Ibrah melalui hikmah ibtila’ (Juz 3)

- Advertisement -

ISLAM adalah agama yang tertegak dengan dakwah bilhikmah dan kesungguhan para da’ie. Para Rasul A.S dahulu kala menyebarkan dakwah sesuai dengan zaman masing-masing. Mereka tidak terlepas ditimpa pelbagai tribulasi dan musibah yang memerlukan sokongan kuat para pengikutnya. Nabi Isa A.S ketika menjalankan urusan dakwah, Baginda dihujum oleh musuh dan mereka berusaha membunuhnya. Ketika Baginda melihat kekufuran semakin bermaharajalela, Baginda sangat memerlukan pembantu untuk meneruskan usaha dakwahnya. Hal ini dirakamkan melalui firman Allah:

- Advertisement -

فَلَمَّاۤ أَحَسَّ عِیسَىٰ مِنۡهُمُ ٱلۡكُفۡرَ قَالَ مَنۡ أَنصَارِیۤ إِلَى ٱللَّهِۖ قَالَ ٱلۡحَوَارِیُّونَ نَحۡنُ أَنصَارُ ٱللَّهِ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَٱشۡهَدۡ بِأَنَّا مُسۡلِمُونَ

“Maka ketika Nabi Isa merasa (serta mengetahui dengan yakin) akan kekufuran daripada mereka (kaum Yahudi), Baginda berkata: Siapakah penolong-penolongku (dalam menjalankan urusanku) kepada Allah? Hawariyyun (Para pembantu Nabi Isa) berkata: Kamilah penolong-penolong agama Allah. Kami telah beriman kepada Allah, dan saksikanlah, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang berserah sepenuhnya kepada Allah.”

[Aal-Imran: 52]

Nabi Isa A.S mempunyai Hawariyyun ataupun Al-Naashirun sebagaimana yang disebut oleh Ibnu Kathir iaitu penolong tegar seruan Nabi Isa. Sebelum diangkat ke langit, Baginda telah berwasiat kepada Hawariyyun agar mengajak umat manusia kepada menyembah Allah, tiada sekutu bagi-Nya. Dakwah yang dibawakan ini mendapat tentangan hebat masyarakat pada masa itu sehingga kalangan Ahli Kitab yang melampaui batas berusaha memadamkan ajaran Baginda. Setelah Nabi Isa diangkat ke langit, para pengikutnya ada yang beranggapan Nabi Isa adalah anak Tuhan sehingga merubah ajaran sebenar yang dibawa. Ajaran sebenar Nabi Isa akan disaksikan semula oleh para penganut Nasrani yang masih lagi hidup ketika Nabi Isa turun ke bumi suatu ketika nanti.

Sesungguhnya Nabi Isa A.S menyeru kepada syariat Allah yang telah diusahakan oleh para Nabi sebelumnya. Bahkan ajaran tauhid iaitu hanya kepada Allah tempat menyerah diri (Islam) telah menjadi anutan serta seruan sekalian para Anbiya’ A.S. Termasuklah seluruh makhluk di langit dan bumi telah menyerahkan diri sepenuhnya dengan patuh dan akur kepada Allah S.W.T sebagaimana firman-Nya:

أَفَغَیۡرَ دِینِ ٱللَّهِ یَبۡغُونَ وَلَهُۥۤ أَسۡلَمَ مَن فِی ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تِ وَٱلۡأَرۡضِ طَوۡعࣰا وَكَرۡهࣰا وَإِلَیۡهِ یُرۡجَعُونَ

“Patutkah mereka mencari agama yang lain selain agama Allah? Padahal kepada-Nya tunduk patuh sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepada-Nya lah mereka dikembalikan.”

[Aal-Imran: 83]

Maka menjadi sunnah dalam perjuangan menegakkan kebenaran sepanjang zaman, para penyeru kebenaran akan berhadapan dengan ibtila’ dan tribulasi yang getir. Ujian ini memerlukan sokongan padu daripada pencinta kebenaran untuk terus beristiqamah mempertahankan perjuangan Islam walaupun terpaksa mengorbankan jiwa dan raga.

Sesuatu kebenaran pasti akan zahir dan beroleh kejayaan, sementara kebatilan akan lenyap dan hancur. Namun, ia kadang-kadang memerlukan tempoh yang panjang dan boleh jadi kita tidak dapat melihat kejayaan semasa hidup tetapi ia dinikmati oleh generasi kemudian. Bersabarlah dalam menghadapi ibtila’ memperjuangkan agama Allah dan sentiasalah menjadikan sirah para Anbiya’ sebagai pedoman.

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
03 Ramadan 1441 / 26 April 2020 – HARAKAHDAILY 26/4/2020

- Advertisement -