PKP Fasa 4: Boleh keluar berdua

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 4 bermula hari ini sedikit memberi kelonggaran kepada ketua keluarga di mana mereka boleh membawa seorang lagi ahli bersamanya dalam urusan yang dibenarkan.

Kelonggaran itu diberi dalam Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, yang diwartakan sejak semalam.

Peraturan yang diterbitkan dalam warta kerajaan mengikut kuasa perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu, berkuat kuasa mulai hari ini hingga 12 Mei depan.

- Advertisement -

Seksyen 4(1)(a)(ii) peraturan itu, membenarkan individu yang keluar membeli makanan, ubat, keperluan harian atau barangan lain disertai seorang anggota keluarga yang tinggal serumah dengannya.

Individu yang keluar ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan atau perubatan pula, dibenarkan untuk disertai mana-mana orang lain yang dianggap perlu secara munasabah, selaras Seksyen 4(1)(b)(ii) peraturan sama.

Dalam masa sama, warta kerajaan itu mengekalkan peraturan sebelum ini, iaitu mereka yang mahu keluar membeli makanan, barangan keperluan harian, perubatan, rawatan dan lain-lain, hanya dibenarkan bergerak tidak melebihi 10 kilometer (km) dari kediaman masing-masing.

Pun begitu, orang ramai diberi kelonggaran bergerak melebihi 10 KM jika keperluan itu tiada dalam lingkungan jarak berkenaan dari rumah masing-masing.

Sementara itu seksyen 5 pula memperuntukkan orang ramai perlu mendapatkan kebenaran bertulis dari balai polis berhampiran kediaman masing-masing, jika mahu melakukan pergerakan jarak jauh atau bagi sebab selain keperluan harian dan perubatan.

Bagaimanapun PKP Fasa 4 masih menetapkan sesiapa melanggar peraturan itu boleh didenda maksimum RM1,000 atau dipenjarakan sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali. – HARAKAHDAILY 29/4/2020

- Advertisement -