Selayang Baru diisytihar PKPD hingga 3 Mei

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kawasan Selayang Baru Gombak diisytiharkan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang ke-7 bermula hari ini sehingga 3 Mei depan.

Kawasan ini melibatkan enam fasa yang telah dikenalpasti seperti berikut, Jalan Indah Tiga dan Jalan Indah 5A, Selayang Indah, Zon B; Jalan Indah 21 Lembah Indah Selayang Baru.

Zon C; Jalan Besar Selayang Baru, Jalan Satu dan Jalan Indah 21 Selayang Baru, Zon D; Jalan Tiga, Lima, Tujuh dan Sembilan Selayang Baru.

Zon E; Jalan Dua, Empat dan Lapan Selayang Baru dan Zon Keenam blok A, B dan C Selayang Makmur Gombak Selangor.

- Advertisement -

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, pelaksanaan ini dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setelah mengenalpasti kebarangkalian jalinan jangkitan Covid-19 di pasar harian Kuala Lumpur dan pasar borong Kuala Lumpur.

Langkah ini katanya, akan membolehkan aktiviti pengesanan dilaksanakan sepanjang tempoh ini dikuatkuasakan.

Justeru itu katanya, semua penduduk akan menjalani ujian saringan di kawasan tersebut bagi memastikan mereka benar-benar bersih daripada jangkitan Covid-19.

“Dengan pelaksanaan ini seperti biasa SOPnya, semua penghuni tidak dibenarkan keluar dari kawasan tersebut dan penduduk daripada luar juga tidak dibenarkan memasuki kawasan tersebut.

“Semua aktiviti perniagaan diberhentikan, pengkalan perubatan akan dibuka,” katanya pada sidang media harian PKP, hari ini.

Beliau juga memaklumkan hari demi hari jumlah tangkapan terhadap individu yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semakin menurun.

Manakala mereka yang ditangkap kerana melanggar PKP dan telah didakwa di mahkamah sedang menjalani hukuman penjara di pusat penjara khas.

“Seramai 649 individu telahpun dituduh di mahkamah semalam. Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga semalam (24 April), adalah sebanyak 19, 434 individu.

“Seperti yang telahpun diumumkan di dalam sidang media yang lepas bahawa KDN telah mewartakan 11 penjara khas untuk kita tempatkan pesalah-pesalah PKP setelah dihukum penjara oleh mahkamah.

“Setakat ini penjara khas telahpun mula beroperasi sehingga kini 58 individu yang dijatuhkan hukuman penjara oleh mahkamah atas kesalahan ingkar PKP telahpun mula dihantar ke penjara tersebut,” katanya yang juga Menteri Pertahanan.- HARAKAHDAILY 25/4/2020

- Advertisement -