POKOK SENA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada, Ustaz Mohd Salim Mahmood hari ini menjadi mangsa scammer apabila gambarnya digunakan oleh individu yang tidak bertanggungjawab melalui aplikasi WhatApps kononnya beliau memohon sejumlah wang atas pihaknya.
Beliau yang dihubungi Harakah sebentar tadi memaklumkan, mesej berkenaan bukan darinya, malah menegaskan tidak pernah memohon sebarang bantuan kewangan dari sesiapa pun.
“Mungkin ini kerja scammer, mengambil kesempatan atas nama dan gambar saya untuk tujuan tidak bermoral ini,” kata beliau.
Sementara itu, pegawai khas ADUN Bukit Lada itu, Mohd Hanifi Ahmad Jamaludin yang turut menerima mesej itu memaklumkan, pihak berkenaan memohon bantuan sebanyak RM9,300 untuk dimasukkan ke nombor akuan yang diberikan atas alasan urusan penting.
“Bila saya tanya kenapa guna nombor lain, orang yang menyamar sebagai Adun Bukit Lada itu bagitahu, nombor yang selalu digunakan rosak,” ujar beliau.
Walau bagaimana pun maklum Hanifi, beliau tahu mesej itu datangnya dari scammer memandangkan Ustaz Salim berada di pusat khidmatnya hari ini.
Namun, beliau bimbang andainya mesej tersebut diterima oleh pihak lain yang menyangka ia betul datang dari adun berkenaan.
Justeru itu, beliau akan membuat laporan polis di balai polis berhampiran berkenaan isu itu. – HARAKAHDAILY 29/4/2020