Ibrah melalui hikmah ibtila’ (Juz 1)

- Advertisement -

KUPASAN kali ini menyentuh hikmah melalui ibtila’ yang dilalui oleh Nabi Musa A.S dan pengikutnya. Setiap cabaran getir dan ibtila’ yang melanda merupakan suatu ujian daripada Allah untuk menilai sejauh mana pegangan makhluk terhadap Khaliqnya iaitu Allah S.W.T. Ujian yang Allah tetapkan kepada hamba-Nya jika ditempuhi dengan penuh kesabaran, pasti menemui satu anugerah kejayaan dan kegembiraan pada kesudahannya. Semasa zaman Nabi Musa A.S, antara ujian yang sangat berat dihadapi oleh masyarakat Bani Israel ialah kezaliman serta keganasan Firaun yang memerintah. Hal ini dinyatakan melalui firman Allah:

- Advertisement -

وَإِذۡ نَجَّیۡنَـٰكُم مِّنۡ ءَالِ فِرۡعَوۡنَ یَسُومُونَكُمۡ سُوۤءَ ٱلۡعَذَابِ یُذَبِّحُونَ أَبۡنَاۤءَكُمۡ وَیَسۡتَحۡیُونَ نِسَاۤءَكُمۡۚ وَفِی ذَ ٰ⁠لِكُم بَلَاۤءࣱ مِّن رَّبِّكُمۡ عَظِیمࣱ. وَإِذۡ فَرَقۡنَا بِكُمُ ٱلۡبَحۡرَ فَأَنجَیۡنَـٰكُمۡ وَأَغۡرَقۡنَاۤ ءَالَ فِرۡعَوۡنَ وَأَنتُمۡ تَنظُرُونَ.

“Dan (kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu daripada Firaun dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya. Mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu, sedang kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar daripada Tuhan kamu. Dan (kenangkanlah) ketika kami belahkan laut (Merah) untuk kamu lalui (kerana melarikan diri daripada angkara Firaun), maka Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun bersama-sama tenteranya, sedang kamu semua menyaksikannya”.

[al-Baqarah: 49-50]

Firaun telah mengganas setelah diberitakan bahawa suatu masa kelak akan lahir seorang anak lelaki dari Bani Israel yang akan mengalahkan kekuasaan beliau. Lalu Firaun mengarahkan seluruh tenteranya membunuh setiap bayi lelaki yang baru lahir dan hanya membiarkan bayi-bayi perempuan hidup. Kezaliman Firaun tiada batasnya sehinggakan dia sanggup membunuh isterinya sendiri kerana beriman kepada Allah S.W.T.

Walaupun mendapat tentangan yang hebat daripada Firaun dan para tenteranya namun Baginda Nabi Musa A.S dan pengikutnya bersabar serta meningkatkan keimanan kepada Allah beserta bertawakal. Mereka sentiasa memperbaiki hubungan dengan Allah dengan doa dan munajat. Antara doa Nabi Musa terhadap Firaun setelah keganasan sangat melampaui batas:

وَقَالَ مُوسَى رَبَّنَا إِنَّكَ آتَيْتَ فِرْعَوْنَ وَمَلأهُ زِينَةً وَأَمْوَالاً فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا رَبَّنَا لِيُضِلُّواْ عَن سَبِيلِكَ رَبَّنَا اطْمِسْ عَلَى أَمْوَالِهِمْ وَاشْدُدْ عَلَى قُلُوبِهِمْ فَلاَ يُؤْمِنُواْ حَتَّى يَرَوُاْ الْعَذَابَ الأَلِيمَ

“Musa berkata: Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau telah kurnia kepada Firaun dan pemuka-pemuka kaumnya perhiasan dan harta kekayaan dalam kehidupan dunia. Ya Tuhan Kami, akibatnya mereka menyesatkan (manusia) dari jalan Engkau. Ya Tuhan kami, binasakanlah harta benda mereka, dan kunci matilah hati mereka, maka mereka tidak beriman hingga mereka melihat seksaan yang pedih”.

(Yunus: 88)

Imam Ibnu Kathir menukilkan pandangan Ibnu Juraij yang menyatakan bahawa Firaun tetap hidup selama 40 tahun setelah Nabi Musa mengucapkan doa ini. Ini menandakan bahawa balasan Allah kepada orang zalim dan jahat tidak semestinya disegerakan, boleh jadi dia hidup dengan pelbagai kesenangan namun akhir hayatnya dia mati dengan sehina-hina makhluk.

Dengan berkat kesabaran dan perjuangan penuh istiqamah menyebarkan seruan Allah, nusrah Allah lantas tiba. Penghalang kebenaran dan penjahat muka bumi dihapuskan. Firaun dan para tenteranya ditengelamkan dalam laut merah sehingga tiada sesuatupun yang dapat menyelamatkan kekuasaan mereka. Begitulah kehendak Allah kepada golongan jahat, suatu masa pasti kecundang, sementara orang yang sabar dan sentiasa tingkatkan keimanan dikurniakan kejayaan.

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
01 Ramadhan 1441 / 24 April 2020 – HARAKAHDAILY 24/4/2020

- Advertisement -