COVID-19: Dunia 3 juta, Amerika bakal cecah 1 juta

Malaysia tunjuk kemampuan bendung penularan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jangkitan positif COVID-19 di seluruh dunia telah melepasi angka 3 juta kes melibatkan penularan di 210 negara dan wilayah termasuk dua kapal di lautan antarabangsa setakat rekod jam 3 petang hari ini.

- Advertisement -

Memasuki hari ke-142 sejak kes pertama di Wuhan China pada 8 Disember lalu, peningkatan tinggi dengan pertambahan 1 juta kes baharu dicatat ini berlaku hanya dalam 12 hari setelah kes ke 2 juta dicapai pada 15 April lalu.

Amerika Syarikat terus merekodkan kes terbesar mewakili sepertiga kes dunia apabila dijangka bakal mencatatkan angka 1 juta kes dalam beberapa jam lagi, mengatasi jauh Sepanyol di tangga kedua dengan 229,422 kes jangkitan.

Carta dunia tersebut diikuti Itali sebanyak 197,675 kes, Perancis (162,100), Jerman (157,946) dan United Kingdom (152,840), manakala angka kematian pula menghampiri 208,000 kes setakat jam 9 malam ini.

Pertambahan di Amerika sejak 29 Mac lalu sentiasa menerima angka melebihi 20,000 kes positif baharu setiap hari, di mana negara itu juga mendapat korban terbesar iaitu 55,415 kes dengan lebih 1,000 kematian sehari sejak 31 Mac lalu.

Malaysia pula yang satu ketika berada di tangga teratas dalam kalangan negara ASEAN bagaimanapun telah menunjukkan tanda pemulihan sangat positif dengan mencatat 5,820 kes dan 99 kematian di mana kini di kedudukan ke-46.

Rekod Malaysia itu telah ‘dipintas’ dalam 2 minggu ini oleh Singapura  yang kini berada di tangga ke-26 dan Indonesia (36) serta Filipina (40), manakala Thailand pula di kedudukan ke-58, seterusnya Vietnam (123) dan Myanmar (134).

Singapura semakin meningkat tinggi apabila mengalami pertambahan baharu 500 kes sehari sejak 16 April lalu dengan keseluruhan 14,423 kes setakat ini dan 12 kematian, manakala yang pulih pula cuma 1,060 pesakit. – HARAKAHDAILY 27/4/2020

- Advertisement -