Waspada watak iblis dalam diri

diri

JIKA engkau bertanya mengenai al-Quran kepada iblis, maka iblis akan menerangkan dengan jelas, kerana iblis tahu bila ayat itu turun dan mengapa diturunkan.

Jika engkau bertanya mengenai ilmu Hadis kepada iblis, maka iblis juga pandai menjelaskannya, kerana iblis tahu asbabul wurud dari Hadis.

Jika engkau bertanya mengenai cerita para Nabi, iblis akan menceritakannya dengan tepat kerana iblis sudah ada sebelum Nabi Adam dicipta.

Advertisement

Iblis ahli al-Qur’an.
Iblis ahli Hadis.
Iblis ahli riwayat.
Iblis alim pelbagai ilmu.

Namun iblis tidak menjadi kekasih Allah, bahkan menjadi musuh Allah, kerana dalam diri iblis ada kalimat;

“Aku lebih baik dari dia!”

Janganlah sedikit ilmu yang dititipkan Allah di hati kita, menjadikan kita sombong.

Yang kita takut, hati kita kian mengeras dan sukar menerima nasihat, namun sangat pandai menasihati.

Yang kita takut, kita merasa paling benar, sehingga merendahkan yang lain.

Yang kita takut, ego kita tinggi, hingga merasa paling baik di antara yang lain.

Yang kita takut, kita lupa bercermin diri, namun sibuk berprasangka buruk kepada yang lain.

Yang kita takut, ilmu kita membuatkan kita menjadi sombong, memandang orang lain hina.

Yang kita takut, lidah kita lincah membicarakan aib orang lain, namun lupa dengan aib diri.

Yang kita takut, kita hanya hebat dalam berkata namun buruk dalam berbuat.

Yang kita takut, kita hanya cerdas dalam mengkritik, namun lemah dalam memperbaiki diri sendiri.

Yang kita takut, kita membenci dosa orang lain, namun saat kita sendiri buat dosa, kita enggan membencinya.

Bertuahlah kiranya Allah sentiasa menyedarkan diri kita, sehingga lebih sibuk mengurus diri daripada mengurusi orang lain yang mungkin perilaku dan tutur katanya lebih baik dari diri kita.

USTAZ HAJI AHMAD YAHAYA
Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah – HARAKAHDAILY 29/4/2020