1,128 pelajar IPT pulang ke kampung malam ini

PUTRAJAYA: Seramai 1,128 pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) akan mula bergerak pulang ke kampung halaman masing-masing bermula malam ini.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, seramai 863 daripada jumlah itu akan dihantar pulang ke Zon Utara dan bas yang sama akan membawa pelajar di Zon Utara ke Zon Tengah.

Jelas beliau, kenderaan yang dinaiki pelajar akan disanitasi atau dinyahkuman sebelum bas berlepas, dan beg para pelajar juga akan turut dinyahkuman bagi mengekang penularan virus Covid-19.

Advertisement

Selain itu, proses penghantaran akan melibatkan 49 buah bas ke destinasi-destinasi yang ditetapkan iaitu di balai polis atau pejabat daerah kawasan tertentu, jelasnya.

“Hanya satu ahli keluarga yang dibenarkan untuk mengambil mereka di balai polis, walau bagaiamanapun kita percaya ada pelajar-pelajar yang tidak mempunyai kenderaan untuk mengambil mereka.

“Jadi seperti yang saya sebutkan, barisan hadapan di daerah masing-masing akan menghantar mereka ke rumah masing-masing,” ujarnya dalam sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disini, hari ini.

Sepanjang perjalanan tersebut, disebabkan tiada Hentian Rawat dan Rehat (RnR) pelajar akan disajikan makanan sahur yang ditaja oleh Marry Brown dan Gardenia.

Sementara itu, bagi pelajar yang menuju ke Sabah dan Sarawak, mereka akan diterbangkan melalui empat lapangan terbang di semenanjung mulai 1 Mei ini.

Empat lapangan terbang itu ialah Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu bagi pelajar di Kelantan dan Terengganu; Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur bagi pelajar di Zon Tengah termasuk Pahang; Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang bagi pelajar di Zon Utara, dan Lapangan Terbang Antarbangsa Senai bagi pelajar di Zon Selatan.- HARAKAHDAILY 27/4/2020