Rohingya: Kerana Islam kita tolak dan terima

- Advertisement -

MENYENTUH isu ini sekarang ibarat kita sedang mudik ke hulu dengan melawan arus mengganas yang turun dari bukit bukau dengan laju. Limpahan cercaan nista, penghinaan memercik kepada sesiapa sahaja yang cuba mengeluarkan kata-kata yang dilihat sebagai membela Rohingya. Diserang netizen tanpa belas seperti mahu dijelaskan bahawa cukuplah isu Rohingya ini, mereka hanyalah sampah, tiada nilainya.

- Advertisement -

Tetapi alhamdulillah saya menulis, bukan membela sesiapa. Sekadar memaklumkan, rekod tulisan saya, ada di dalam Facebook dan juga Harakahdaily. Sehinggakan YAB MB Terengganu yang saya hormati juga, tiadalah saya membelanya setelah jelas beliau melanggar SOP PKP. Saya ahli PAS yang insya-Allah sedaya upaya untuk memberikan pandangan berdasarkan kehendak Islam.

Menjawab beberapa pandangan yang menyamakan isu Rohingya dengan pelarian Vietnam, ia sebenarnya mempunyai perbezaan yang besar. Vietnam dahulunya berperang. Ada di antara rakyatnya berpaling tadah dan menyokong Amerika. Setelah Amerika yang diyakini menang itu lari bertempiaran meninggalkan medan perang, maka bermulalah episod pencarian tali barut Amerika itu.

Yang sempat menyelamatkan diri, lari meninggalkan Vietnam dan sampai ke Kuala Terengganu sekitar akhir 70-an. Mereka ditempatkan di Pulau Bidong. Tidak lama selepas itu, majoriti mereka telah diambil oleh negara-negara seperti Amerika, Australia dan lain-lain. Mereka ini terdiri daripada para profesional yang digunakan tenaga mereka oleh negara-negara tersebut. Bahkan ada di antara mereka yang menjadi Datuk Bandar San Fransisco.

Pusingan ini berlaku beberapa kali dengan sampainya pula tongkang atau kapal-kapal lain ke Pulau Bidong. Sehingga kepada beberapa kumpulan, mereka ini masih digelar ‘Pelarian Perang’. Mereka mempunyai kewarganegaraan Vietnam. Setelah kumpulan bijak pandai ini hampir semuanya keluar daripada Pulau Bidong, datang pula kumpulan yang lain. Mereka bukan dari kalangan profesional, bahkan pula menjadi pembawa masalah.

Mereka hanyalah rakyat Vietnam biasa yang mungkin mencari tempat baharu kerana kemiskinan dan sebagainya. Mereka ini tidak lagi digelar pelarian perang, sebaliknya mereka dipanggil ‘Orang Hanyut’. Oleh kerana status mereka sudah berubah dan tiada lagi negara-negara maju mahu mengambil mereka, jadi mereka akan dihantar pulang semula kerana mereka mempunyai kewarganegaraan tetap Vietnam.

Kerana keputusan ini maka mereka menjadi marah dan mengamuk. Mereka tahu nasib mereka jika dihantar pulang ke Vietnam. Mereka mesti pergi ke negara lain. Tetapi masalahnya mereka adalah warganegara Vietnam dan mereka tergolong dalam kategori ‘Orang Hanyut’. Maka Vietnamlah tempat mereka harus dikembalikan. Tiada negara lain mahu menerima mereka kerana mereka tiada kepakaran apa-apa.

Berbeza dengan Rohingya. Mereka dipanggil ‘stateless’ iaitu tiada negara. Mereka juga bukan dari kalangan profesional. Mereka ini yang netizen gelar miskin, bodoh, hodoh, busuk, jahat dan berbagai lagi gelaran yang sesuka hati mereka menggelarkannya. Berbeza dengan Vietnam profesional itu kerana di Pulau Bidong, mereka boleh membina empangan, pasar, kelas-kelas automotif, telaga-telaga dan banyak lagi kemudahan lain.

Vietnam inilah yang kemudiannya kembali ke Pulau Bidong kerana menziarahi kubur keluarga mereka, sanggup mengeluarkan belanja bagi memajukan kawasan Pulau Bidong. Mereka telah berbincang dengan Kerajaan Negeri, tetapi Malaysia diberi amaran keras oleh Kerajaan Vietnam agar jangan menerima apa-apa kerana ia seperti mengiktiraf pembelot. Malaysia memilih menjaga hubungan diplomatik.

