Separah mana luka kita berbanding Rohingya?

- Advertisement -

TAMADUN dan budaya hidup mereka terbentuk dalam kurungan, penindasan, kekejaman, pembunuhan dan pengusiran selama 70 tahun. Mereka hanya melihat dunia terbuka luas ini setelah menjadi pelarian!

Apakah kita mengharapkan bangsa yang dilupakan dunia selama 70 tahun ini memiliki tamadun dan budaya yang sama dengan kita yang bebas merdeka selama 63 tahun ini? Tidak ada bangsa di dunia ini dihimpit derita sengsara seperti Muslim Rohingya. Tidak ada!

Saya telah mencatatkan berpuluh-puluh nota mengenai Muslim Rohingya sepanjang bergelumang dengan misi kemanusiaan melalui PASRelief. Sebahagiannya telah dipaparkan di page facebook PASRelief.

Kekejaman penjajah Inggeris dan kemudiannya junta Burma, kemudiannya pelampau agama Buddha – 969 Group – pimpinan Sami Ashin Wirathu dan terakhir ini pengganas etnik Rakhine yang bersekutu dengan tentera dan pelampau Buddha. Semuanya sama – membunuh, menyeksa dan menghalau Muslim Rohingya.

- Advertisement -

Daripada tujuh juta (jumlah teramai yang pernah direkodkan) etnik Muslim Rohingya yang pernah memerintah negara mereka, kini hanya tinggal sekitar 300 ribu sahaja, terkurung dalam Internal Displacement Camps (IDP) di seluruh Arakan. Kem IDP adalah penjara terbuka dalam negara mereka sendiri.

Bumi asal mereka -Arakan- di pantai Barat Myanmar sejak abad ke-15 (1423 sehingga tahun 1823) diperintah beberapa dinasti Kerajaan Islam yang diasaskan oleh Kesultan Sulaiman Shah.

Selain 300 ribu yang sedang terkurung dan terkepung di Arakan itu, terdapat 1.5 juta dalam kem pelarian di Bangladesh, 200 ribu di Pakistan, 175 ribu di Arab Saudi, 150 ribu di Malaysia dan jutaan lagi bertebaran di seluruh dunia sebagai pelarian.

Sejak Arakan dipaksa masuk ke dalam Burma untuk mencapai kemerdekaan daripada Inggeris pada 1948, Muslim Rohingya telah terkepung, terkurung dan terusir.

Kelulusan dan penguatkuasaan Undang-undang Kerakyatan Burma pada 1982 yang sekali gus membatalkan kewarganegaraan Muslim Rohingya di Burma adalah kemuncak dalam siri jenayah kemanusiaan terhadap Muslim Rohingya. Ia dipandang sepi seluruh penghuni dunia.

Kemanusiaan masyarakat dunia lumpuh, koma dan mati. Sejak itulah mereka menjadi bangsa tanpa negara, pelarian tanpa destinasi.

Di mana terdampar, di situlah tanah tempat menyambung nyawa. Puluhan ribu hilang di dasar Sungai Naf, Telok Benggala dan Laut Andaman. Puluhan ribu menjadi mayat – mereput ditembak dan rentung dibakar.

Yang cacat akibat diseksa, lari selagi terdaya, wanita dan anak gadis yang dirogol, dirodok, dicincang, tidak terkira jumlahnya. Kanak-kanak menjadi abu dihumban ke dalam api yang sedang marak, tidak tertangis oleh ibu-ibu yang diikat dan dibantai.

Seribu jenis derita dan kepayahan telah mereka alami dalam wabak genosid terancang di hujung kepala kita. Kemanusiaan kita telah lama mati terhadap Rohingya.

Bertahan seperti menempa kematian, yang lari pun maut di jalan, yang sampai di daratan orang pula dimaki, dicaci, dihina, dihalau. Apakah jenis manusia yang sedang mendiami dunia hari ini bila berhadapan dengan Muslim Rohingya? Bukankah mereka itu manusia juga yang punyai pelbagai watak seperti kita? Apakah kejahatan seorang dua mereka adalah kedurjanaan seluruh bangsanya?

Kematian atau hilang dalam pelarian angkara segelintir pedagang nyawa – kegiatan pemerdagangan manusia (human traficking) adalah sebahagian dari catatan hidup bangsa Rohingya.

Mereka bukan Pendatang Tanpa Izin (PATI) yang ada pilihan untuk hidup di halaman sendiri dan tidak datang ke negara orang. Mereka terpaksa lari untuk hidup.

