Nelayan Vietnam makin melampau, rompak hasil laut

- Advertisement -

SETIU: Pencerobohan bot nelayan asing Vietnam semakin hari semakin melampau apabila mencuri khazanah laut secara besar-besaran di perairan Malaysia termasuklah Terengganu.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata langkah lain yang lebih tegas dan efektif perlu diambil oleh pihak berwajib.

“Tindakan pengusiran bot nelayan asing Vietnam semata-mata tanpa penangkapan dan penahanan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini telah menyebabkan penceroboh semakin berani menceroboh perairan negara dan mencuri khazanah hasil laut secara besar-besaran.

“Tindakan pengusiran tidak berkesan, malah lebih mengancam. Beberapa kawasan perairan yang kaya dengan hasil laut seperti Perairan Pulau Tenggol Dungun antara yang menjadi sasaran,

“Malah, bukan lagi satu atau dua buah bot nelayan asing. Dengan menggunakan pukat ganding yang menjahanamkan segala apa yang ada di laut kita,” beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, semalam.

Dalam pada itu menurutnya lagi, terdapat laporan mengatakan ada yang berani menunjukkan senjata tajam kepada nelayan negara ini apabila aktiviti mereka cuba dihalang.

“Saya berpendapat, tindakan lebih tegas perlu diambil. Tak cukup dengan sekadar usir sahaja. Sekadar usir mereka lari sekejap, kemudian datang balik.

“Walaupun kita berhati-hati untuk mengelakkan penularan wabak COVID-19, tapi jangan sampai kita dilihat lemah dimata penceroboh, penjarah dan perompak hasil laut ini,’’ ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/4/2020

- Advertisement -