Hanya satu perkara yang memberikan Rohingya kelebihan ke atas Vietnam itu, Rohingya adalah Islam. (Untuk rekod, semua warga Vietnam yang Islam, dipindahkan oleh Kerajaan Terengganu ke tanah besar). Itu sahaja yang diharap akan memberikan kelainan sambutan kita kepada mereka berbanding Vietnam itu. Namun, ianya tidak berlaku. Netizen kata jangan mengasihani Rohingya kerana mereka pemalas, tidak boleh bersikap ihsan terhadap mereka, kerana mereka dituduh pengkhianat kepada negara mereka dahulu.

Malah hingga dikatakan masalah jika berbuat baik kepada mereka, kerana mereka adalah penjenayah. Rasakan Rohingya, inilah balasan Allah terhadap kamu, syarah netizen kepada mereka. Mereka dikecam tiada hak hidup di bumi Allah ini kerana senarai sejarah kejahatan mereka yang diceduk entah dari mana. Apa yang terkeluar dari _Facebook_, itulah dia bahan arkib yang sahih, itulah dia dalil yang utuh, itulah dia kitab suci bagi netizen. Kongsi.

Sedangkan, Rohingya dinafikan hak mendapatkan pendidikan oleh Myanmar semenjak puluhan tahun yang lalu. Hanya kerana mereka adalah Islam. Mereka dianiaya, sehinggakan Aung San Suu Kyi yang terkenal kerana anugerah Nobel itu juga, tidak langsung mahu membela Rohingya, walaupun beliau dikenali sebagai pejuang hak asasi manusia di Myanmar. Anugerahnya hampir ditarik oleh pihak berkenaan.

Jika kita sudah tahu mereka itu tidak berpelajaran, maka apakah harapan kita untuk melihat mereka berfikir secara bijak waktu ini? Budaya mereka yang tinggal jauh di pendalaman kampung-kampung itu, menambahkan lagi sengsara ketinggalan ketamadunan. Oleh itu, tidaklah pelik bagi orang yang kurang bertamadun berkelakuan serong di mata orang moden, kerana mereka jahil mengenai dunia moden.

Ada di antara mereka dibunuh, dirogol, dibawa lari untuk dilacurkan, rumah-rumah mereka dibakar, tanah mereka dirampas. Jika kita mengetahui wanita yang terdekat dengan kita diculik, akan ada hanya dua perkara di dalam kepala kita, iaitu sama ada dilacurkan atau dijual organ mereka. Resah hati kita sehingga tidak lalu makan mengenangkan nasib saudara kita yang hilang itu.

Rakyat Rohingya pula melihat dengan mata mereka sendiri wanita-wanita mereka dirogol, dibunuh, dilacurkan. Anak-anak mereka dibawa pergi. Lelaki-lelaki mereka dipancung di depan mata mereka. Mereka lari, tetapi ditunjukkan pula jalan salah oleh mereka yang berniat serong. Menjadilah mereka terperangkap di alam yang lain pula, sama ada persundalan, dadah atau jenayah lain.

Jika dilihat jahat mereka, lihatlah dahulu jahatnya kaum Thaif dan Hunain di Makkah. Rasulullah disambut dengan batu oleh penduduknya hanya kerana mendengar berita dari ‘netizen’ zaman itu konon jahatnya Rasulullah tanpa disiasat. Dan balasannya ialah, doa daripada Rasulullah insan termulia itu agar menjadikan dari sulbi-sulbi mereka, manusia yang menjadi hamba Allah bertakwa dimakbulkan.

Jika dilihat hodohnya Rohingya, lihatlah Bilal bin Rabah. Beliau hitam, hodoh, pastinya busuk kerana beliau hanyalah seorang hamba sahaya yang mungkin tidak mendapat kemudahan sebaiknya untuk membersihkan diri, apatah lagi sentiasa diseksa ketika sebelum Islam memerintah. Kecerdikan Bilal mungkin tidak setaraf dengan Sahabat-sahabat yang lain, tetapi beliau dimuliakan kerana keimanannya.

Jika dilihat miskinnya Rohingya, intai-intailah sejarah Abu Dzar. Beliau hanya mempunyai harta yang tidak lebih dari tiga hari untuk disimpan. Miskin benar beliau. Tetapi beliau tetap menjadi orang yang dirahmati Allah, bukan kerana miskin atau kayanya beliau. Saidina Ali juga sentiasa putus perbelanjaan. Namun Khalifah Islam itu, dijamin syurga. Bukan bermaksud membandingkan Rohingya dengan Sahabat R.A, tetapi itulah nilaian dunia, ia tidaklah tepat.

