Boleh terus bersedekah atas talian – Dr Zulkifli

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Orang ramai masih boleh bersedekah pada bulan Ramadan tahun ini meskipun negara kini berdepan dengan wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan pergerakan masyarakat terhad.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata rakyat Malaysia boleh bersedekah atas talian atau membuat pesanan makanan menggunakan penghantar makanan untuk dihantar kepada mereka yang ingin disedekahkan.

“Begitu juga dengan cara sumbang kepada pihak NGO atau (Tabung) Musa’adah Covid-19 yang dilaksanakan oleh pihak JAKIM serta Musa’adah Khaira oleh PPZ (Pusat Pungutan Zakat).

- Advertisement -

“Di mana pembayaran boleh diberi kepada mereka secara online maka ini juga cara selesai masalah,” katanya dalam sidang media hari ini.

Ditanya mengenai prosedur operasi standard (SOP) program Dapur It’am, katanya operasi Dapur It’am diwujudkan untuk menyediakan makanan berbuka puasa kepada orang ramai khususnya bagi golongan asnaf, gelandangan dan B40 di Wilayah Persekutuan.

Zulkifli berkata, operasi Dapur It’am hanya membabitkan enam petugas dengan mengamalkan langkah pelindung diri seperti memakai topeng muka, sarung tangan dan menjaga jarak sosial.

“Petugas masakan diwajibkan memakai penutup kepala dan sarung tangan, serta diberi suntikan tifoid,” ujarnya.

Tambahnya lagi, agihan akan selepas asar dengan dilakukan dihadkan hanya kepada wakil penduduk untuk diagihkan di kawasan masing-masing.- HARAKAHDAILY 23/4/2020

- Advertisement -