PKP: Pelajar teruja dibenarkan pulang rumah

Pelajar UniMAP sedang di saring sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dengan menaiki bas yang disediakan, dijangkakan akan bergerak malam ini. Sumber foto: Media UniMAP
- Advertisement -

ARAU: Perasaan teruja jelas tergambar pada wajah pelajar-pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) selepas lebih sebulan terpaksa tinggal di kampus ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Rata-rata pelajar yang ditemui tidak sabar menemui keluarga selepas hasrat hendak pulang ke kampung ketika peringkat awal pelaksanaan PKP tidak dibenarkan.

- Advertisement -

Pelajar pengajian Kejuruteraan Sharina Tifanny Darias berkata, biarpun dibenarkan pulang namun perlu mengikut Tatacara Operasi Standard (SOP) yang ketat bagi menjamin keselamatan pelajar.

Katanya, SOP tersebut hampir menyamai inisiatif yang dilaksanakan UniMAP pada awal pelaksanaan PKP.

Wan Nurhasrina Hayadee

“Setiap pelajar perlu menjalani pemeriksaan kesihatan, memastikan penjarakan sosial dan mengutamakan penjagaan kesihatan serta kebersihan diri.

“Namun saya melihat inisiatif tambahan yang dilaksanakan iaitu proses disinfeksi beg pelajar dan kenderaan serta membabitkan penglibatan Polis Diraja Malaysia dan Pejabat Daerah,” katanya ketika ditemui semalam.

Rakannya, Muhd Shahril Hafiz pelajar Pusat Pengajian Kejuruteraan Mikroelektrik pula berkata, selepas lebih sebulan tinggal di Kolej Kediaman UniMAP beliau akhirnya memilih menyertai program penghantaran pulang pelajar yang dianjurkan kerajaan.

“Bagi saya ini merupakan peluang mungkin datang hanya sekali sahaja ekoran situasi PKP yang dicetuskan Covid-19 tidak dapat dipastikan akan berlanjutan untuk tempoh berapa lama,” ujarnya.

Wan Nurhasrina Hayadee dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Komputer dan Perhubungan juga memilih untuk pulang ke kampung selepas segala tugasan dan kerja yang diberikan pensyarah sudah disiapkan.- HARAKAHDAILY 29/4/2020

- Advertisement -