Drama propaganda yang memburukkan Ikhwan Muslimin

- Advertisement -

PADA bulan Ramadan tahun 2010, rakyat Mesir dihidangkan dengan tayangan drama berjudul al-Gama’a. Propaganda sebanyak 28 episod itu mengisahkan riwayat hidup Imam Hasan al-Banna sejak usia kecilnya, sehingga saat konflik dalaman Ikhwan Muslimin.

Siri 1

- Advertisement -

Di dalam drama tersebut, Hasan al-Banna dilakonkan sebagai anak muda yang obses menggerakkan kebangkitan dakwah Islam. Ia bermula dari kedai-kedai kopi. Kononnya dari sifat gopoh itulah Hasan al-Banna menubuhkan Ikhwan Muslimin.

Beliau juga digambarkan sebagai pendakwah yang giat membaca pelbagai bahan bacaan asing, hingga fikirannya menjadi celaru dari aspirasi Islam yang sebenar. Sekalipun pelakon bagi watak Hasan al-Banna dilakonkan dengan karektor tampan dan tertib, namun secara halus drama tersebut ingin menyampaikan mesej bahawa kononnya seawal penubuhan Ikhwan Muslimin telah pun menyimpang dan menyeleweng dari fahaman Islam yang tulen.

Siri 2

Pada bulan Ramadan tahun 2017 pula, muncul drama bersiri sambungan yang berjudul al-Gama’a 2. Latar belakang zaman bagi siri kedua ini adalah sekitar era tumbangnya pemerintahan Raja Faruq, sehinggalah ke saat pembunuhan Said Qutb.

Ketika itu Hasan Hudaibi sebagai Mursyidul Am bagi Ikhwan Muslimin yang sedang bermasalah. Digambarkan bahawa sememangnya gerakan Islam itu tidak layak bersama dengan Kerajaan revolusi tentera, kerana sikap mereka yang jumud lagi prejudis.

Naratif sedemikian dibina bagi mengolah sejarah sebenar Jamal Abdul Nasir, yang pada awalnya menggunakan Ikhwan Muslimin untuk menggerakkan kebangkitan revolusi ke atas Raja Faruq. Setelah rancangan itu berjaya, Ikhwan Muslimin lalu disingkirkan.

Watak penuh prejudis

Drama Al-Gama’a 2 banyak berkisar sekitar watak Said Qutb, Zainab al-Ghazali dan Hasan Hudaibi. Ketiga-tiga watak ini dilakonkan dengan jelas bagi menonjolkan kelemahan masing-masing.

Said Qutb digambarkan sebagai seorang yang cukup narsistik, mendabik dada dan memiliki ambisi yang besar dalam politik. Ia dimainkan oleh pelakon bernama Muhammad Fahmi, dengan memek muka yang sentiasa menjebik. Penonton pasti jengkel melihat watak Said Qutb dan itulah sebenarnya yang dikehendaki oleh drama propaganda ini.

Penceritaan yang dibawa memberi kesan kepada penonton, supaya mempercayai bahawa Said Qutb itu sangat ‘poyo‘ orangnya. Ada ketika Said Qutb dilakonkan kononnya membaca kitab agama di tepi pantai sambil berseluar pendek.

Hasan Hudaibi pula digambarkan sebagai pemimpin yang degil, panas baran dan ego. Manakala Zainab al-Ghazali dilakonkan sebagai wanita yang terlalu fanatik dengan Hasan al-Banna dan Said Qutb, hingga terperangkap dalam ilusi politiknya.

Begitu juga dalam drama ini sarat menceritakan pertelagahan dalaman Ikhwan Muslimin. Susunan sejarah dicantum-cantumkan kemudian ia dialirkan ke spekulasi bahawa kononnya gerakan Islam itu dipengaruhi oleh kepentingan pihak Freemason. Fikiran mereka hanya tertumpu kepada usaha-usaha subversif untuk membunuh insan yang tidak berdosa.

Propaganda politik

Drama al-Gama’a adalah siri propaganda pihak yang anti-Ikhwan. Siri pertama disiarkan pada bulan Ramadan 2010, adalah sebagai persediaan naratif anti-Ikhwan sebelum menjelangnya pilihan raya Mesir yang berlangsung pada tahun tersebut.

Kredibiliti Wahid Hamid sebagai penulis skrip dipertikaikan. Sekalipun beliau mendakwa ia adalah siri drama sejarah tanpa kepentingan politik, tetapi cukup banyak dakwaan yang mengkaitkannya dengan parti Hosni Mubarak.

Anak Hasan al-Banna, Saif al-Islam mendakwa drama tersebut mengandungi banyak tuduhan palsu ke atas sejarah Ikhwan Muslimin. Selain dari keraguan jalan ceritanya, pimpinan Ikhwan Muslimin mendedahkan bahawa drama siri pertama tersebut ditaja oleh wang Kerajaan sebanyak LE 25 juta.

Pada awalnya pihak Kerajaan Mesir menafikannya. Namun akhirnya tuduhan tersebut diperakui oleh pihak Kerajaan dengan ‘hanya’ berjumlah LE 22 juta.

Laman Foreignpolicy membangkitkan persoalan bahawa, sememangnya pihak parti Kerajaan Mesir ketika itu mencipta propaganda anti-Ikhwan melalui drama bersiri. Namun akibat unsur melebih-lebih dalam drama tersebut, menyebabkan sisi paranoid mereka terhadap Ikhwan Muslimin pula yang terdedah.

Bahkan drama al-Gama’a secara tanpa sedar menyingkap realiti politik Mesir sebagai negara polis, apabila parti-parti pembangkang sentiasa diintip dan diancam. Begitu juga dalam siri kedua, terang-terangan banyak plot penyeksaan brutal ke atas tahanan Ikhwan Muslimin. Operasi tersebut di bawah kendalian Menteri Keselamatan bernama Shams Badran, yang cukup popular dalam lipatan sejarah gelap Ikhwan Muslimin era 60-an.

Adillah

Yang pasti, drama seumpama ini adalah antara propaganda hiperbola bagi memburuk-burukkan Ikhwan Muslimin. Terkadang dapat dikesan, sesetengah pihak cuba menceritakan sejarah Ikhwan Muslimin dengan perspektif yang cukup negatif. Apakah mungkin drama seumpama al-Gama’a ini yang menjadi sumber rujukan mereka?

Dalam dakwaan kononnya Ikhwan al-Muslimin sebagai gerakan pengganas lagi sesat, apakah tohmahan tersebut logik sedangkan merekalah yang ditekan dan dibunuh? Kita tidak katakan Ikhwan Muslimin maksum, namun berlaku adillah terhadap saudara seagama. Allah telah berpesan:

وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

“Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat dengan takwa. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

(al-Maidah: 8)

USTAZ ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD – HARAKAHDAILY 23/4/2020

- Advertisement -