Ibrah melalui hikmah ibtila’ (Juz 5)

- Advertisement -

GOLONGAN Yahudi bukan sekadar memendam perasaan tidak redha kepada umat Islam bahkan mereka sentiasa melakukan usaha-usaha untuk memadamkan agama Allah serta menghancurkan umat Islam dengan melancarkan permusuhan ke atas umat Islam. Mereka bukan setakat menaruh hasad dengki akan tetapi sanggup membunuh para Nabi. Jika ditinjau dalam rakaman sejarah, puak Yahudi sentiasa mewujudkan huru-hara seperti merancang perang Ahzab di zaman Rasulullah S.A.W serta mencetuskan peperangan semasa pemerintahan Khulafa’ Al-Rasyidin. Kedengkian ini dirakamkan dalam banyak ayat al-Quran, antaranya firman Allah S.W.T:

- Advertisement -

أَمۡ لَهُمۡ نَصِیبࣱ مِّنَ ٱلۡمُلۡكِ فَإِذࣰا لَّا یُؤۡتُونَ ٱلنَّاسَ نَقِیرًا. أَمۡ یَحۡسُدُونَ ٱلنَّاسَ عَلَىٰ مَاۤ ءَاتَىٰهُمُ ٱللَّهُ مِن فَضۡلِهِۦۖ فَقَدۡ ءَاتَیۡنَاۤ ءَالَ إِبۡرَ ٰ⁠هِیمَ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَءَاتَیۡنَـٰهُم مُّلۡكًا عَظِیمࣰا

“Patutkah ada bagi mereka (kaum Yahudi itu) sesuatu bahagian daripada kekuasaan memerintah? (Tidak, bahkan kalau ada) maka sudah tentu mereka tidak akan memberikan sedikitpun kebaikan kepada manusia. Atau patutkah mereka dengki kepada manusia (Nabi Muhammad dan umatnya) disebabkan nikmat (pangkat Nabi dan agama Islam) yang telah diberikan oleh Allah kepada mereka daripada limpah kurnia-Nya? Kerana sesungguhnya Kami telah kurniakan kepada keluarga Ibrahim: Kitab (agama) dan hikmat (pangkat Nabi), dan kami telah memberi kepada mereka Kerajaan yang besar.”

[al-Nisa’: 53-54]

Ketika zaman Nabi S.A.W terdapat Yahudi yang dengki dengan kesatuan ummah yang telah dibina oleh Nabi di kalangan Aus dan Khazraj dan penduduk Madinah. Pemuka Yahudi seperti Kaab bin Asyraf, Syas bin Qais sentiasa mengapi-apikan permusuhan kaum supaya peperangan tercetus. Setelah Nabi S.A.W berjaya meletakkan Madinah sebagai sebuah negara yang pesat membangun, mereka sangat berdendam lalu melancarkan pelbagai serangan. Pasar raya Qainuqa’, Mazahim, Sofsofah dan banyak lagi semuanya dimonopoli oleh kaum Yahudi. Lantas Nabi S.A.W membina sebuah pasar raya yang dapat menjamin mutu dan keadilan kepada pekerja yang akhirnya dapat menyaingi ekonomi berasaskan riba. Yahudi menaruh dengki lalu membuat hasutan dan mencetuskan peperangan. Begitulah kejahatan bangsa Yahudi sepanjang zaman.

Pada zaman ini, Yahudi merancang melalui gerakan politiknya Zionis dan pakatan rahsia yang lain untuk menghancurkan gerakan Islam dan negara umat Islam dengan melakar pelbagai peta berdarah. Negara di Asia Barat menjadi tumpuan bagi menyekat pembangunan khilafah serta mereka dengan rakus menggondol hasil dan khazanah bumi negara umat Islam. Perang proksi rancak dilancarkan demi menaikkan kuasa mereka di seluruh dunia. Mereka menyusun perpecahan rakyat dengan sebab perkauman, kabilah, mazhab dan ideologi serta membekalkan senjata supaya umat Islam berbunuhan sesama sendiri.

Sekiranya umat Islam masih leka dan suka memanjangkan perbalahan sesama mereka, kebangkitan Islam akan terencat dan akan banyak negara umat Islam akan menjadi kancah perang. Fasa ini memerlukan umat Islam bersatu hati memperjuangkan secara bersama kebangkitan Islam dan jangan tergolong daripada kalangan orang yang hanya menonton serta melepaskan diri daripada gerak kerja dakwah. Hayati peringatan Allah S.W.T supaya kita tidak termasuk golongan tersebut, firman Allah:

وَإِنَّ مِنكُمۡ لَمَن لَّیُبَطِّئَنَّ فَإِنۡ أَصَـٰبَتۡكُم مُّصِیبَةࣱ قَالَ قَدۡ أَنۡعَمَ ٱللَّهُ عَلَیَّ إِذۡ لَمۡ أَكُن مَّعَهُمۡ شَهِیدࣰا

“Dan sesungguhnya ada di antara kamu orang-orang yang sengaja memberat-beratkan dirinya (untuk turut mara ke medan perang atau berjuang). Kemudian jika kamu ditimpa kemalangan (tercedera atau terbunuh) dia berkata: Sesungguhnya Allah telah mengurniakan nikmat kepadaku, kerana aku tidak turut berperang bersama-sama mereka.”

[al-Nisa’: 72]

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
05 Ramadan 1441 / 28 April 2020 – HARAKAHDAILY 28/4/2020

- Advertisement -