KUALA LUMPUR: Penuntut institut pengajian tinggi (IPT) yang dibenarkan pulang setakat ini hanya melibatkan rumah masing-masing di zon hijau sahaja.
Bagaimanapun, Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata bagi pelajar yang rumahnya berada di zon merah dan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak dibenarkan pulang.
Katanya, pelajar yang tinggal di rumah sewa dalam kawasan zon merah dan ingin pulang ke zon hijau juga tidak dibenarkan.
“Sama juga jika hendak balik ke rumah yang berada dalam kawasan PKPD, juga tidak dibenarkan.
“Mesyuarat tadi ada membincangkan supaya mereka dibenarkan pulang ke rumah ahli keluarga terdekat seperti abang atau kakak yang berada dalam zon hijau,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya, hari ini.- HARAKAHDAILY 24/4/2020