Ramadan: Rekod prestasi kemenangan Islam

- Advertisement -

UMUMNYA diketahui bahawa bulan Ramadan merupakan simbol bulan kemenangan bagi umat Islam. Hal ini terbukti dengan banyaknya peristiwa kemenangan tentera Islam dalam peperangan dan juga pembukaan negara atau kota baru yang dicatat dalam lipatan sejarah.

Semoga ia memberi suntikan motivasi pada diri kita dalam menghadapi bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.

- Advertisement -

Antara peristiwa penting yang berlaku di bulan Ramadan berdasarkan sumber dari terbitan pejabat Mufti Wilayah seperti berikut:

(1) Nuzul Al-Quran (25 atau 17 Ramadan) – Peristiwa memperingati turunnya al-Quran. Di sini bermulanya titik permulaan kepada tamadun peradaban manusia yang keluar daripada cengkaman jahiliah kepada cahaya ketamadunan Islam.

(2) Perang Badar (kedua Hijrah) – Seramai 313 umat Islam yang tidak mempunyai kelengkapan perang yang sempurna, tetapi berjaya mengalahkan 1,000 tentera musuh yang dipimpin oleh Abu Jahal yang lengkap bersenjata.

(3) Pembukaan Kota Makkah (8 Hijrah) – Berlaku hasil daripada pencabulan perjanjian yang dimeterai antara Rasulullah S.A.W dengan puak Quraisy dalam Perjanjian Hudaibiyah. Hasilnya umat Islam dapat menakluki kota Makkah yang di dalamnya terdapat kiblat umat Islam.

(4) Kedatangan rombongan Thaqif (9 Hijrah) – Kedatangan rombongan daripada Thaif ini menemui Rasulullah S.A.W untuk memeluk Islam

(5) Perang al-Buaib (13 Hijrah) – Peperangan yang berlaku di Iraq di antara tentera Islam dan Parsi. Peristiwa ini berakhir dengan kemenangan besar diperolehi oleh tentera Islam di mana berjaya membunuh hampir 100,000 tentera musuh.

(6) Pembukaan al-Nubah dan perjanjian al-Qibt (31 Hijrah) – Al-Nubah ialah kawasan di Selatan Mesir yang mana kebanyakan penduduknya beragama Kristian. Pembukaan yang dilakukan oleh salah seorang Sahabat yang bernama Abdullah bin Saad bin Abi Sarh.

(7) Pembukaan Semenanjung Rhodes (53 Hijrah) – Pembukaan ini dilakukan oleh Janadah bin Abi Umayyah pada bulan Ramadan setelah menerima tentangan daripada Musyrikin yang merupakan lanun di lautan.

(8) Penguasaan Kota Andalusia (91H) – Tariq bin Ziyad berjaya membuka kota Andalusia. Peristiwa ini menjadi mukaddimah kepada bertapaknya syiar Islam di negara Eropah sehingga merebak ke negara-negara yang lain.

(9) Pembukaan bandar-bandar di Perancis (102 Hijrah) – Antara bandar yang dibuka ialah Touloise, Sabtamania dan Urbunah. Pembukaan ini berjaya dilakukan setelah kekalahan teruk yang dihadapi oleh tentera Perancis semenjak berperang dengan tentera Islam.

(10) Perang Zallaqah (25 Ramadhan 479 Hijrah) – Berlakunya peperangan di Zallaqah iaitu suatu kawasan tanah rendah berhampiran Portugis. Dalam peperangan itu, tentera Islam di bawah pimpinan Yusuf bin Tashhfin berjaya mengalahkan tentera Perancis di bawah pimpinan Alfonso.

(11) Perang Salib (584 Hijrah) – Salahuddin Al-Ayyubi telah berjaya mengalahkan pasukan tentera Salib ketika di bulan Ramadan. Mereka juga berjaya mengambil dan menguasai benteng Shafad.

(12) Perang Ain Jalut (658 Hijrah) – Kerajaan Mamalik berjaya mengalahkan pasukan tentera Tartar Monggol di Ain Jalut. Penguasa Mesir, Qutuz juga mengalahkan tentera Monggol di Ain Jalut pada bulan Ramadan.

(13) Pembukaan negeri Armenia (673 Hijrah) – Pembukaan ini adalah satu kemenangan yang besar kepada umat Islam ke atas golongan Kristian Arman. Armenia adalah tempat yang amat strategik bagi pihak Rom.

(14) Perang Shuqhub (2 Ramadan 702 Hijrah) – Punca berlakunya peperangan ialah kerana Qazan, cucu kepada Hulagu Khan ingin menghancurkan Kerajaan Islam di Mesir. Sebelum peperangan berlaku, tentera Monggol telah memberi tamparan yang hebat kepada umat Islam dengan membunuh ramai tentera Islam. Akan tetapi, sifat tentera Islam yang cekal dan tidak berganjak akhirnya berjaya mengalahkan tentera Monggol sehingga mereka bersembunyi di celah-celah bukit dan berjaya memburu mereka hingga ke sungai Furat.

(15) Pembukaan negara Bosnia Herzegovina (791 Hijrah) – Negara Bosnia Herzegovina sebenarnya telah lama berada di bawah pemerintahan Islam di zaman khalifah Uthmaniah. Pemerintah mereka berjiwa pejuang dan banyak meneroka tempat baru di sebelah Eropah.

(16) Peperangan tentera Mesir dan Syria mengalahkan Israel (1393 Hijrah) – Ini menjadikan pukulan hebat kepada tentera Israel sehingga mengheret kepada suatu perjanjian.

Semoga beroleh manfaat.

Nukilan FAIZ RAZALI

Sumber:
Majalah Manhaj 2.0, berjudul ‘Ramadan: Disini Bermulanya Kemenangan’ tulisan SS Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 27/4/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -