Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajal akhir zaman (43)

- Advertisement -

FIRMAN Allah S.W.T:

- Advertisement -

قَالَ فَإِنِ اتَّبَعْتَنِي فَلَا تَسْأَلْنِي عَن شَيْءٍ حَتَّىٰ أُحْدِثَ لَكَ مِنْهُ ذِكْرًا

“Dia menjawab: “Sekiranya engkau mahu mengikutku, maka janganlah engkau bertanya kepadaku akan sesuatupun sehingga aku ceritakan halnya kepadamu”.

Ibrah akhir zaman

Pertempuran antara hak dan batil akan berlaku dengan sangat dahsyat di akhir zaman kelak. Sebelum tertegak khilafah Islamiah terakhir (rujuk tajuk ayat 2: Khalifah Akhir Zaman Akan Tertegak), akan berlaku berbagai siri peperangan di antara umat Islam dengan musuh yang pelbagai. Sabda Rasulullah S.A.W:

عُمْرَانُ بَيْتِ الْمَقْدِسِ خَرَابُ يَثْرِبَ وَخَرَابُ يَثْرِبَ خُرُوجُ الْمَلْحَمَةِ وَخُرُوجُ الْمَلْحَمَةِ فَتْحُ قُسْطَنْطِينِيَّةَ وَفَتْحُ الْقُسْطَنْطِينِيَّةِ خُرُوجُ الدَّجَّالِ.

“Kepesatan Baitulmaqdis adalah tanda keruntuhan Madinah. Keruntuhan Madinah adalah tanda perang besar. Berlakunya perang besar adalah tanda pembukaan kota Costantinople. Pembukaan Constantinople adalah tanda keluarnya Dajal.”

[Hadis Riwayat Abu Daud]

Juga sabda Rasulullah S.A.W:

تَغْزُونَ جَزِيرَةَ العَرَبِ، فَيَفْتَحُهَا اللهُ. ثُمَّ فَارِسَ، فَيَفتَحُها اللهُ. ثُمَّ تَغْزُونَ الرُّومَ، فَيَفْتَحُهَا اللهُ. ثُمَّ تَغْزُونَ الدَّجَّالَ، فَيَفْتَحُهُ اللهُ.

“Kamu akan memerangi tanah Arab lalu Allah memberikan kemenangan. Kemudian kamu akan memerangi tanah Parsi lalu Allah memberikan kemenangan. Kemudian kamu akan memerangi tanah Rom lalu Allah memberikan kemenangan. Kemudian kamu akan memerangi Dajal lalu Allah memberikan kemenangan.”

[Hadis Riwayat Muslim]

Sebelum semua ini berlaku, tentera Islam harus mempersiapkan pasukannya terlebih dahulu untuk berjuang. Antara persiapannya adalah dengan mengikat janji setia antara pemimpin dan pengikut yang lebih dikenali sebagai baiah. Ia penting untuk meyakinkan kumpulan Islam akan kesanggupan anggotanya melaksanakan strategi yang dirancang.

Baiah adalah Sunnah Rasulullah S.A.W sebagai sebuah persediaan untuk tugas-tugas perjuangan Islam. Sirah merekodkan beberapa kali baiah termeterai antaranya Baiah Aqabah Pertama dan Kedua serta Baiah ar-Ridhwan. Maka ia menjadi syariat kepada setiap kumpulan Islam yang mewarisi perjuangan Rasulullah S.A.W untuk berbaiah taat setia kepada agama dan ketetapan Jamaah Islam selagi tidak bertentangan syariat. Dr Abdul Karim Zaidan mengaitkan pengajaran ayat ini dengan keperluan baiah terhadap Jamaah Islam.

Kerana itulah kita diperintahkan untuk berbaiah kepada Imam Mahdi apabila tiba masanya. Sabda Rasulullah S.A.W:

يَقْتَتِلُ عِندَ كَنْزِكم ثَلَاثَةٌ، كُلُّهُمُ ابْنُ خَلِيفَةٍ، ثُمَّ لَا يَصِيرُ إِلَى وَاحِدٍ مِنْهُم، ثُمَّ تَطْلُعُ الرَّايَاتُ السُّودُ مِن قِبَلِ الـمَشْرِقِ، فَيَقْتُلُونَكم قَتْلاً لَم يَقْتُلْهُ قَومٌ، ثمَّ ذَكَرَ شَيئًا لاَ أَحفَظُهُ فَقَالَ، فَإِذَا رَأَيْتُمُوهُ فَبَايِعُوهُ وَلَو حَبْوًا عَلَى الثَّلجِ، فَإنَّهُ خَلِيفَةُ اللهِ الـمَهدِيُّ.

“Akan berperang tiga pihak di sisi Kaabah, kesemuanya dari kalangan putera Raja. Tidak ada seorangpun yang bakal beroleh takhta yang direbutkan. Kemudian muncul panji hitam dari arah Timur, maka mereka memerangi kamu dengan peperangan yang kamu tidak pernah hadapi. (Kemudian Nabi S.A.W menyebutkan beberapa perkara yang tidak diingati perawi.) Sekiranya kamu sempat dengannya maka berbaiahlah padanya sekalipun terpaksa merangkak di atas salji. Kerana sesungguhnya dialah khalifah Allah al-Mahdi.”


