PKP: Razman, Noor Azmi berjiwa besar mengaku salah

- Advertisement -

GERIK: Pendakwaan mahkamah dan pensabitan kesalahan sama sekali tidak melemahkan, malah ia adalah perlu untuk sama-sama membaiki kualiti dan kuantiti prosedur gerak kerja yang dapat dilihat oleh rakyat.

- Advertisement -

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak, Razman Zakaria berkata, pendakwaan tersebut adalah sebagai satu pengajaran buatnya dalam mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi juga turut didenda maksimum RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Gerik di sini, hari ini.

Mereka berdua didakwa kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan perhimpunan penganjuran jamuan makan di Maahad Tahfiz Quran Lid Dakwah Wal Imamah di Lenggong yang tular di media sosial sebelum ini.

“Kita berterima kasih kerana himpunan jamuan makan itu tidak disalah anggap. Hakim Majistret, Norhidayati Mohammad Nasroh juga yakin bahawa ia diadakan bukanlah bertujuan tidak berfaedah, malah ia untuk membantu masyarakat setempat.

“Namun atas beberapa faktor kesihatan, ia tetap tidak dikecualikan kerana ia turut memberi risiko besar dalam penularan pandemic Covid-19. Saya akur dan menerima hukuman mahkamah, saya minta maaf kepada semua atas kecuaian saya,” ujarnya yang juga Adun Gunung Semanggol penuh tenang.

Norhidayati dalam penghakimannya berkata, hukuman denda adalah memadai bagi kesalahan tersebut setelah meneliti beberapa tujuan himpunan diadakan iaitu untuk menunaikan solat Asar serta memberi sumbangan, ia adalah perkara yang baik.

Bagaimanapun, berdasarkan pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Azhar Mokhtar dan Mohamad Amri Alfikri Mohamad Dasuki itu, kedua-dua mereka perlu dihukum selaras fakta yang telah dikemukakan kepada pihak mahkamah. – HARAKAHDAILY 28/4/2020

- Advertisement -