NADMA tidak sediakan kenderaan, hanya selaras pergerakan

KUALA LUMPUR: Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan timbul kekeliruan berhubung penghantaran pulang individu yang selesai kuarantin wajib oleh pihak NADMA.

Katanya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak menyediakan kenderaan untuk membawa pulang individu yang selesai menjalani tempoh kuarantin wajib di pusat kuarantin.

Sebaliknya, kata beliau NADMA hanya menyelaraskan pergerakan dan kebenaran pulang individu berkenaan.

“Timbul sedikit kekeliruan kerana ramai beranggapan NADMA akan menyediakan kenderaan untuk menghantar pulang individu yang selesai dikuarantin wajib di pusat kuarantin.

Advertisement

“Sebenarnya apa yang dilakukan oleh NADMA hanya menyelaras kepulangan mereka, sebagai contoh mereka boleh diambil di pusat kuarantin untuk dibawa pulang tetapi hanya seorang pemandu sahaja yang boleh bawa mereka pulang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya, hari ini.

Manakala beliau turut berkata, individu yang tiada kenderaan untuk pulang ke rumah, pihak NADMA akan menyelaraskan kenderaan melalui perkhidmatan e-hailing atau perkhidmatan teksi.

“Mana-mana individu yang memerlukan perkhidmatan e-hailing atau teksi, sekretariat di pusat kuarantin itu akan membantu mereka menyelaraskan kenderaan untuk pulang.

“Dengan syarat ianya akan ditanggung sendiri oleh individu yang memerlukan perkhidmatan e-hailing atau perkhidmatan teksi.

Dalam pada itu, katanya individu yang ingin pulang ke Sabah atau Sarawak akan turut diselaraskan oleh NADMA secara langsung.

“Bagi mereka yang ingin pulang ke Sabah atau Sarawak NADMA akan menyelaraskan pergerakan mereka ke lapangan terbang.

“Seterusnya mereka akan pulang ke Sabah atau Sarawak dengan pesawat yang telah ditetapkan tarikh penerbangan iaitu seminggu sekali, pada hari jumaat,” ujarnya.- HARAKAHDAILY 27/4/2020