[Hadis Riwayat Ibn Majah]

Imam Suyuti menukilkan daripada Muhammad al-Baqir bahawa umat Islam yang berbaiah ketika itu cuma berjumlah 313 orang. Namun selepas berlaku satu pasukan tentera ditelan bumi, baharulah ramai yang pergi mendapatkan Imam Mahdi dari seluruh pelosok dunia memberikan baiah:

يَكُونُ اخْتِلَافُ عِندَ مَوتِ خَلِيفَة ، فَيَخرُجُ رَجُلٌ مِن أَهلِ المَدِينَةِ هَارِبًا إِلَى مَكَّةَ، فَيَأتِيهِ نَاسٌ مِن أَهلِ مَكَّةَ فَيُخرِجُونَهُ وَهُوَ كَارِهٌ ، فَيُبَايِعٌونَهُ بَينَ الرُّكنِ وَالمَقَامِ ، فَيُبعَثُ إِلَيهِ بَعثٌ مِن الشَام ، فَيُخسَفُ بِهِم بِالبَيدَاء ، فَإِذَا رَأَى النَّاسَ ذَلِكَ أَتَاهُ أَبدَالُ الشَّامِ وَعَصَائِبُ العِرَاقِ فَيُبَايِعُونَهُ

“Bakal berlaku perselisihan saat kematian khalifah. Lalu muncul seorang lelaki (Imam Mahdi) daripada Madinah lari ke Makkah. Kemudian dia didatangi oleh penduduk Makkah lalu membawanya keluar dari rumah dalam keadaan beliau enggan. Beliau lalu dibaiah di antara Rukn Hajarul Aswad dan Maqam Ibrahim. Selepas itu datang satu pasukan-pasukan dari Syam untuk memerangi beliau, lalu bumi menelan mereka ketika sampai di kawasan Baida’. Apabila manusia melihat peristiwa itu, datanglah para wali abdal daripada Syam dan pasukan-pasukan dari Iraq dan memberi baiah kepadanya.”

[Hadis Riwayat Abu Daud]

Hadis ini menunjukkan terdapat beberapa kumpulan Islam yang berjuang di serata dunia. Setiap kumpulan ini berbaiah kepada pemimpin masing-masing. Namun apabila muncul Imam Mahdi, kesemua kumpulan wajib menggabungkan diri dengan kumpulan Imam Mahdi kerana dia adalah khalifah Islam sejagat, bukan sekadar pemimpin kumpulan Islam setempat.

Selain itu, peristiwa perjanjian taat setia turut berlaku ketika perang antara Islam melawan Rom. Sabda Rasulullah S.A.W:

عَدُوٌّ يَجْمَعُونَ لِأَهْلِ الْإِسْلَامِ وَيَجْمَعُ لَهُمْ أَهْلُ الْإِسْلَامِ. )قُلْتُ الرُّومَ تَعْنِي ؟ قَالَ:( نَعَمْ وَتَكُونُ عِنْدَ ذَاكُمْ الْقِتَالِ رَدَّةٌ شَدِيدَةٌ ، فَيَشْتَرِطُ الْمُسْلِمُونَ شُرْطَةً لِلْمَوْتِ لَا تَرْجِعُ إِلَّا غَالِبَةً

“Musuh berhimpun untuk menentang tentera Islam. Tentera Islam juga berhimpun untuk menentang mereka. (Ibn Mas`ud bertanya adakah mereka Rom? Nabi menjawab) Ya. Saat itu ramai orang Islam berpaling tidak sanggup berperang kerana kedahsyatannya. Sehingga orang Islam yang ada mengikat perjanjian hidup mati; Tidak akan pulang melainkan setelah menang.”

[Hadis Riwayat Muslim]

Perkara ini menunjukkan kepentingan baiah dalam kumpulan Islam yang berjuang di akhir zaman. Sama ada Imam Mahdi sudah muncul ataupun belum, beriltizam taat setia dengan jamaah Islam yang lengkap ciri-cirinya sebagai Hizbullah merupakan kewajipan Islam. Ia juga adalah perintah Rasulullah S.A.W bagi menyelamatkan diri dari fitnah akhir zaman. Sabdanya S.A.W ketika ditanya mengenai oleh Huzaifah al-Yaman berkenaan cara menyelamatkan diri dari fitnah akhir zaman:

تَلْزَمُ جَمَاعَةَ الْمُسْلِمِينَ وَإِمَامَهُم.

“Beriltizamlah dengan jamaah Islam dan pemimpin mereka.”

[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

Iltizam bukan sekadar berdaftar, tetapi melaksanakan segala ketetapan jamaah Islam yang tidak bercanggah dengan syarak. Ia berkait dengan janji baiah yang perlu dipenuhi oleh umat Islam ketika berdaftar.

ALANG IBN SHUKRIMUN
7 Ramadhan 1441
30 April 2020 – HARAKAHDAILY 30/4/2020

- Advertisement -