Ibrah melalui hikmah ibtila’ (Juz 7)

- Advertisement -

KUPASAN ayat pada hari ini menyentuh mengenai teguran Allah S.W.T kepada orang-orang yang melampaui had dalam melakukan ibadah kepada-Nya. Perkara yang tidak ada nas melarangnya, boleh dilakukan mengikut kemampuan masing-masing. Seseorang itu tidak boleh menghalang orang lain untuk melaksanakan perkara tersebut termasuk mengharamkan kepada diri sendiri sedangkan ianya halal di sisi syariat. Allah S.W.T telah menegaskan hal ini melalui firman-Nya:

- Advertisement -

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تُحَرِّمُوا۟ طَیِّبَـٰتِ مَاۤ أَحَلَّ ٱللَّهُ لَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوۤا۟ۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا یُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِینَ. وَكُلُوا۟ مِمَّا رَزَقَكُمُ ٱللَّهُ حَلَـٰلࣰا طَیِّبࣰاۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ٱلَّذِیۤ أَنتُم بِهِۦ مُؤۡمِنُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu) kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas. Dan makanlah daripada rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya sahaja kamu beriman.”

[al-Ma’idah: 87-88]

Ketika zaman Rasulullah S.A.W, terdapat segelintir Sahabat yang hanya mahu memenuhi kehidupannya dengan mengabdikan diri kepada Allah sahaja. Mereka tidak mahu mengecapi kesenangan dunia serta lebih menumpukan kepada solat tanpa ada ruang rehat, berpuasa tanpa berbuka, tidak mahu berkahwin dan sebagainya. Setelah berita ini sampai ke pengetahuan Rasulullah S.A.W, Baginda seraya menegaskan:

أَمَا وَاللَّهِ إِنِّي لَأَخْشَاكُمْ لِلَّهِ وَأَتْقَاكُمْ لَهُ، لَكِنِّي أَصُومُ وَأُفْطِرُ، وَأُصَلِّي وَأَرْقُدُ، وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ، فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي

“Demi Allah, sesungguhnya aku lebih takutkan Allah daripada kamu, paling bertakwa kepada-Nya daripada kamu, namun aku berpuasa dan aku berbuka, aku sembahyang dan aku tidur serta aku mengahwini perempuan. Maka, sesiapa yang tidak suka akan sunnahku, dia bukan daripada kalanganku”.

(Bukhari, Muslim)

Kisah yang berlaku ini boleh disifatkan sebagai suatu ibtila’ serta ragam segelintir para Sahabat yang cuba merubah sifat fitrah dan kesederhanaan Islam kepada suatu bentuk penderaan ke atas lumrah hidup manusia. Sedangkan syariat yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W mempunyai maqasidnya tersendiri untuk menjaga agama, nyawa, kehormatan, akal dan harta benda.

Pada hakikatnya, orang-orang beriman tidak boleh sama sekali mengharamkan ke atas dirinya sesuatu yang Allah telah tetapkan sebagai halal dengan beranggapan sikap sedemikian adalah cara terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.

Pada hari ini, terdapat kalangan umat Islam yang memperkecilkan perkara Thoyyibat atau halal lagi suci yang telah dikurniakan oleh Allah. Terdapat juga golongan yang terlalu bermudah sehingga menghalalkan yang haram. Ini menyebabkan lahirnya golongan pelampau dalam masyarakat sehingga akhirnya mereka dipesongkan oleh musuh Islam. Dalam soal mementingkan Thoyyibat ini, umat Islam juga seharusnya lebih peka dalam membangunkan produk halal lagi suci bagi membangunkan masyarakat yang juga Thoyyib atau baik.

Melalui pengambilan produk halal ini, ia dapat menjamin kebaikan rohani dan jasadi serta menjana pertumbuhan masyarakat dan ekonomi yang barakah. Pemerkasaan produk dan industri halal serta pembangunan ekonomi berasaskan Syariat Islam dalam negara mampu melenyapkan amalan riba, rasuah, penyalahgunaan harta anak yatim dan pelbagai amalan tidak sihat. Untuk itu, perlunya digiatkan secara lebih agresif kempen Utamakan Barangan Orang Islam (BMF) selain ianya merupakan serampang dua mata dalam mengukuhkan produk halal dan menjana ekonomi ummah. Tidak akan sama produk halal lagi suci dengan produk yang syubhah apatah lagi haram. Begitulah perumpamaan bahawa segala perkara yang jahat dan haram sama sekali tidak dapat menyaingi perkara baik sekalipun perkara jahat itu disukai oleh majoriti manusia. Hayatilah firman Allah S.W.T:

قُل لَّا یَسۡتَوِی ٱلۡخَبِیثُ وَٱلطَّیِّبُ وَلَوۡ أَعۡجَبَكَ كَثۡرَةُ ٱلۡخَبِیثِۚ فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ یَـٰۤأُو۟لِی ٱلۡأَلۡبَـٰبِ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ

“Katakanlah (wahai Muhammad): Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertakwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran supaya kamu berjaya.”

[al-Ma’idah: 100]

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
07 Ramadhan 1441 / 30 April 2020 – HARAKAHDAILY 30/4/2020

- Advertisement -