Sedikit motivasi untuk pemberi motivasi (Ebit Lew)

- Advertisement -

SEHARI dua ini ribut mengenai Ustaz Ebit Lew. Di saat hanya tinggal di rumah tempoh PKP, rupanya kita terlalu banyak masa untuk melayari pelbagai medsos dan komen terhadap apa yang orang lain buat. Kalau komen itu membina, baguslah, tapi kalau komen meruntuhkan, baik duduk diam di rumah dan baca al-Quran dalam Ramadan ini.

Ustaz Ebit Lew pernah memberi ceramah untuk pelajar Sekolah Rendah Islam Darultaqwa Kemaman lama dahulu. Masa itu dia ‘biasa-biasa saja’. Masih kurang terkenal. Terakhir, datang ke Kemaman sempena pemasyhuran Majlis Perbandaran Kemaman. Ramai anak muda yang hadir.

Usaha dakwah, membantu yang susah bukanlah perkara yang tersembunyi darinya. Semua orang didekati- gelandangan, miskin, mat rempit, mak nyah, tukar jantina dan lain-lain. Apa yang dibuat tentulah datang dari dalam diri, dan bukan untuk lakonan. Kalau lakonan, ia tidak lama kerana ia bukan datang dari dalam diri. Berlakon menjadi seorang yang taat, realitinya belum tentu dia seorang yang taat. Berlakon menjadi suami yang baik, belum tentu di rumah, dia demikian.

- Advertisement -

Usaha baik yang dibuat sebenarnya sedikit sebanyak dapat membantu pelbagai agensi Kerajaan yang lain. Mat rempit ada kaitan dengan PDRM. Mak nyah ada kaitan dengan penguatkuasa agama. Yang miskin ada kaitan dengan JKM dan pusat zakat. Justeru, apabila seorang Cina mualaf dengan pasukannya ini agak ‘agresif’ mendekati golongan-golongan ini, ia tidak bermakna mengganggu agensi Kerajaan lain. Niatnya baik. Tinggal lagi dalam keadaan begitu banyak usaha yang dibuat, tentu sahaja ada yang tersilap dan terlepas pandang. Yang penting juga ialah usaha secara ‘simbiosis’ antara team Ustaz Ebit Lew dengan agensi berkaitan. Maklumat mesti ada terlebih dahulu. Kalau tiada, dapatkan kemudian sebelum ditular atau disiar. Kes di Kedah baru-baru ini patut dijadikan iktibar untuk usaha akan datang.

Islam mengajar kita supaya bersangka baik dengan mukmin yang baik. Jika ada kesilapan, tegur dengan cara yang baik. Contohnya, pernah Ustaz Ebit Lew membuat program pengharmonian rumah tangga yang melibatkan kehadiran suami isteri. Dalam program itu, suami isteri mungkin mendedahkan kesilapan masing-masing. Niat program itu baik, tetapi cara pengendaliannya tak berapa kena. Ada asatizah yang telah menegur. Program baik mesti dibuat dengan cara yang baik menurut syarak. Jika ada kesilapan perbetulkan.

Membantu golongan yang lemah, yang jauh dari agama memang dituntut oleh syarak. Ia adalah al-amr bilmakruf wannahyu an almungkar, suruh yang baik dan larang dari yang mungkar. Saya sendiri tak mampu buat seperti yang dibuat oleh Ustaz Ebit Lew. Kalau tolong yang mudah-mudah, sikit-sikit itu boleh. Tapi kalau lebih dari itu, saya pun surrender.

Mengenai sedekah, bantuan kepada yang memerlukan, kemudian diuar-uarkan dalam pelbagai medium. Ayat al-Quran, Hadis dan pandangan ulamak menjelaskan perkara ini. Tentulah yang paling baik, bersedekah, membantu dengan bersembunyi. Tangan kanan memberi, tangan kiri tidak tahu. Namun, dalam kes tertentu, dibenarkan bersedekah dan membantu dengan diuar-uarkan, dengan niat mengajak dan menggalakkan orang lain supaya sama-sama membantu. Dalam masa yang sama, niat di dalam hati kerana Allah mesti dijaga dari sifat mazmumah. Ikhlas pula adalah rahsia di antara manusia dengan Allah.

Teruskan usaha murni anda kerana tidak semua orang seperti anda. Bantulah mereka yang memerlukan, sama ada harta, wang atau nasihat dan sentiasalah menjaga niat agar tidak melencong, agar balasan sebenar di akhirat tetap ada.

NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK
Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu – HARAKAHDAILY 26/4/2020

- Advertisement -