Hukuman PATI di negara lain lebih keras

- Advertisement -

KOTA BHARU: Isu pendatang asing yang berlaku sekarang ibarat ‘kera di hutan disusukan, anak kandung mati kelaparan’ dan ‘sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi’.

Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Zulkeflee Yaacob berkata, tindakan kerajaan terhadap pendatang tanpa izin bagi mengelak mudarat lebih besar.

- Advertisement -

Katanya, hukuman terhadap Pendatang Tanpa Izin (PATI) di Malaysia tidak menakutkan berbanding negara-negara lain.

“Misalnya di Korea Utara warga asing yang memasuki sempadan negara itu secara haram akan dikenakan 12 tahun kerja keras.

“Malahan di Iran dipenjara berbanding Afghanistan yang akan menembak pendatang haram di sempadan,” katanya di sini.

Baru-baru ini bot yang membawa pelarian Rohingya cuba memasuki perairan Malaysia, namun dihalang pasukan keselamatan dengan mengambil kira penularan wabak Covid-19 yang berlaku sekarang.

Bagaimanapun pelarian tersebut dikatakan diberi makanan sebelum diarah meninggalkan perairan Malaysia.

Berikutan itu bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilapor berkata, menghalau bot pelarian sehingga menyebabkan mereka tersadai di laut sehingga dua bulan merupakan perbuatan yang tidak manusiawi.

Dr Zulkeflee juga berkata, sebilangan PATI juga didapati kurang menjaga kebersihan dan sering menyebabkan kerosakan harta benda sehingga penduduk tempatan tidak selesa.

“Malahan ketika Perintah Kawalan Pergerakan sekarang dikesan ramai warga asing tidak mengikut peraturan ditetapkan seperti lepak, berkumpul dan keluar berkumpulan,” katanya.- HARAKAHDAILY 30/4/2020

- Advertisement -