Tiada pergerakan pulang 1 Mei – Ismail Sabri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob memperbetulkan kekeliruan berhubung pergerakan pulang orang terkandas di kampung untuk pulang ke rumah masing-masing.

Katanya, 1 Mei bukan tarikh pergerakan pulang mereka yang kini terkandas di kampung untuk pulang ke bandar, sebaliknya tarikh akhir permohonan sebelum keputusan lanjut dibuat.

“Sebenarnya 1 Mei adalah tempoh akhir permohonan yang boleh dibuat melalui aplikasi Gerak Malaysia dan sesiapa yang tidak mempunyai aplikasi tersebut boleh membuat permohonan di balai polis terdekat melalui temu janji.

- Advertisement -

“Selepas 1 Mei itu, baru kita kumpul maklumat daripada balai polis seluruh negara selepas itu baru dibawa bincang bersama MKN (Majlis Keselamatan Negara), PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) untuk mengeluarkan SOP lanjut,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurutnya, selepas perbincangan dibuat, semua cadangan perlu dibawa ke mesyuarat khas Menteri untuk diluluskan bagi memutuskan tarikh sebenar pergerakan pulang.

Katanya, perkara ini memerlukan penelitian kerana ia melibatkan kepulangan yang besar.

Semalam, PDRM telah mengeluarkan kenyataan berhubung kebenaran pergerakan bermula 1 hingga 3 Mei.

Bagaimanapun, Ismail Sabri mengatakan bahawa beliau berterima kasih di atas cadangan yang dikeluarkan PDRM itu, namun keputusan sebenar akan dibuat selepas perbincangan lanjut dibuat.- HARAKAHDAILY 26/4/2020

- Advertisement -