah perahu, Khidr membocorkannya. Musa berkata: “Adakah engkau membocorkannya untuk menenggelamkan penumpangnya? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perkara yang besar.”

قَالَ أَلَمْ أَقُلْ إِنَّكَ لَن تَسْتَطِيعَ مَعِيَ صَبْرًا

“Dia menjawab: “Bukankah aku telah katakan, bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku?””

قَالَ لَا تُؤَاخِذْنِي بِمَا نَسِيتُ وَلَا تُرْهِقْنِي مِنْ أَمْرِي عُسْرًا

“Nabi Musa berkata: “Janganlah engkau marah akan daku disebabkan aku lupa (akan syaratmu) dan janganlah engkau memberati daku dengan sebarang kesukaran dalam urusanku (menuntut ilmu)”.”

Intisari penting

(1) Merosakkan harta orang

Ayat ini merekodkan kisah pertama pengembaraan ilmu Nabi Musa dan Khidr A.S. Mereka berjalan ke pantai lalu menumpang sebuah bot ke laut. Apabila bergerak, Nabi Khidr telah membocorkannya. Perkara ini membuatkan Nabi Musa bertindak menegurnya kerana dalam ilmunya, perbuatan itu adalah salah. Lalu Nabi Khidr memperingatkan pesanannya bahawa memang Nabi Musa tidak boleh bersabar bersamanya.

Perbuatan Nabi Khidr bukan sahaja bertentangan dengan syariat Nabi Musa, bahkan bertentangan dengan syariat kita juga. Menurut Imam Syatibi, Nabi Khidr tidak salah kerana itulah wahyu Allah kepada Baginda. Nabi Musa juga tidak salah menegur kerana itulah juga syariat Baginda. Menurut pandangan Asyairah dan Imam Syafie, syariat umat terdahulu bukan syariat kita.

Namun menurut al-Izz bin Abdul Salam, boleh kita memusnahkan sedikit harta pihak di bawah jagaan kita untuk menjaga kepentingan harta mereka yang lebih besar. Contohnya penjaga harta anak yatim, boleh merosakkan harta anak yatim untuk melindungi harta mereka yang lebih banyak daripada dirampas.

Ibrah akhir zaman

(1) Pembingkaian berita

Banyak pengajaran daripada ayat ini untuk umat akhir zaman. Antaranya adalah aspek menghukum tanpa mendapat gambaran yang menyeluruh. Nabi Khidr merosakkan kapal kerana diberi wahyu oleh Allah mengenai kedatangan raja yang zalim bakal merampas harta orang ramai. Menurut Sultanul Ulamak, sekiranya Nabi Musa maklumat sebenar, nescaya bukan sahaja Baginda tidak membantah, bahkan Baginda sendiri akan membantu Nabi Khidr. Malah tambah beliau, sekiranya berlaku pada zaman kita, maka hukumnya begitu juga.

Antara masalah utama akhir zaman ini adalah maklumat sebenar amat sukar diperoleh. Selain terlalu banyak berita palsu (Hoax), olahan berita dari sudut-sudut tertentu yang sempit tanpa membentangkan fakta keseluruhan juga sering digunakan. Ia diistilahkan sebagai pembingkaian media (media framing).

Perkembangan dunia siber merancakkan lagi fenomena Post-Truth yang kita lalui sekarang. Persembahan maklumat yang kita perolehi daripada media baharu sebenarnya telah disusun mengikut algoritma tertentu bukan sahaja berdasarkan kecenderungan (interest) kita, bahkan mengikut apa yang pihak tertentu mahu kita tahu. Jamie Bartlett menulis buku bertajuk The People vs Tech menerangkan bagaimana media baharu berfungsi dalam memanipulasikan pertimbangan akal manusia sehingga mempengaruhi mereka dalam membuat pilihan hidup sama ada dari sudut ekonomi, mahupun politik. Pokok pangkalnya, sesiapa yang menguasai media, mereka akan menyampaikan berita mengikut kepentingan mereka.

Kerana itulah jika kita perasan, portal Facebook menyekat (ban) hantaran-hantaran yang berbaur kritikan terhadap eljibiti kerana pemiliknya adalah Yahudi yang menyokong agenda eljibiti. Youtube pula menyekat sebarang berita yang tidak selari dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam isu COVID-19. Walaupun kita menganggap internet merupakan sumber maklumat tanpa tapisan, hakikatnya apa yang kita baca hanyalah mengikut apa yang pihak di sebalik tabir mahu tanam dalam fikiran kita.

Menjadi keperluan kepada umat Islam untuk mengesahkan berita (tabayyun) dalam menerima sesuatu berita yang datang dari sumber milik penjahat (fasik). Firman Allah S.W.T:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا

“Wahai orang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah.”


[al-Hujurat: 6]

Namun kita juga perlu memahami daripada ayat ini bahawa walaupun sumber tersebut adalah fasik seperti Google, Twitter dan Facebook, tidak bermakna kita perlu menolak terus. Apa yang perlu adalah mengesahkannya dengan siasatan terperinci.

Kesilapan umat Islam hari ini adalah bersikap terlalu ekstrem antara menerima dan menolak. Ada yang menerima terus tanpa langsung diselidik menyebabkan terpengaruh. Ada juga yang menolak terus juga tanpa diselidik menyebabkan ketinggalan maklumat.

(2) Materialistik membakar rasional

Selain itu, pengajaran yang boleh diambil adalah dari sudut nilai harta. Dunia hari ini yang bertunjangkan falsafah Materialisme menganggap semua pertimbangan haruslah mengutamakan kepentingan kebendaan. Sesuatu keputusan perlu dinilai dari sudut untung rugi material sehingga bukan sahaja membelakangkan syariat Islam, bahkan mengenepikan kepentingan nyawa.

