Rahsia Ramadan memulihkan hati manusia

Al-Quran, siyam dan qiyam

- Advertisement -

HAKIKAT hati

- Advertisement -

Setiap manusia dikurniakan hati. Hati merupakan anggota yang paling penting dalam menentukan baiknya seseorang itu atau sebaliknya. Ia ibarat raja bagi jasad manusia. Nabi S.A.W bersabda menceritakan tentang hati:

أَلاَ وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً، إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلاَ وَهِيَ الْقَلْبُ
“Ketahuilah, sesungguhnya di dalam tubuh terdapat segumpal daging. Apabila segumpal daging tersebut baik, (maka) baiklah seluruh tubuhnya. Dan apabila segumpal daging tersebut buruk, (maka) buruklah seluruh tubuhnya. Ketahuilah, segumpal daging itu adalah hati.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kita juga perlu sedar bahawa hati itu sifatnya berubah-ubah sesuai dengan maksud qalb dari segi bahasa. Imam Qurtubi menukilkan di dalam kitabnya الأسنى في شرح أسماء الله الحسنى

ما سمي القلب إلا من تقلبه # فاحذر على القلب من قلب وتحويل
“Tidak dinamakan hati itu melainkan disebabkan berbolak balik, maka berwaspadalah terhadap hati, daripada perubahannya.”

Hati pula merupakan tempat terikatnya keimanan. Sebab itu kita diajar bahawa keimanan itu adalah التصديق بالقلب iaitu pegangan dengan hati. Dengan sifat hati yang sering berbolak balik, maka tidak hairan iman manusia juga mengalami pasang surutnya.

Imam Ibnu Hajar al Asqolani menyatakan di dalam فتح الباري شرح صحيح البخاري menukilkan kata kata Imam Syafie R.A :

الإيمان قول وعمل يزيد وينقص
“Iman itu adalah kata kata dan amalan, ia boleh bertambah dan berkurangan.”

Beliau menukilkan lagi kata kata Imam Syafie R.A yang diriwayatkan oleh Imam Abu Nu’aim di dalam kitab حلية الأولياء bahawa iman itu ialah:

يزيد بالطاعة وينقص بالمعصية
“Bertambah dengan melakukan taat dan berkurangan disebabkan maksiat.”

Ramadan bulan beramal

Sebagaimana yang diketahui, Ramadan merupakan bulan yang paling mulia di sisi Islam. Terdapat berbagai fadilat dan kebaikan yang hanya ada pada bulan ini sahaja. Segala amalan yang diperintahkan padanya juga memiliki kelebihan tersendiri, baik dari sudut ganjaran pahalanya mahupun manfaat keduniaannya.

Oleh kerana itu, kita disarankan untuk memperbanyakkan amal di bulan ini baik amalan wajib mahupun sunat. Amalan biasa di bulan lain dilipatkan gandakan pahalanya di bulan ini. Amalan yang tiada di bulan lain, ada pada bulan ini secara eksklusif.

Sabda Rasulullah S.A.W:

من تقرب فيه بخصلة من الخير كان كمن أدى فريضة فيما سواه، ومن أدى فيه فريضة كان كمن أدى سبعين فريضة فيما سواه
“Sesiapa yg melakukan sesuatu amalan kebaikan padanya, adalah seperti ia melakukan amalan yang wajib pada bulan yang lain. Sesiapa yang melakukan amalan yang wajib padanya, adalah seperti melakukan 70 amalan yang wajib pada bulan yang lain.”
(Riwayat Ibn Khuzaimah, Al Baihaqi, Al Munziri menilainya hasan)

Maka bagi mempertingkatkan iman sekaligus memperteguhkan hati, Ramadhan merupakan masa yang paling tepat untuk berbuat demikian.

Tiga amalan utama Ramadan

Al-Quran: Panduan hati

Mulianya Ramadan adalah kerana ini terpilih menjadi bulan turunnya mukjizat terbesar sepanjang zaman iaitu al-Quran. Allah S.W.T berfirman:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ
“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”
(al-Baqarah: 185)

Ayat ini turut menghuraikan ciri-ciri utama al-Quran yang dikatakan sebagai mukjizat terbesar itu. Ciri-ciri tersebut adalah:

i- هدى للناس Petunjuk bagi manusia

ii- بينات من الهدى Keterangan daripada petunjuk

iii- الفرقان Pembeza (kebenaran dan kebatilan)

Kata Imam Ibnu Kathir dalam menghuraikan perkataan هدى للناس (petunjuk bagi manusia):

هذا مدح للقرآن الذي أنزله الله هدى لقلوب العباد ممن آمن به وصدقه واتبعه
“Ini adalah pujian bagi al Quran, yang diturunkan oleh Allah S.W.T sebagai petunjuk bagi hati hambaNya yang beriman dengan al Quran, membenarkannya dan mengikutnya.”

