COVID-19: 55 pulih, 94 kes baharu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tiada kematian Covid-19 direkodkan pada hari ini iaitu kekal dengan jumlah 100 kes kematian.

- Advertisement -

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 55 kes disahkan pulih dan dibenarkan keluar daripada hospital manakala kes baharu dilaporkan sebanyak 94 kes.

Jumlah kumulatif sembuh dari Covid-19 mencatatkan sebanyak 4,087 kes bersamaan dengan 68.75 peratus daripada keseluruhan kes.

“Sehingga jam 12 tengah hari tadi, terdapat 94 kes baharu yang telah dilaporkan, ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,945 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan keboleh jangkitan Covid-19 adalah 1,758 kes, mereka (ini) telah diasingkan dan diberi rawatan di hospital,” katanya dalam sidang media harian Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pertambahan kes baharu positif Covid-19 adalah majoriti merupakan kes import.

Ia melibatkan 72 kes warganegara pelajar Malaysia yang baharu pulang daripada Indonesia manakala 22 kes lagi adalah daripada penularan tempatan.

“Sehingga kini seramai 40 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dan daripada jumlah tersebut 18 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke CPRC kebangsaan, dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian pada hari ini.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 100 kes iaitu bersamaan dengan 1.68 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” kata Noor Hisham. – HARAKAHDAILY 29/4/2020

- Advertisement -