Mencari calon Mufti Wilayah Persekutuan

- Advertisement -

KEBELAKANGAN ini terdapat pihak yang melobi secara terbuka untuk mengangkat seseorang pilihannya untuk dilantik sebagai Mufti di Wilayah Persekutuan. Perbuatan ini menyalahi tradisi Islam kerana pelantikan seseorang sebagai Mufti oleh pemerintah adalah berdasarkan merit calon serta pengalamannya termasuk dari segi kematangan usia. Kerana itu, Nabi Muhammad S.A.W diangkat menjadi Rasul ketika berusia 40 tahun walaupun dikenali sebagai Al-Amin di usia yang muda.

Antara fungsi utama Mufti di setiap negeri ialah menasihati Sultan bagi menyelesaikan persoalan semasa mengenai hukum Syarak.

Jawatankuasa Fatwa Negeri yang diketuai oleh Mufti pula boleh atas kehendaknya sendiri atau atas permintaan oleh mana-mana orang yang dibuat melalui surat yang dialamatkan kepada Mufti, menyediakan suatu fatwa atas apa-apa persoalan yang belum muktamad atau yang menimbulkan kontroversi berhubungan dengan Hukum Syarak (Seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003).

- Advertisement -

Pendapat Mufti menjadi rujukan mahkamah. Mufti boleh mengeluarkan fatwa atau memperakukan pendapatnya atau keterangan yang berhubung dengan hukum syarak jika diminta oleh Mahkamah Sivil atau Mahkamah Syariah. Meskipun begitu, Mufti tidak boleh disaman untuk hadir ke mahkamah bagi memberi pendapatnya.

Ya, betul, Mufti tidak boleh mengeluarkan fatwa tanpa bersidang dengan Jawatankuasa Fatwa Negeri. Fatwa pula terbahagi kepada dua: (1) Fatwa yang mengikat setelah mendapat perkenan Sultan atau Raja dan diwartakan. Bagi kategori ini, sesiapa orang Islam yang ingkar boleh didakwa di Mahkamah Syariah. (2) Fatwa berbentuk nasihat. Fatwa ini tidak diwartakan dan tidak mengikat. Ia hanya perlu mendapat perkenan Sultan atau Raja untuk menasihati orang Islam di negeri itu.

Justeru itu, berhentilah amalan lobi-melobi dan petisyen yang tidak sihat ini. Biarlah jawatankuasa yang mencari calon Mufti yang sesuai dan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi perkenan. Dalam hal ini kuasa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) adalah penting kerana Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan terletak di bawah bidang kuasanya.

Bacaan lanjut sila lihat Mohamed Azam Mohamed Adil, Penyelarasan Fatwa: Isu, Maslaah dan Harapan, Jurnal Hukum, Rabiulakhir 1435H-Februari 2014M Jld38 Bhg 1 hh. 1-16.

PROF. MADYA DR. MOHAMED AZAM MOHAMED ADIL
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif
Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia – HARAKAHDAILY 24/4/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -