Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajal akhir zaman (39)

- Advertisement -

FIRMAN Allah S.W.T:

- Advertisement -

قَالَ أَرَأَيْتَ إِذْ أَوَيْنَا إِلَى الصَّخْرَةِ فَإِنِّي نَسِيتُ الْحُوتَ وَمَا أَنسَانِيهُ إِلَّا الشَّيْطَانُ أَنْ أَذْكُرَهُ ۚ وَاتَّخَذَ سَبِيلَهُ فِي الْبَحْرِ عَجَبًا

“Budaknya berkata: “Tahukah apa yang telah terjadi ketika kita berehat di batu besar itu? Sebenarnya aku terlupa hal ikan itu, dan tiadalah yang menyebabkan aku lupa daripada menyebutkan halnya kepadamu melainkan Syaitan. Ikan itu telah menggelongsor menempuh jalannya di laut dengan cara yang menakjubkan.””

Ibrah akhir zaman

Ini adalah ayat kedua di dalam surah ini menyebutkan berkenaan syaitan. Sebelum ini Allah nyatakan kisah pendek mengenai raja syaitan iaitu Iblis pada ayat ke 50. Sebagaimana dijelaskan di atas (versi buku), syaitan terdiri daripada kalangan jin dan manusia adalah konco jahat kepada Iblis yang menjalankan tugas untuk menyesatkan anak Adam sebagaimana sumpahnya di hadapan tuhan. Firman Allah S.W.T:

قَالَ فَبِعِزَّتِكَ لَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ

“Iblis berkata: “Demi kekuasaanmu (wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka (Adam dan zuriatnya) semuanya.”

[Sad: 82]

Antara yang menjalankan tugas Iblis di atas muka bumi ini adalah Dajal. Jumhur ulamak Salaf dan Khalaf berpendapat bahawa dia adalah manusia berdasarkan zahir Hadis-hadis yang banyak. Dajal adalah ujian terbesar yang akan dihadapi oleh manusia sejak diciptakan Nabi Adam A.S. Sabda Rasulullah S.A.W:

مَا بَيْنَ خَلْقِ آدَمَ إِلَى قِيَامِ السَّاعَةِ أَمرٌ أَكْبَرُ مِنَ الدَّجَّالِ

“Tidak ada perkara yang lebih besar sejak daripada diciptakan Adam hingga berlaku kiamat selain daripada Dajal.”

[Hadis Riwayat Ahmad]

Bagaimana Dajal boleh menjadi sebegitu jahat dan bahaya? Tidak lain dan bukan, ia adalah kerana Iblis jua. Sesatnya anak Adam termasuk Dajal adalah angkara Iblis dan konco-konconya. Dajal merupakan sebahagian daripada syaitan manusia yang paling bahaya.

Oleh kerana mastermind sebenar adalah Iblis, maka tentulah dia akan mengerahkan segala kekuatan bala tentera bagi membantu Dajal merealisasikan peranannya. Syaitan jin dan manusia akan bersama Dajal sebelum, semasa dan selepas kemunculannya.

Sebagaimana Hadis panjang yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Tamim ad-Dari, Dajal telahpun wujud di zaman Rasulullah S.A.W namun ia dibelenggu oleh Allah di sebuah pulau dan menunggu masa untuk dibebaskan. Kemampuan Tamim untuk berjumpa dengan Dajal menjadi tanda bahawa manusia lain juga mampu untuk bertemu dengan Dajal, walaupun masa keluarnya masih belum tiba.

Tentunya Iblis telah mengetahui lokasi Dajal. Boleh jadi dia memandu syaitan manusia dan jin lain untuk bertemu dengan Dajal dan berkomunikasi dengannya bagi merancang strategi-strategi yang rapi untuk melicinkan proses keluarnya nanti. Boleh jadi juga Iblis mengajar terus syaitan manusia dan jin dengan grand design kemunculan Dajal tanpa perlu mereka bertemu Dajal.

Kerjasama Iblis dan manusia sudah berlaku sejak zaman Nabi S.A.W lagi. Di dalam sirah, kita lihat beberapa kali Iblis berupa dengan rupa manusia dalam memberi cadangan untuk memerangi Islam. Antaranya kisah Iblis berupa dengan manusia pergi ke Darul Nadwah dan mencadangkan pelan untuk membunuh Rasulullah.

Apa yang kita lihat hari ini sangat jelas berlakunya keselarasan antara manusia dan Dajal. Tujuan Zionis menakluk Palestin bukan sekadar ingin kembali ke tanah asal mengikut kepercayaan Yahudi. Bahkan mereka terus gigih menuntut satu persatu kawasan strategik di sana termasuk Baitulmaqdis dan kawasan sekitar bagi projek perluasan negara haram Israel. Mereka juga merancang untuk meruntuhkan Masjidil Aqsa bagi mendirikan kuil Sulaiman yang dipercayai bakal menjadi istana kepada pemimpin Yahudi yang ditunggu bergelar al-Masih atau Messiah (Rujuk tajuk ayat 50; Illuminati, Freemason dan Zionis Sebagai Tentera Dajal).

Keselarasan ini tentunya tidak akan berlaku tanpa perantaraan Iblis. Apabila Dajal telah muncul pula, dia akan bekerjasama dengan syaitan dalam menyesatkan manusia. Sabda Rasulullah S.A.W:

وَيَبعَثُ اللهُ مَعَهُ شَيَاطِين تُكَلِّمُ النَاسَ

“Allah mengutuskan bersama Dajal syaitan-syaitan yang mampu berbicara dengan manusia.”

[Hadis Riwayat Ahmad]

Juga Sabda Rasulullah S.A.W:

وإنَّ من فتنتِه أن يقولَ للأعرابيِّ : أرأيتَ إن بَعَثْتُ لك أباك وأمَّك أَتَشْهَدُ أني ربُّك ؟ فيقولُ : نعم ، فيتمثلُ له شيطانانِ في صورةِ أبيه وأمِّه ، فيقولانِ : يا بُنَيَّ اتَّبِعْهُ ، فإنه ربُّك

“Antaranya fitnahnya, dia akan berkata kepada orang Badwi: “Jika aku bangkitkan ibu dan bapa kamu (yang telah mati) maka adakah kamu akan mempercayai bahawa aku tuhanmu?” Maka orang Badwi berkata: “Ya”. Lalu dua ekor syaitan berupa dengan rupa ibu dan bapanya lalu berkata: “Wahai anakku, ikutlah dia (Dajal). Dia adalah tuhanmu”.”

[Hadis Riwayat Ibnu Majah]

Justeru pejuang Islam perlu menyedari hakikat ini. Manusia yang sedang membantu melicinkan proses keluarnya Dajal adalah syaitan tentera Dajal. Mereka adalah musuh sebenar yang perlu diperangi walaupun di kalangan mereka terdapat yang mengaku sebagai Islam. Mereka tidak boleh dijadikan sekutu sekali-kali walaupun berketurunan Rasulullah atau menjaga tanah suci haram sekalipun!

ALANG IBN SHUKRIMUN – HARAKAHDAILY 26/4/2020

- Advertisement -