Wisma Putra terima kunjungan Presiden PAS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Wisma Putra hari ini menerima kunjungan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah.

- Advertisement -

Kunjungan berkenaan disambut oleh Menteri Luar, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein bagi tujuan membincangkan berkaitan suasana politik antarabangsa khususnya di Timur Tengah.

Perkara itu dikongsikan di akaun Facebook rasmi Presiden PAS bersama beberapa keping gambar yang dimuatkan petang tadi.

“Kami berbincang dan bertukar pandangan mengenai suasana politik antarabangsa khususnya di Timur Tengah.

“Dan peranan yang boleh dimainkan oleh Malaysia ke arah mewujudkan kestabilan dan keamanan sejagat.

“Saya turut menyatakan kepentingan Malaysia untuk mengutamakan prinsip damai dalam hubungan antarabangsa.

“Seterusnya mengukuhkan kerjasama antara negara serantau, seagama dan negara yang boleh bersahabat,” ujar Tuan Guru Abdul Hadi seperti dipetik dari akaun Facebooknya.

Dalam pada itu, Hishamuddin turut memuatkan status mengenai pertemuan berkenaan di akaun Facebook rasminya petang tadi.

Ujar Hishamudin, kehadiran Tuan Guru Abdul Hadi yang dilantik sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah tepat pada masanya.

Katanya, dengan pengalaman dan pengaruh yang dimiliki Presiden PAS itu berupaya membantu beliau dan Wisma Putra menjayakan pelbagai agenda Wisma Putra di Timur Tengah.

Ulas Hishamuddin, ia termasuklah membantu memastikan hubungan diplomatik Malaysia dengan rakan negara Timur Tengah terus utuh dan berkekalan.

“Kami turut membincangkan bagaimana tanggungjawab kami berdua berupaya memperkasa peranan Malaysia di Timur Tengah khususnya dalam menghadapi cabaran situasi geopolitik yang tidak menentu termasuk yang terkini ialah penularan wabak Covid-19,” kata Hishamuddin statusnya.

Beliau merakamkan ucapan tahniah kepada Tuan Guru Abdul Hadi atas perlantikan sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah. – HARAKAHDAILY 22/4/2020

- Advertisement -