Perang angkasa (Space warfare)

- Advertisement -

LATAR belakang

(1) Sejak akhir-akhir ini kedengaran bunyi-bunyi uji kaji peluru berpandu, pelancaran satelite dan sewaktu dengannya yang dilaksanakan oleh kuasa-kuasa besar.

Antaranya Rusia, China, Amerika dan yang terbaru ialah Iran [1]. Hal Iran dan persaingannya saya akan huraikan di hujung artikel ini insyaAllah.

(2) Dalam artikel saya sebelum ini [2], China (PLA) mula menyuarakan perancangan mereka untuk menyerapkan teknologi 6G sekalipun ia masih lagi berteori di awangan.

Perancangan mereka dijangka pada 2030. Negara-negara lain seperti Jepun, Finland dan sebagainya, hanya menyuarakan ingin membangunkan projek 6G itu.

- Advertisement -

(3) Dalam masa yang sama, kita perlu sedar bahawa China sedang gigih membina pengaruh. Projek Belt And Road Initiative mereka dijangka sempurna pada 2049.

Manakala peluang krisis Myanmar yang mana Ang Sung Suu Kyi diheret ke mahkamah sedikit sebanyak menguntungkan China untuk mengerat laluan baru CMEC (darat di Myanmar). [3]

(4) Barat pula tengah pening kepala dengan isu COVID-19 dan keruntuhan ekonomi mereka yang berteraskan kepada Petrodollar. Berbeza dengan blok-blok Timur.

Negara seperti Rusia dan China dilihat sudah bersiap sedia dengan rizab emas [4] seolah-olah sudah bersedia menanti kehadiran kemelut ekonomi era COVID-19.

Persaingan teknologi

(1) Fenomena-fenomena Antarabangsa ini sedikit sebanyak memberitahu kita bahawa China sedang melebarkan pengaruhnya. Apatah lagi pada hari ini sedang berlaku suasana panas di Laut China Selatan.

Hal ini tak mengejutkan pun, kerana ia sememangnya laluan yang panas. Boleh baca artikel saya [5] yang menggambarkan keutamaan laluan ini terhadap China.

(2) Selain isu China yang nak muncul sebagai kuasa besar itu, wajar juga kita lihat mengenai persaingan persenjataan + teknologi. Rata-rata negara-negara besar sudah bersuara mengenai hal ini.

Antaranya penggunaan robot dalam perang atau Artificial Intelligence (Ai) yang sangat berkait rapat dengan pembangunan teknologi. Masing-masing masih berfikir mengenai World War 3 (WW3)?

(3) Dari segi persenjataan, masing-masing masih tertanya tanya apakah senjata yang bakal mendominasi dunia WW3. Perkembangan IR4.0 mungkin jawapannya.

Bahasa mudahnya, siapa menjuarai dunia teknologi, bakal menguasai dunia. Contohnya, persaingan Huawei VS Iphone dilihat sebagai persaingan Amerika VS China. [6]

(4) Fenomena inilah yang sedang hangat dibincangkan. Apatah lagi sejak alaf baru (2000) sudah bunyi keseriusan terhadap Perang Angkasa (Space Warfare).

Pada 2018 dan 2019 perbincangan ini semakin hangat, dan uji kaji juga semakin serius. Hari ini 2020 kita saksikan bagaimana ia seolah-olah sedang berjalan.

Kemunculan dan era WW2

Mengikut sejarahnya, sebelum ada perbincangan mengenai Space Warfare ini, telah wujudnya persaingan antara Amerika VS Soviet untuk menjajah angkasa.

Tempoh persaingan itu secara khususnya antara 1957-1975 yang turut mengheret kepada persaingan nuklear. Persaingan era ini juga perlu dikaji mengenai sejarah ‘roket’.

(2) Sebelum munculnya persaingan 1957-1975 antara Amerika VS Soviet, teknologi pembangunan roket sudah banyak dibuat. Teori-teori roket mula berkembang.

Antara yang terawal Pakar Sains Kesatuan Soviet, Konstantin Tsiolkovsky mengemukakan teori pada 1880-an. Pada 1926 seorang Saintis Amerika Robert Goddard mula ‘mewarisi’ kajian itu.

(3) Era 20-an juga projek kajian ini dilakukan oleh Jerman dan mula melancarkan roketnya pada 1942 yang mampu ‘menggapai’ angkasa. Kemudian teknologi ini digunakan untuk WW2.

Selepas kekalahan Jerman dalam era WW2 projek ini dibangunkan sehinggalah menjadi persaingan antara Soviet dan Amerika yang saya telah ceritakan tadi.

