Hayati Ramadan dalam suasana penuh berbeza

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Umat Islam seluruhnya disaran menghayati kedatangan bulan Ramadan tahun ini dengan meningkatkan amalan ibadah bersama keluarga tercinta di rumah masing-masing.

Ini kerana, kata Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bahawa, penularan wabak pandemik Covid-19 masih belum reda.

Menurutnya, sambutan Ramadan tahun ini pasti begitu mencabar emosi, fizikal dan spiritual semua orang.

Namun, katanya kesulitan itu lebih lagi dirasai oleh para petugas di barisan hadapan kerana tidak dapat menyambut Ramadan bersama keluarga tercinta.

- Advertisement -

“Alhamdulillah, syukur dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita sekali lagi bersua dengan bulan yang cukup istimewa bagi umat Islam iaitu Ramadan Al-Mubarak.

“Dengan penularan wabak pandemik Covid-19 yang masih belum reda, Ramadan pada tahun ini pastinya begitu mencabar emosi, fizikal dan spiritual kita semua.

“Kesulitan lebih dirasai oleh petugas barisan hadapan yang tidak dapat menyambut Ramadan bersama keluarga tercinta, tatkala kita semua hanya perlu kekal duduk rumah,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.

Menurutnya, sambutan Ramadan kali ini berbeza namun hayatilah dan manfaatkan realiti yang berlaku dengan meningkatkan ibadat bersama keluarga tercinta.

“Jadikan rumah kita sebagai tempat untuk menghidupkan Ramadan dengan pelbagai amalan.

“Mewakili kerajaan negeri Terengganu, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadan kepada seluruh umat Islam khususnya rakyat Terengganu.

“Saya mendoakan kita semua dapat menjalankan ibadah dengan baik dan tenang. Mudah-mudahan, dengan doa yang ditadah oleh rakyat di bulan yang berkat ini, negara kita segera pulih dari ujian Covid-19 dan dapat kembali kepada kehidupan yang normal seperti biasa,” jelasnya.

Semalam, dalam perutusan khas sempena Ramadan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengumumkan, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan ke fasa empat hingga 12 Mei depan.

Setakat 23 April lalu, Malaysia mencatatkan 5,603 kes kumulatif Covid-19, dengan 95 kematian telah direkodkan dan 3,542 atau 63.2 peratus daripada jumlah keseluruhan itu sudah pulih.- HARAKAHDAILY 24/3/2020

- Advertisement -