KKM batalkan notifikasi 3 produk kosmetik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membatalkan notifikasi terhadap tiga produk kosmetik kerana dikesan mengandungi racun berjadual.

- Advertisement -

Ketua Pengarah Kesihatan, Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini berkata, produk berkenaan adalah Sifu Kunyit Day Cream, Sifu Kunyit Night Cream dan JJ Skincare Glowhite Night Cream.

Katanya, kesemua produk itu mengandungi hydroquinone, tretinoin dan betamethasone valerate yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

Menurut Noor Hisham, penggunaan hydroquinone dan tretinoin boleh menyebabkan pelbagai kesan sampingan kepada wajah kulit muka antaranya kemerahan, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini serta berisiko menyebabkan kanser kulit.

Manakala penggunaan betamethasone valerate boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat.

“Penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta.

“Penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya.

Jelas Noor Hisham, individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun.

Atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama, dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang awam yang sedang menggunakan produk berkenaan segera menghentikan penggunaannya dan dapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan terhadap wajah kulit. – HARAKAHDAILY 25/4/2020

- Advertisement -