Apabila ulamak dan umarak berganding bahu

ulamak
- Advertisement -

KURANG 24 jam sebelum Menteri Luar Negeri Dato’ Seri Hishammuddin Hussein membuat kenyataan akhbar mengenai isu pertembungan China dan Amerika di Laut China Selatan semalam, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS merangkap Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah.

Ada tiga kisah menarik yang melatari pertemuan ini. Pertama, sesiapa yang mendalami pengajian politik mahu pun sejarah pasti mengetahui bahawa Almarhum Dato’ Onn Jaafar – iaitu datuk kepada Dato’ Hishammuddin Hussein – dahulu bekerjasama rapat dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) hinggakan beliau dibantu PAS memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu Selatan pada tahun 1959.

Antara detik yang paling diingati ketika Almarhum Dato’ Onn di Parlimen tentulah sewaktu beliau mengemukakan usul ke Dewan Rakyat untuk menjadikan Melayu sebagai rupa bangsa dan Kebangsaan bagi negara yang baru merdeka pada tahun 1961. Ketika itu Dato’ Onn disokong Empat Ahli Parlimen PAS, iaitu Dr Burhanuddin al-Helmy (Besut), Othman Abdullah (Tanah Merah), Zulkifli Mohamad (Bachok) dan Khadijah Sidek (Dungun).

- Advertisement -

Kisah kedua adalah berkenaan hubungan Almarhum Dato’ Onn dengan keluarga Tuan Guru Abdul Hadi Awang selepas beliau meninggalkan parti Umno pada 1951. Almarhum Dato’ Onn Jaafar dikisahkan pernah bertandang ke rumah ayahanda Tuan Guru Abdul Hadi iaitu Almarhum Tuan Guru Awang Mohamad Abdul Rahman sewaktu kempen Pilihan Raya Umum 1959.

Diceritakan bahawa ketika Almarhum Dato’ Onn berkunjung di Kampung Rusila itu, Almarhum makan di ruang tamu, kemudian berceramah di halaman sekitar Pantai Rusila bagi kempen PRU 1959.

Jika dahulu Almarhum Dato’ Onn bekerjasama dengan Almarhum ayahanda Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai Ahli Parlimen pembangkang, hari ini Dato’ Seri Hishammuddin Hussein bekerjasama dengan Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai Ahli Parlimen Kerajaan.

Kisah ketiga adalah berkenaan pertemuan pada 22 April 2020 itu. Dalam pertemuan itu, Tuan Guru Abdul Hadi telah berkongsi prinsip-prinsip serta langkah-langkah kerjasama antara negara menurut perspektif Islam kepada Dato’ Seri Hishammuddin.

Prinsip pertama ialah ‘asas hubungan Antarabangsa dalam Islam adalah mendahulukan perdamaian, bersikap toleransi dan bekerjasama sesama manusia’.

Kedua, ‘Memanfaatkan kedudukan negara Islam yang strategik dan kaya dengan sumber manusia dan hasil bumi’.

Ketiga, ‘Bangkit menyahut seruan ke arah kesatuan Islam’.

Keempat, ‘Menghentikan sikap asabiyah perkauman’.

Kelima, ‘Bekerjasama dalam pelbagai bidang seperti perubatan, teknologi, dan pertanian’.

Keenam, ‘Kerjasama antara negara Islam yang kaya dengan negara Islam yang miskin tetapi mempunyai tanah yang subur, kepakaran dan tenaga kerja’.

Ketujuh ialah ‘Mengambil berat urusan umat Islam yang ditindas dan menjadi mangsa pelarian’.

Dato’ Seri Hishammuddin memberi maklum balas positif dan telah membincangkan tanggungjawab beliau sebagai Menteri Luar bersama-sama Tuan Guru Abdul Hadi Awang ‘berupaya memperkasa peranan Malaysia di Timur Tengah khususnya dalam menghadapi cabaran situasi geopolitik yang tidak menentu termasuk yang terkini ialah penularan wabak COVID-19’.

Dato’ Seri Hishammuddin juga mengakui bahawa beliau ‘yakin dengan berbekalkan pengalaman dan pengaruh yang beliau miliki, pelantikan Tuan Guru Haji Hadi Awang hadir tepat pada masanya serta berupaya membantu saya dan Wisma Putra menjayakan pelbagai lagi agenda Wisma Putra khususnya berkaitan Timur Tengah. Ini termasuklah membantu memastikan hubungan diplomatik Malaysia dengan rakan negara di sana terus utuh dan berkekalan’.

Ternyata, selepas pertemuan berkenaan, Dato’ Seri Hishammuddin dan warga Wisma Putra juga telah membuat kenyataan akhbar yang tegas dalam mempertahankan hak dan sumber negara kita di Laut China Selatan.

Memetik kenyataan beliau bertarikh 23 April 2020: “Malaysia menegaskan komitmen untuk mempertahankan kepentingan dan haknya di Laut China Selatan. Malaysia berpandangan bahawa Laut China Selatan perlu kekal sebagai laut yang aman bagi laluan perdagangan. Maka, segala perkara yang berkait dengan Laut China Selatan perlu diselesaikan secara aman berasaskan prinsip Undang-undang Antarabangsa, termasuklah Konvensyen Undang-undang Laut PBB (UNCLOS) 1982”.

Datuk Seri Hishammuddin menutup kenyataan akhbar beliau seperti berikut: “Pendirian kami adalah bahawa sebarang pertikaian seharusnya diselesaikan dengan cara muhibah melalui kaedah yang aman, diplomasi, dan kepercayaan bersama antara kesemua pihak yang terlibat. Hanya kerana kami tidak membuat sebarang kenyataan umum mengenai isu ini tidaklah bermakna kami tidak mengusahakan segala langkah di atas, kami telah mengusahakan komunikasi terbuka dan berterusan dengan semua pihak yang terlibat, termasuklah Republik Rakyat China dan Amerika Syarikat”.

Semoga Allah terus memelihara sinergi ulamak dan umarak ini dalam mengemudi negara kita daripada pelbagai ujian pandemik dan geopolitik semasa berlandaskan prinsip-prinsip Islam.

Oleh: ABDUL MUEIN ABADI
Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda. – HARAKAHDAILY 24/4/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -