Mantapkan perjalanan FELDA, suatu pandangan awal

- Advertisement -

STAKEHOLDER atau Pemegang Taruh dalam Felda perlu tahu hak dan kepentingan mereka. Kerajaan Persekutuan, Kerajaan negeri, wakil Peneroka dan anak generasinya perlu memahami tujuan penubuhan Felda atau membaca semula sejarah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan.

- Advertisement -

Jika semua tahu kepentingan mereka, sudah pasti urus tadbir FELDA tidak perlu dikorporatkan. Kerana FELDA sudah jelas bukan Syarikat. FELDA adalah tertaluk kepada agensi kerajaan. Bila ianya hendak diurus tadbir secara korporat maka berlakulah apa yang berlaku sebelum ini.

Kita perlu menoleh sejarah kegemilangan FELDA sebelum ini, sebelum FELDA diheret ke papan bursa atas nama FELDA Global Vanture Holdings FGVH melalui pakej tranformasi yang dibawa oleh Perdana Menteri ketika itu 2012 atau lebih awal lagi.

Sejurus penubuhan kerajaan Perikatan 1955, kertas pembangunan tanah untuk mengeluarkan penduduk miskin di luar bandar khususnya orang Melayu mulai digerakan dengan tugasan ini diberi amanah kepada Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman untuk mengetuai jawatankuasa pertama.

Seterusnya melalui akta-akta tertentu, seperti undang-undang pembangunan tanah 1959, Akta Tanah Kawasan Penempatan Berkelompok 1960 yang terkenal dengan GSA telah berjaya dibentangkan di Parlimen oleh Perdana Menteri Pertama Allahyarham Tun Abdul Razak pada 27 April 1960.

Selepas itu bermula pembukaan kawasan pertama sehingga hari ini lahirnya 317 Tanah Rancangan di seluruh negara kecuali Sarawak. 112 635 peneroka direkodkan menjadi ketua keluarga hidup dengan kisah dan liku berbeza-beza mengikut zaman.

Saya pernah menulis panjang lebar sejarah ini sebelum ini. Sehinggalah zaman kegemilangan, langsai hutang Bank dunia, penubuhan Koperasi Permodalan FELDA KPF dan sehinggalah FELDA melalui zaman transformasi dengan lahirnya FGV.

Oleh itu pemegang taruh mestilah bangkit menguasai kembali kerusi Ahli Lembaga Pengarah FELDA untuk memastikan dasar dan memantau urus tadbir agar berada pada landasan betul dan terbaik untuk mendatangkan hasil yang baik untuk semua.

Nilai semula aset dan perniagaan teras, asingkan secara jelas FELDA dan FGV agar ianya tidak membawa kesan risiko korporat FGV kepada FELDA dan langsung membawa musibah kepada peneroka seperti apa yang berlaku hari ini.

Kajian mendalam Felda Technoplant Sdn Bhd. sama ada perlu atau tidak menjadi syarikat pengurusan kepada ladang-ladang dan aset lain. Jika ianya perlu perkasakan FTP agar menjadi syarikat yang benar-benar kukuh dan mampu mengurus dengan baik.

Hutang lapuk antara Peneroka dan FELDA perlu dimuktamadkan dengan kedua-dua pihak memerimanya amaun tertentu agar ianya tidak terus membelengu FELDA, Peneroka dan anak- anak generasinya.

Bentang semula hala tuju FELDA yang baharu, bukan seperti Kertas Putih sebelum ini, yang hanya memalitkan tuduhan kedurjanaan koperat seperti kata kerajaan terdahulu.

Jika aset dinilai, urus tadbir diperbaiki, saya percaya, Bank akan kembali memberi kepercayaan tanpa jaminan kerajaan pun, kerana FELDA ada segalanya.

Binalah semula FELDA dengan satu semangat kerjasama berpasukan, Kerajaan baharu hari ini, kerajaan negeri, peneroka dan seluruh anak-anak generasinya akan bersatu bersama.

Percayalah.


NARAZA MUDA
Presiden Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan
(GENERASI)
HARAKAHDAILY 27/4/2020

Tulisan ini sempena ulang tahun ke 60 Akta GSA dibentangkan di Parlimen 27 April 1960 .

- Advertisement -