
KANGAR: Penyelidik Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Teknologi Sukan Permotoran (MoTECH) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah menghasilkan mesin disinfeksi untuk proses nyah kuman di bangunan.
Naib Canselor UniMAP, Prof Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad berkata, projek tersebut dimulakan awal April lalu.
Katanya penyelidikan tersebut dihasilkan susulan permintaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Perlis yang mencari solusi penggunaan alat manual bagi proses tersebut.
“Program disinfeksi awam oleh anggota Bomba dan Penyelamat sebelum ini mengambil masa yang lama dan menggunakan tenaga manusia ramai.

“Penggunaan alat sedia ada juga mempunyai kapasiti pengisian cecair yang terhad dan pengendalian agak terbatas dan mengakibatkan proses disinfeksi bangunan dan kawasan berisiko jangkitan wabak Covid-19,” katanya pada Majlis Penyerahan SP-C19 TMMD oleh UniMAP kepada Bomba dan Penyelamat Perlis di sini hari ini.
Menurutnya juga pihak terbabit berbincang Motech UniMAP untuk penentuan spesifikasi alat tersebut.
“Hasil kerjasama kedua-dua pihak serta pasukan jurutera MoTech, alat yang diberi nama Seri Perlis C19 Tactical Mobile Mass Disinfectant Device (SP-C19 TMMD) berjaya dihasilkan,” ujarnya.- HARAKAHDAILY 23/4/2020