Perutusan Ramadan Muslimat PAS Sarawak

sarawak
- Advertisement -

BISMILLAHHIRROHMANIRROHIM, segala puji Allah serta selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W, para Sahabat, Tabi’in dan seluruh para pejuang Islam sekalian.

Saya mewakili Dewan Muslimat Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Negeri Sarawak mengucapkan selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak, bulan penuh berkat dan ganjaran Allah kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya Sarawak.

Kedatangan bulan Ramadan kali ini agak berlainan dengan yang pernah kita hadapi sebelum ini. Kebiasaannya amalan secara berjemaah seperti solat, menghidupkan majlis ilmu di masjid dan surau, ziarah, membersihkan kubur dan majlis tahlil buat ibu bapa yang telah meninggal dunia menjadi aktiviti setiap Ramadan.

- Advertisement -

Namun bulan Ramadan kali ini amat berbeza. Allah memberi kesempatan untuk kita menjalani Ramadan 2020 dalam ‘Normal Baharu’. Pasti ada hikmah besar di sebalik sambutan Ramadan dengan normal baharu ini.

Allah membuka ruang dan masa yang luas kepada hambaNya untuk beribadah serta mendekatkan diri padaNya lebih daripada tahun-tahun sebelum ini. Allah memberi nikmat beribadah bersama keluarga sepenuhnya pada kali ini.

Nikmat Ramadan kali ini begitu bermakna apabila rumah-rumah kita sendiri akan dihidupkan dengan pelbagai amalan yang mungkin sebelum ini kurang kita laksanakan bersama keluarga dan kurang juga kita lakukan dalam rumah kita sendiri.

Kesibukan luar sebelum ini mungkin membataskan masa menyoroti sirah Rasulullah dan para Sahabat. Kini masa itu diberi Allah untuk kita. Penjarakan sosial dan keterbatasan dalam pergerakan bukan penghalang untuk kita beramal.

Manfaatkanlah internet tanpa batasan untuk melaksanakan pelbagai ibadah. Kita boleh bersedekah secara dalam talian, mendengar atau menyampaikan ilmu secara siaran langsung di muka buku, menyampaikan mesej kebaikan kepada ahli keluarga dan masyarakat serta sama-sama mendoakan dan bersedekah bagi ahli keluarga yang telah meninggal dunia dari rumah masing-masing. Ternyata internet mampu menjadi talian untuk kita kekal melaksanakan amalan-amalan berjemaah dalam bentuk yang baharu.

Budaya kali ini yang berbeza akibat pandemik wabak COVID-19 adalah cara Allah untuk mendidik hambaNya bersabar. Sabar itu hanya akan ada pada orang yang beriman seperti sabda Nabi Muhammad S.A.W:

“Urusan orang yang beriman itu sangat menakjubkan. Seluruh perkaranya baik dan itu hanya milik orang yang beriman. Jika ia meraih kesenangan, ia bersyukur, dan itu kebaikan baginya. Jika ia ditimpa kesulitan, ia bersabar, dan itu menjadi kebaikan baginya.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Selain memanfaatkan masa lapang ini untuk diri dan keluarga, gunakanlah bulan Ramadan ini untuk turut mendoakan para petugas hadapan memerangi COVID-19 ini. Walaupun mereka tidak seperti kita menyambut Ramadan sepenuhnya di rumah, sama-sama kita doakan agar segala urusan mereka dipermudahkan dan ibadah puasa dapat mereka jalani dengan sebaiknya.

Bagi kaum wanita serta warga emas, jangan lupa beberapa keringanan (rukhsah) yang Allah berikan sepanjang Ramadan untuk yang tidak mampu berpuasa. Bayarlah fidyah bagi puasa lepas yang belum diselesaikan. Bagi yang berkemampuan bantulah ibu bapa yang telah uzur untuk menyelesaikan bayaran fidyah ini. Kita nasihatkan juga untuk kaum wanita peka dengan rukhsah dan hukum-hukum berpuasa dalam konteks perubatan khususnya yang terkini berkaitan dengan pengujian dan rawatan COVID-19 ini.

Marilah sama-sama mengambil kesempatan bulan mulia ini untuk mendidik diri dengan pelbagai amalan. Berikan sokongan dan dukungan buat suami dan anak lelaki menjadi imam dalam pelbagai ibadah kali ini. Sesungguhnya Ramadan ini mampu menjadi satu catatan terindah dalam lipatan diari peribadi dan ummah abad ini. Sungguh kami bersyukur Ya Allah kerana memilih kami untuk merasai nikmat Ramadan dalam normal baharu ini.

Sekian, terima kasih.

JULIANI ADIN
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak (DMPNS) sesi 2019-2021 – HARAKAHDAILY 23/4/2020

- Advertisement -