Mereka bukan migran dari China dan India yang dibawa masuk untuk bekerja di ladang dan lombong, akhirnya berkongsi kampung dengan kita. Mereka tidak diberikan tanah dan kerakyatan untuk hidup bebas merdeka kaya raya di sini.

Sedikit kesukaran yang kita alami dengan perangai seorang dua pelarian Rohingya adalah balasan Tuhan akibat kebisuan warga dunia terhadap kekejaman yang menimpa Muslim Rohingya. Kita memikul beban sejarah lampau yang kita warisi dari waktu lalu.

Dengan demikian, pilihan yang kita ada ialah menyuburkan kemanusiaan merentas sempadan negara, mengiktiraf hak asasi manusia untuk hidup aman merdeka.

Kita boleh menjalankan usaha diplomatik dua hala dengan Myanmar atau dengan negara-negara Asean untuk memaksa Myanmar mengembalikan kerakyatan mereka, setidaknya menerima mereka mendiami semula negara asal mereka.

Kita boleh membantu mereka untuk hidup di tempat mereka berada sekarang (Arakan, Myanmar, Cox’s Bazaar, Bangladesh, Thailand, Laos, Kemboja, dan negara lain di rantau ini) supaya mereka tidak perlu bersabung nyawa di lautan untuk datang ke Malaysia. PASRelief dan beberapa NGO lain dari Malaysia sedang giat mengusahakan jalan ini.

Banyak sekali NGO seluruh dunia juga sedang bertebaran di kem-kem di Arakan dan Bangladesh dengan pelbagai aktiviti dan agenda masing-masing.

Berita sedih terakhir yang menusuk sanubari saya ialah beberapa keluarga dari Kem Pelarian Balukhali telah dibawa ke Amerika Syarikat dengan perlindungan sebagai pelarian secara percuma setelah mereka bersetuju ‘menjual’ akidah mereka.

Apalah sangat kita hendak berkira ketika mereka meminta daripada kita;

(i) Kebenaran untuk bekerja.
(ii) Meminta perlindungan insuran ketika bekerja.
(iii) Meminta dikurangkan kos rawatan di klinik; dan
(iv) Meminta tidak ditangkap ketika bekerja.

Berkira apa sangat kita yang mempunyai kehidupan jauh lebih baik daripada mereka – dengan menuduh dan menyebarkan gambar orang Rohingya mengumpul beberapa kampit beras sumbangan orang ramai dengan tajuk ‘mengkelepet bantuan’!

Berkira apa sangat kita berbanding dengan mereka yang dipaksa secara kejam menanggalkan anugerah termahal dalam hidup ini – Akidah Islam – yang digenggam ratusan tahun dalam serba kepayahan, yang dibawa dengan pengorbanan besar generasi awal para pendakwah Islam ke bumi Arakan sejak abad ke-8.

Bumi itu dinamakan ‘Arakan’ dalam bahasa Arab bermaksud TIANG dan ibu kota perdagangan pesat itu dinamakan ‘Akyab’ dalam bahasa Parsi yang bermaksud ‘sungai yang satu’. Ia kini telah hilang, bertukar menjadi Rakhine State dan Sittwe.

Kemusnahan identiti negara-bangsa itu jauh lebih parah dan malang kepada kita berbanding terpaksa berkongsi sedikit rezeki dan nikmat Tuhan dengan mereka. Kita jangan sampai menjadi seperti etnik Rakhine atau Ashin Wirathu yang kejam dengan cara kita menanggapi Muslim Rohingya sejahat sekumpulan syaitan yang menjadi pedagang manusia.

Bersabarlah dalam membantu, selidiklah dulu apa agenda sebenarnya sebelum terbabit membantai mereka beramai-ramai di alam siber. Kudis kita terlalu kecil berbanding ujian darah dan nyawa yang menimpa mereka. Kebencian yang sedang kencang membaham ini ditiupkan oleh siapa, dan untuk apa?

Yang marah-marah, berkongsi tuduhan palsu di medsos itu lukanya di mana, berapa jengkal? Kenapa hati kamu yang bernanah ketika kemanusiaan warga dunia ini sedang nazak? Apa yang telah hilang dirompak daripada kamu? Mereka yang teruk atau kita yang tidak bersyukur? Kesusahan mereka itu adalah ujian untuk kita, bertabahlah. Mari sama-sama kita bantu mereka bertahan di mana mereka sedang berada, jika tidak sudi mendengar mereka mengetuk pintu rumah kita.

Iklan: Menyumbanglah kepada Tabung Kemanusiaan Antarabangsa 5640 7061 1352 atau PASRELIEF 5630 7061 2333 (Maybank).

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Pengerusi PASRelief – HARAKAHDAILY 23/4/2020

- Advertisement -