Seramai 933 pelajar dihantar pulang hari ini, esok

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Seramai 933 pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) dari Zon Utara dan Zon Sarawak akan dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing dalam zon yang sama bermula hari ini dan esok.

- Advertisement -

Seramai 653 daripada jumlah itu terdiri dari pelajar IPT Zon Utara dan 280 daripada Zon Sarawak.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, pergerakan tersebut akan melibatkan 44 buah bas di Zon Utara membabitkan negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

Mereka dijadualkan mula bertolak jam 2 petang hari ini dan dijangka tiba ke destinasi sebelum waktu berbuka, manakala terdapat juga pelajar yang bertolak jam 9 malam ini.

“Sebelum ini kita umum jam 9 malam sampai 9 pagi, tetapi hari ini bertolak jam 2 petang, kerana jaraknya dekat. Ia bagi memudahkan ibu bapa mengambil mereka di balai polis serta untuk pihak berkuasa di daerah menghantar mereka pulang,” ujarnya dalam sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di sini, hari ini.

Sementara itu, bagi Zon Sarawak, pergerakan pelajar akan melibatkan dua buah bas dan satu van, di mana 42 pelajar dari Universiti Malaysia Sarawak (UniMAS) dimaklumkan telah bertolak pulang jam 9 pagi tadi.

Tambahnya lagi, malam tadi pergerakan melibatkan pelajar dari lima IPT di Zon Utara yang pulang ke Zon Tengah sudah selamat tiba di rumah masing-masing dan tiada isu berbangkit dilaporkan setakat ini.- HARAKAHDAILY 29/4/2020

- Advertisement -