(4) Sebahagian sejarawan menganggap bahawa asal-usul Perang Dingin ialah persaingan menjelajah angkasa. Sebab itulah di era ini Amerika menonjolkan hero mereka Neil Amstrong.

Neil Amstrong dikatakan mendarat di bulan pada 1969. ‘Kejayaan’ Amerika ini digambarkan sebagai catatan bersejarah. Namun, wajar kita letak peratusan kemungkinan ia hanya propaganda.

80-an hingga 2019

(1) Persaingan ini lebih serius di era 80-an apabila Amerika telah menubuhkan United States Space Command (USSPACECOM atau SPACECOM) pada 1985 hingga 2002.

Pada 2002 pasukan khas angkasa ini diserapkan ke dalam United States Strategic Command (USSTRATCOM) yang sudah wujud sejak 1992 hingga ke hari ini.

(2) Rusia pula menubuhkan Russian Space pada 1992 dan kemudian menjadi badan bebas pada 2001. Pada 2011 ia ditubuh semula, dan menjadi komponen dalam Russian Aerospace Forces pada 2015.

Persaingan Rusia dengan Amerika tidak terhenti di saat itu apabila pada 2018 dan 2019 semakin jelas putik-putik untuk ke arah perang angkasa. Pada 2019 Amerika menubuhkan US Space Forces.

(3) Bukan sekadar Rusia VS Amerika sahaja. China juga turut sama apabila melancarkan percubaan Anti-Satelite pada Januari 2007. Hasilnya China dikecam oleh US, Britain dan Jepun.

Manakala pada Mac 2019 India menembak satelit di kawasan Low Earth Orbit dengan menggunakan ASAT. Pada Julai 2019, Perancis sudah mula bersuara dalam projek ini.

(4) Amerika yang menubuhkan US Space Forces pada Disember 2019 baru-baru ini mula mencetuskan kontroversi. Februari 2020 berlakunya konfrontasi dengan satelit Rusia.

Pada Disember 2019 juga Rusia telah menguji Hypersonic Glide Vehicle (HGV) pada Disember 2019. [7] Mungkin sebagai respons kepada Amerika yang keluar daripada perjanjian INF pada Ogos 2019.

Satelit Iran [1]

(1) Kalau sebelum ini kita kerap membincangkan isu geopolitik, tetapi hari ini sudah hangat sampai ke angkasa, tatkala Laut China Selatan sedang hangat dengan pencerobohan.

Namun, sepertimana yang saya ceritakan di awal tadi, Iran agak mengejutkan dunia dengan turut melancarkan satelit ketenteraan pertama ke orbit baru-baru ini.

(2) Tindakan Iran itu dikecam oleh Amerika, yang disuarakan oleh Mike Pompeo sambul mengaitkan dengan Resolusi Keselamatan 2231 PBB (2015) yang turut berkaitan dengan Nuklear Iran.

Bukan setakat Amerika sahaja. Negara-negara Barat yang lain turut mengecam Iran antaranya Israel, Jerman dan Perancis sambil-sambil menyatakan kebimbangan.

(3) Ulasan Mike Pompeo yang mengungkit mengenai Resolusi Keselamatan 2231 PBB direspons oleh Javad Zarif, Menteri Luar Iran bahawa projek mereka itu tidak melanggar resolusi tersebut.

Bahkan beliau mengecam Amerika dan Eropah kerana salah membaca resolusi itu dan beliau menegaskan peluru berpandu Tehran tidak dirancang untuk membawa senjata nuklear.

(4) Fabian Hinz, penyelidik di Middlebury Institute of International Studies di Monterey, California mengikuti program angkasa Iran mengakui bahawa satelit Iran itu canggih.

Mousavian, yang merupakan pakar keselamatan dan dasar nuklear Timur Tengah di Princeton University, mengatakan Amerika perlu berjaga-jaga dengan teknologi ini agar tidak mencari pasal dengan Iran.

*Gambar: Satelit Iran yang baru dilancarkan pada 22 April 2020

[1] https://www.aljazeera.com/news/2020/04/iran-satellite-launch-sends-message-failed-pressure-200428102657189.html

[2] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3692038030837930/?d=n

[3] https://www.facebook.com/251201991739948/posts/1299250650268405/?d=n

[4] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3620770417964692/?d=n

[5] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3092626387445767/?d=n

[6] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3471499596225109/?d=n

[7] https://thediplomat.com/2019/12/russias-avangard-hypersonic-warhead-officially-enters-service/

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 30/4/2020

- Advertisement -