ADUN beri sumbangan buat ‘frontliners’, penduduk FELDA

- Advertisement -

KUALA KRAU: ADUN Jengka, Ustaz Shahril Azman Abd Halim telah menyantuni petugas barisan hadapan negara dengan menyampaikan sumbangan kepada anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Pejabat MTD Jengka, di sini hari ini.

- Advertisement -

Beliau juga turut menyerahkan sumbangan kepada Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Kuala Krau berupa barangan mentah dan keperluan dapur melibatkan anggota yang bertugas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Malah, sumbangan bagi para pejuang negara ini telah terdahulu dilaksanakan beliau kepada anggota-anggota keselamatan antaranya polis dan juga bomba, termasuk pekerja Pengurusan Air Negeri Pahang (PAIP) sejak PKP yang berkuatkuasa 18 Mac lalu.

Ustaz Shahril juga dengan sokongan Pasaraya Econsave Jerantut dan Econsave Jengka selepas majlis bersama RELA itu telah menyampaikan 600 pek barangan basah yang diagihkan bagi mengurangkan beban penduduk kerana terjejas oleh PKP di FELDA Jengka 17.

Selain dihadiri pihak pengurusan kedua-dua Pasaraya Econsave itu, majlis agihan tersebut turut disertai sama Imam Masjid FELDA Jengka 17, Ustaz Zainuri Yahya serta Tok 4 FELDA Jengka 17, Yusuf Arshad.

“Bantuan daripada Econsave ini meringankan beban para peneroka terutama untuk menghadapi Ramadan serta arahan PKP akibat wabak COVID-19 ketika ini yang tentunya menguji keimanan,” kata Ustaz Shahril. – HARAKAHDAILY 23/4/2020

- Advertisement -