Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajal akhir zaman (41)

- Advertisement -

FIRMAN Allah S.W.T:

- Advertisement -

قَالَ لَهُ مُوسَىٰ هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَىٰ أَن تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْدًا

“Nabi Musa berkata kepadanya: “Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?”

Ibrah akhir zaman

Fokus utama di dalam kisah Nabi Musa dan Khidr di dalam surah ini adalah mengenai persoalan ilmu. Kepentingan ilmu di akhir zaman dalam berhadapan dengan fitnah kekeliruan adalah sesuatu yang tidak perlu diperbahaskan lagi. Tambahan di akhir zaman ini, ilmu semakin hilang dan orang jahil semakin berleluasa.

Antara gambaran ilmu di akhir zaman adalah sabda Rasulullah S.A.W:

إنَّ بيْنَ يَدَيِ السَّاعَةِ لَأَيّامًا، يَنْزِلُ فيها الجَهْلُ، ويُرْفَعُ فيها العِلْمُ، ويَكْثُرُ فيها الهَرْجُ

“Apabila hampirnya kiamat, akan berlaku hari-hari kejahilan berleluasa, ilmu dihilangkan dan pembunuhan bertambah.”

Keadaan bertambah buruk apabila muncul pula gejala ahli ilmu yang memiliki kepentingan tersendiri. Sabda Rasulullah S.A.W:

إِذَا اتُّخِذَ الفَيْءُ دُوَلًا ، وَالأَمَانَةُ مَغْنَمًا ، وَالزَّكَاةُ مَغْرَمًا ، وَتُعُلِّمَ لِغَيْرِ الدِّينِ ، وَأَطَاعَ الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ ، وَعَقَّ أُمَّهُ ، وَأَدْنَى صَدِيقَهُ ، وَأَقْصَى أَبَاهُ ، وَظَهَرَتِ الأَصْوَاتُ فِي المَسَاجِدِ ، وَسَادَ القَبِيلَةَ فَاسِقُهُمْ ، وَكَانَ زَعِيمُ القَوْمِ أَرْذَلَهُمْ ، وَأُكْرِمَ الرَّجُلُ مَخَافَةَ شَرِّهِ ، وَظَهَرَتِ القَيْنَاتُ وَالمَعَازِفُ ، وَشُرِبَتِ الخُمُورُ ، وَلَعَنَ آخِرُ هَذِهِ الأُمَّةِ أَوَّلَهَا ، فَلْيَرْتَقِبُوا عِنْدَ ذَلِكَ رِيحًا حَمْرَاءَ ، وَزَلْزَلَةً وَخَسْفًا وَمَسْخًا وَقَذْفًا وَآيَاتٍ تَتَابَعُ كَنِظَامٍ بَالٍ قُطِعَ سِلْكُهُ فَتَتَابَعَ

“Apabila harta negara berlegar di kalangan kroni, amanah dianggap rampasan perang, zakat dianggap hutang, ilmu dipelajari bukan untuk agama, lelaki mentaati isterinya tetapi menderhakai ibunya, rapat dengan kawannya tetapi jauh dari bapanya, masjid menjadi tempat sembang, pemimpin di kalangan orang jahat dan lemah, dimuliakan seseorang kerana takut kejahatannya, alat hiburan berleluasa, arak diminum dan umat mutakhir melaknat umat terdahulu, maka nantikanlah angin merah, gempa bumi, tanah runtuh dan tanda-tanda lain terjadi umpama kalung terputus tali lalu gugur satu-persatu permatanya.

[Hadis Riwayat Tirmizi]

Hadis berikut menjelaskan lagi gambaran saat itu. Sabdanya S.A.W:

إِنَّ اللَّهَ لَا يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنْ الْعِبَادِ وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوسًا جُهَّالًا فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا

“Sesungguhnya Allah tidak menarik ilmu dengan cara mencabutnya pada diri hambaNya. Tetapi Dia menarik ilmu dengan menarik nyawa ulamak. Sehinggalah tiada lagi orang alim yang wujud, manusia akan menjadikan orang-orang jahil sebagai pemimpin, maka mereka ditanya, lalu memberikan fatwa tanpa ilmu. Mereka sesat, lagi menyesatkan.”

[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

Pemimpin yang sesat ini lebih ditakuti oleh Rasulullah berbanding Dajal. Sabda Baginda S.A.W:

لَغَيْرُ الدَّجَّالِ أَخْوَفُنِي عَلَى أُمَّتِي (قَالَهَا ثَلَاثًا). أَئِمَّةً مُضِلِّينَ

“Ada perkara selain Dajal yang lebih aku takuti terhadap umatku (Nabi berkata sebanyak tiga kali) iaitu pemimpin-pemimpin yang menyesatkan.”

[Hadis Riwayat Ahmad]

Kerana fenomena ini, maka jalan terbaik bagi umat Islam adalah menimba ilmu untuk menyelamatkan diri sendiri di akhir zaman. Kita sudah tidak boleh cukup sekadar bertaklid mengikut orang lain kerana ahli ilmu yang jahat dan sesat akan berleluasa. Bimbang kita mengikut ulamak yang salah.

Kerana itulah Nabi berpesan sekiranya dia tiada, setiap orang Islam mempersiapkan diri sendiri dengan hujah-hujah untuk berhadapan dengan Dajal. Sabda Rasulullah S.A.W:

غَيْرُ الدَّجَّالِ أَخْوَفُنِي عَلَيْكُمْ ، إِنْ يَخْرُجْ وَأَنَا فِيكُمْ ، فَأَنَا حَجِيجُهُ دُونَكُمْ ، وَإِنْ يَخْرُجْ وَلَسْتُ فِيكُمْ ، فَامْرُؤٌ حَجِيجُ نَفْسِهِ ، وَاللهُ خَلِيفَتِي عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ

“Ada perkara selain Dajal yang lebih aku takuti menimpa kalian. Sekiranya Dajal keluar di saat aku bersama kalian, maka aku akan berhujah mempertahankan kalian. Namun jika dia keluar di saat aku tidak lagi bersama, maka setiap orang perlu berhujah mempertahankan diri sendiri. Allah sahajalah penggantiku terhadap setiap orang Islam.”

[Hadis Riwayat Muslim]

Kenapa Baginda S.A.W tidak berkata jika dia tiada, ikutlah ulamak? Bukankah ulamak adalah pewarisnya seperti yang terdapat di dalam Hadis?

Jawapannya kerana fenomena akhir zaman ini terlalu dahsyat. Ramai ulamak yang akan menjadi petugas Dajal menyesatkan manusia. Sabda Rasulullah apabila Huzaifah al-Yaman R.A bertanya apa yang akan muncul di akhir zaman:

دُعَاةٌ عَلَى أَبْوَابِ جَهَنَّمَ، مَنْ أَجَابَهُمْ إِلَيْهَا قَذَفُوهُ فِيهَا

“Para pendakwah yang menyeru ke pintu neraka. Sesiapa yang menyahut seruannya akan dicampak ke dalamnya.”

[Hadis Riwatat Bukhari dan Muslim]

Maka kitalah yang perlu menjadi ulamak. Walaupun tidak mampu membimbing orang lain, sekurang-kurangnya carilah ilmu untuk membimbing diri sendiri mengenal kebenaran dan membezakannya daripada kebatilan yang dibawa oleh Dajal.

ALANG IBN SHUKRIMUN
5 Ramadan 1441
28 April 2020 – HARAKAHDAILY 28/4/2020

- Advertisement -