Apakah yang ada kita lihat dari Rohingya untuk kita adili mereka sebegitu? Masih ingatkah kita dengan rakyat Bosnia yang menumpang teduh di negara kita seketika perang memuncak di negara mereka? Majoriti mereka adalah dari golongan Muslim yang meminum arak, tidak solat dan berbagai lagi dosa-dosa besar lain. Tanyalah orang UIA bagaimana mereka. Islam telah dipisahkan dari jiwa mereka sejak sebelum perang dunia pertama lagi. Mereka bernasib baik kerana mungkin berkulit putih dan netizen belum wujud ketika itu.

Awal 80-an juga menyaksikan sejumlah besar warga Kemboja berbondong-bondong memasuki Malaysia kerana kekejaman rejim Pol Pot. Ada di antara mereka menjadi tahi judi. Saya boleh sebutkan kerana ia terjadi di perkampungan saya. Berjudi sehingga beberapa hari tidak keluar dari tempat mereka. Habis duit, keluar jual kain, dapat duit, masuk berjudi semula.

Rakyat Palestin yang kita tolong itu, bukanlah dibantu kerana perangai mereka. Akan tetapi kerana Islam yang mewajibkannya. Jika anda berkesempatan tinggal di bumi Arab ini, mungkin anda akan memilih untuk memaki mereka dari membantu, jika tidak kerana suruhan Allah membantu mereka. Tanyalah warga Kuwait, apakah yang dilakukan oleh rakyat Palestin sebelum Iraq menyerang mereka.

Rakyat Syria juga ada yang sampai ke Malaysia ketika perang di negara mereka. Ada sebahagian mereka menjadi batu api perbezaan mazhab di sini, mengucar-kacirkan kefahaman yang ada. Sedangkan orang tahu siapa dia. Bagi yang tidak bernasib baik wanita-wanita mereka telah dijadikan pelakon filem porno oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungajwab, ketika melintasi sempadan negara kafir.

Ada laporan yang mengatakan bahawa sebahagian mereka telah dimurtadkan. Tidakkah ianya suatu yang menyedihkan? Sebab itulah mungkin kita lihat beberapa negara bukan Islam dilihat begitu bersungguh membuka pintu mereka kepada pelarian ini. Jangan dilihat dalam masa sedekad ini, lihatlah kepada puluhan tahun ke hadapan akan nasib pelarian ini di negara bukan Islam. Namun, semua itu kita bantu bukan kerana warna kulit atau asal mereka, tetapi kerana akidah. Itulah yang Rasulullah suruh.

Rohingya dikatakan sebagai kumpulan yang jahat di pasar-pasar tertentu. Mungkin ada tidak dinafikan, akan ada sebahagian mereka akan memegang watak jahat, itu sudah pasti. Mereka akan mencari keserasian antara mereka. Ada juga yang dikatakan menjadi pengedar dadah. Ya, semestinya Rohingya adalah pilihan terbaik bagi kerja-kerja ini kerana mereka sangat mahukan wang. Mereka tiada tempat mengadu jika dianiaya. Tetapi menurut laporan, itu sebenarnya bukan Rohingya, tapi etnik Muslim lain warganegara Myanmar. Sedangkan Rohingya adalah pelarian.

Cuba hadamkan cerita benar ini pula. Saya, sendiri telah menyewakan rumah saya kepada satu keluarga Rohingya bernama Ali, yang mempunyai kad UNHCR yang sah. Mereka tinggal di situ bertahun-tahun. Dan selama mereka di situ, tidak pernah saya mendengar rungutan dari jiran-jiran lama saya terhadap mereka, malah mereka menjadi mesra. Kerja mereka hanyalah menjual besi buruk. Seorang anaknya adalah hafiz.

Sewa tidak pernah lupa dibayar. Ketika mahu meninggalkan rumah saya, semua bil-bil mereka telah dilangsaikan dengan bukti pembayaran. Rumah dalam keadaan baik, tiada sengketa dengan jiran. Suatu ketika ayah mereka sakit dan memerlukan pembedahan. Ke mana mereka hantarkan ayah mereka untuk rawatan? Ke Kuala Terengganu Specialist (KTS). Bayaran dibuat tunai, tanpa tuntutan insurans.