Di sini kita boleh faham bahawa hidayah dan petunjuk yang Allah S.W.T kurniakan, terpancar ke dalam hati manusia. Hati adalah tempat terpancarnya hidayah Allah S.W.T.

Kerana itulah Nabi S.A.W memperbanyakkan bacaan al-Quran di bulan ini. Baginda S.A.W bertadarus pada setiap malam-malam Ramadhan bersama Jibril.

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ وَكَانَ أَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ وَكَانَ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ فَيُدَارِسُهُ الْقُرْآنَ فَلَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدُ بِالْخَيْرِ مِنْ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ
“Nabi SAW adalah orang yang paling pemurah. Baginda S.A.W lebih pemurah pada bulan Ramadan, ketikamana bertemu Jibril A.S. Baginda S.A.W bertemu Jibril AS setiap malam di Bulan Ramadan, bertadarus al-Quran. Rasulullah S.A.W pemurah dengan kebaikan melebihi angin yang bertiup.”
(Sahih Bukhari)

Puasa: Perisai hati

Antara ibadat yang eksklusif di bulan Ramadan ini adalah kewajipan berpuasa di siang harinya. Ia merupakan salah satu rukun Islam. Maka kelebihannya sudah tentu sangat tinggi. Antara kelebihannya buat hati manusia, Nabi S.A.W bersabda:

الصيام جنة
“Berpuasa itu adalah perisai.”
(Sahih Bukhari)

Imam Badruddin al Aini menukilkan huraian Imam Ibnu Athir di dalam عمدة القاري شرح صحيح البخازي

ومعنى كونه جنة أي يقي صاحبه ما يؤذيه من الشهوات
“Dan makna puasa itu sebagai perisai ialah melindungi orang yang berpuasa daripada apa yang mencelanya daripada syahwat.”

Berpuasa boleh menjauhkan seseorang itu daripada penyakit hati. Hati yang berpenyakit adalah hati yang kotor dan boleh dibersihkan dengan berpuasa. Imam Zahabi R.A menukilkan kata kata Imam Syafie R.A di dalam سير أعلام النيلاء

الشبع يثقل البدن ويقسي القلب، ويزيل الفطنة ويجلب النوم، ويضعف صاحبه عن العبادة
“Kekenyangan itu memberatkan badan, mengeraskan hati, menghilangkan kecerdikan, mengantukkan, dan melemahkan orang itu daripada beribadah.”

Qiyam: Bekalan hati

Antara amalan yang dituntut pada bulan Ramadan adalah mendirikan malam-malamnya. Sabda Rasulullah S.A.W:

من قام رمضان ايمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه
“Sesiapa yang menghidupkan Ramadhan dengan keimanan dan pengharapan, akan diampunkan dosa dosanya yang lepas.”
(Muttafaqun Alaih)

Imam Nawawi menyatakan maksud mendirikan ramadhan itu adalah solat terawih. Ia juga merupakan ibadat eksklusif bulan ini sahaja.

Faedah solat kepada diri manusia sudah tidak perlu dihuraikan lagi. Antara yang masyhur adalah firman Allah S.W.T:

إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنكَرِۗ
“Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar.”
(al-Ankabut 45)

Imam as-Sa’di menyatakan bahawa seseorang yang mendirikan solat dengan sempurna rukun, syarat dan khusyuknya akan bersinar dan suci hatinya, bertambah imannya, semakin kuat keinginannya ke arah kebaikan dan semakin lemah atau hilang keinginan ke arah keburukan. Maka menjaga dan memperbanyakkan solat dengan cara ini boleh mencegah perkara keji dan mungkar. Inilah maqasid dan hasilnya yang paling besar.

Selain tiga ini, terlalu banyak lagi amalan yang disarankanan pada bulan yang bermanfaat untuk hati. Cukuplah disenaraikan tiga yang terpenting dan menjadi trademark Ramadan ini supaya kita lebih fokus. Jadikanlah Ramadan ini sebagai medan untuk memperbanyakkan ketaatan bagi meningkatkan keimanan yang terletak di dalam hati.

Kita perlu sentiasa berdoa kepada Allah S.W.T supaya hati kita sentiasa tetap di atas dasar kebenaran. Kita juga perlu berhati hati dengan sebarang unsur yang boleh menyebabkan keterpesongan hati menjauhi kebenaran.

YB USTAZ MOHD AKMAL KAMARUDIN
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Dan Penerangan,
memangku portfolio Sains Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau,
Negeri Perak Darul Ridzuan – HARAKAHDAILY 30/4/2020

- Advertisement -