Itulah fenomena yang kita lihat berlaku hari ini. Berapa ramai yang sanggup mempertaruhkan nyawa bagi memperoleh kekayaan? Terlibat dalam pertandingan yang membahayakan hanya kerana tawaran hadiah yang lumayan. Memperjudikan kesihatan untuk kekayaan. Sedangkan jika difikir secara rasional, harga nyawa dan anggota badan tidak dapat dibayar sesiapapun.

Pandemik COVID-19 menjadi bukti barah Materialisme ini semakin parah. Negara Barat menjadi negara paling teruk diancam wabak tersebut. Faktor terbesar adalah kerana sikap masyarakat mereka yang tidak mengikut konsep kuarantin. Secara teori, kuarantin akan menjejaskan ekonomi. Lalu mereka bangkit memprotes perintah berkurung dan menyatakan, mereka lebih sanggup mati kerana COVID-19 daripada tidak boleh berbisnes.

Materialisme menyebabkan masyarakat Barat hilang pertimbangan akal. Walaupun COVID-19 adalah virus yang telah dibuktikan secara saintifik, ramai di kalangan mereka menganggap ia adalah Hoax pihak tertentu tanpa asas kukuh hanya kerana wabak ini menjejaskan urusniaga mereka.

Kerajaan Barat tidak boleh menyalahkan rakyat mereka juga. Mereka sendiri yang mengangkat sistem yang bertunjangkan Materialisme menjadi asas pemikiran rakyat. Mereka yang ajar bahawa wang adalah segala-galanya. Mereka juga yang menganjurkan kebebasan bersuara, sehingga fakta saintifik pun hanya dianggap sebagai pendapat yang boleh ditolak sesiapa sahaja.

Sekiranya dunia menerima ajaran Islam, pastinya wabak ini boleh dikawal dengan mudah. Imam Ghazali memperkenalkan konsep Darurat 5 (الضَّرُورِيَّاتُ الخَمس), menerangkan bahawa kesemua ajaran Islam ditetapkan bagi menjaga lima kepentingan secara tertib iaitu; (1) Agama, (2) Nyawa, (3) Akal, (4) Keturunan, (5) Harta. Mengikut tertib ini, kepentingan harta (material) berada pada tahap paling rendah. Apabila berlaku pertembungan dengan kepentingan lebih tinggi, maka kepentingan harta perlu dikorbankan.

Dalam isu COVID-19, ia melibatkan nyawa. Maka Islam menganjurkan kuarantin sekiranya berlaku wabak walaupun ianya akan merencatkan aktiviti ekonomi. Sabda Rasulullah S.A.W:

إذَا سمِعْتُمْ الطَّاعُونَ بِأَرْضٍ، فَلاَ تَدْخُلُوهَا، وَإذَا وقَعَ بِأَرْضٍ، وَأَنْتُمْ فِيهَا، فَلاَ تَخْرُجُوا مِنْهَا

“Jika kamu mendengar penyakit taun melanda di suatu kawasan, janganlah masuk ke kawasan tersebut. Dan jika kamu berada di kawasan tersebut janganlah kamu keluar dari situ.”

[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

Islam mengamalkan kuarantin jauh lebih awal daripada Barat, menurut Prof Abdul Jawwad dari Universiti Kaherah, khalifah Umawi Al-Walid bin Abdul Malik (meninggal 705M) telah membina hospital pertama di Damsyik bagi merawat penyakit kusta (leprosy) dan melarang orang awam mendekati mereka. Pakar Perubatan Islam, Abu Bakar ar-Razi (meninggal 925M) pula telah menulis mengenai kusta dan cara mencegahnya.

Kajian mikrobiologi kemudian dikembangkan oleh Ibn Sina (meninggal 1037) melalui bukunya Qanun fi al-Tibb. Menurut sebuah artikel keluaran majalah The Fountain bertajuk Ibn Sina: An Exemplary Scientist, Ibn Sina mendapati jangkitan berlaku disebabkan pencemaran badan oleh mikroorganisma asing dan mikroorganisma itu menjadi punca kepada penyakit-penyakit berjangkit. Ibn Sina bukan sahaja menyatakan mengenai kewujudan mikroorganisma, bahkan beliau mengandaikan bahawa mikroorganisma ini boleh menular dengan cepat. Beliau turut mencadangkan agar mereka yang dijangkiti dikuarantin.

Berbeza di Barat, mikroorganisma hanya dikenali pada akhir kurun ke-17 oleh saintis berbangsa Jerman yang dianggap Bapa Mikrobiologi, Anton van Leeuwenhoek. Kira-kira dua kurun selepas itu pula iaitu pada 1876, barulah seorang lagi Saintis Jerman pemenang anugerah nobel Robert Koch mendapati mikroorganisma adalah punca wabak.

Ini juga boleh menjadi contoh bagaimana Barat menyembunyikan fakta sebenar dan membingkaikan sejarah ketamadunan sehingga membentuk persepsi bahawa merekalah pencetus dan peneraju kepada kemajuan moden hari ini. Maka umat Islam perlu lebih bersikap skeptikal, analitikal dan kritikal dalam mendepani maklumat fasik daripada musuh Islam dan media sosial.

ALANG IBN SHUKRIMUN
8 Ramadhan 1441
1 Mei 2020 – HARAKAHDAILY 1/5/2020

- Advertisement -