RM15,000 tunai berpindah tangan. Bukan mudah boleh membayar bil sebanyak itu hanya menjual besi buruk. Namun rawatan itu kurang berjaya. Mereka berpindah ke Australia melalui Thailand. Sampai mereka di sana, banyak kali juga mereka menelefon jiran lama saya itu. Gembira mereka di sana. Australia membuka pintu kepada Rohingya dengan beberapa syarat. Mereka bijak mengambil peluang. Tetapi dahulu, mungkin tiada peluang.

Sebelum mereka, ia disewa oleh keluarga Melayu Islam yang boleh tahan tampan suaminya, putih, cakap beradab, kerja dengan kerajaan. Keluarga itu tidaklah memberikan masalah sangat, hanyalah beberapa kali saya terpaksa mencari dia menuntut sewa rumah, dan apabila dia keluar rumah, bil utiliti tertunggak sebanyak RM1,000 lebih. Termasuk beberapa barang yang dibawa bersama mereka. Masih belum puas, menuntut pula wang dari saya kerana mesin basuhnya rosak kerana litar pintas di rumah saya, dakwanya.

Begitulah jika kita mengadili menurut materi, warna kulit dan sebagainya, kita akan dapati kekecewaan. Namun Islam telah meletakkan garis panduan iaitu akidah adalah tempatnya teratas dalam semua perkara. Berapa banyak Nepal, Afrika yang membuat onar dengan wanita kita? Sedangkan mereka kafir. Mabuk dan berbagai lagi perkara yang dilakukan. Tetapi mereka tetap diterima berkongsi rezeki di sini.

Berlegar di alam maya mengenai beberapa perkara yang tidak tahu asal usulnya. Saya diberikan satu video yang mana pemimpin Rohingya bercakap dalam Bahasa Inggeris, menuntut kesamaan hak mereka di sini. Amat malang, apa yang ditulis, tidak langsung sama dengan apa yang diucapkan. Ada syaitan yang membuat khianat. Ramai orang hanya membaca sari kata, tanpa tahu apa yang mereka cakapkan.

Hanya satu yang saya bersetuju untuk menyekat kedatangan mereka ketika ini iaitu dengan dalil Rasulullah melarang orang masuk ke kawasan wabak dan melarang kita keluar dari kawasan wabak. Mereka terdedah kepada wabak COVID-19 ini, sebaiknya mereka ditahan di luar dari Malaysia, dengan cara terbaik yang difikirkan kerajaan. Maka saya menolak kehadiran mereka waktu ini kerana suruhan Rasulullah.

Tidak lepas juga kemungkinan ramai antara kita berfikir, hal seperti Rohingya ini tidak akan terjadi kepada umat Islam di Malaysia. Saudaraku, sejurus sebelum rakyat Bosnia disembelih, dirogol, dibunuh, ditembak, diburu, mereka masih bergurau-senda dengan jiran mereka yang kafir. Keesokannya jiran mereka itulah yang melaksanakan misi menghapuskan umat Islam di Bosnia, tanpa belas.

Rohingya adalah Islam dan kita pula cuba membezakan mereka kerana keadaan mereka. Namun sedarkah kita, musuh Islam tidak pernah membezakan kita dengan mana-mana kumpulan yang berkait dengan Islam. ASWAJA, Wahhabi, Syiah, Sufi, Habaib, Ahbash, Rohingya, Bangla, Melayu, Mamak, asal Islam, semua adalah sama sahaja pada pandangan mereka. Islam mesti dihapuskan. Mereka hanya menggunakan kita bagi kepentingan mereka. Maka Muslim adalah semestinya lebih mulia dari kafir.

Atau adakah antara kita masih di bawah pengaruh alkohol jenama “Kafir yang amanah lebih baik dari Muslim yang korup”? Mungkin sebahagian kita masih mabuk. Kalau begitu jom kita halau Rohingya dan kita mendepakan tangan selebar-lebarnya meraikan kemasukan warga China yang datang sebagai pelancong, tetapi tidak keluar-keluar selepas itu.

Kalau tidak kerana dendam,
Tiada rasa aku merindui,
Kalau bukan kerana Islam,
Mungkin prinsip aku juga tidak begini.

MOHD NASIR ABDULLAH
26 April 2020 – HARAKAHDAILY 25/4/2020

- Advertisement -